Monday, July 15, 2013

Kontrak Kementerian Pendidikan RM9 bilion dibolot YTL

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dipertikai kerana menganugerahkan kontrak Kementerian Pendidikan bernilai RM9 bilion kepada sebuah syarikat gergasi YTL Corporation Bhd (YTL).

Kontrak Kementerian Pendidikan diserah kepada syarikat tunggal itu adalah untuk pemasangan jalur lebar, Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) dan pembekalan komputer riba Chromebook di bawah skim ’1Student, 1Device’.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempertikaikan penganugerahan semua projek itu hanya kepada satu syarikat YTL dan anak syarikatnya.

“Ini bermakna YTL mendapat durian runtuh dalam bentuk monopoli di Kementerian Pendidikan.

“Sejak bila YTL yang selama ini adalah sebuah syarikat terkemuka dalam bidang utiliti, pembinaan, pembangunan hartanah menjadi pembekal perkhidmatan internet dan pakar dalam perkhidmatan pendidikan?,” soalnya.

Sehubungan itu, Zairil juga mempertikaikan adakah syarikat itu menjadi pilihan terbaik sedangkan ia bukan pemaju perisian atau pengeluar komputer.

“Adakah kerajaan menjalankan proses tender terbuka yang berdaya saing untuk pembekalan infrastruktur jalur lebar 4G, VLE serta Chromebook ini?,” katanya lagi.

Dalam jawapan Parlimen yang diterima Zairil sebelum ini, pihak kementerian berkata, YTL dianugerahkan projek berikut:

1) Projek pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di bawah program 1BestariNet ke semua sekolah (RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun)

2) Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) untuk guru-guru, pelajar dan ibu bapa (RM250.5 juta untuk yuran pelesenan bagi satu jangka masa tetap dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan);

3) Pembekalan komputer riba Chromebook di bawah program “1 Student 1 Device” (RM139.6 juta untuk tempahan 116,399 unit permulaan pada kos RM1,200 setiap unit).

Zairil berkata, bagi komputer riba Chromebook, jika setiap murid dibekalkan satu unit komputer riba, kos akhirnya bakal mencecah RM6.6 bilion bagi 5.5 juta unit.

Oleh itu, secara keseluruhannya kata Zairil, jumlah kos bagi ketiga-tiga projek yang dianugerah kepada YTL itu boleh meningkat dalam tempoh lima tahun sehingga RM9 bilion walaupun nilai asalnya RM1.32 bilion.

Dalam pada itu Zairil juga menyatakan bahawa tidak ada gunanya jika mempunyai internet jalur lebar dan alat e-pembelajaran canggih seperti VLE tanpa perkakasan untuk menyokong.

“Kementerian Pendidikan harus segera menjawab semua soalan itu untuk mengurangkan kebimbangan besar terhadap projek yang bukan sahaja bakal menelan belanja yang amat tinggi, tetapi juga akan memberi kesan kepada setiap pelajar yang masih bersekolah di negara ini,” ujar beliau.-Roketkini.com

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular