Segala-gala kembali tenang selepas Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak merancang untuk mengadakan Himpunan Blackout 505 lagi buat sementara waktu ini. Keputusan ini disambut dengan perasaan yang berbaur. Bagi penyokong PR, kepenatan itu berlonggok bukan hanya selepas 505, tetapi sepanjang dua tahun kebelakangan sejak tarikh PRU13 mula diteka-teki. Berhempas-pulas dengan latihan PACABA, anjuran forum, penerbitan risalah, menghadirkan diri ke ceramah dan perhimpunan dan sebagainya. Barangkali ia meredakan keletihan selama ini, tetapi pada masa sama kekecewaan yang timbul gagal terubat.
Ketidaksediaan untuk mengadakan himpunan bermakna “kebarangkalian” untuk perubahan senario politik dikurangkan. Bukan mustahil, tetapi ia meletakkan pembangkang atau aktivis gerakan sosial pada kedudukan yang pasif, seolah-olah hanya boleh menunggu konflik berlaku di kalangan musuh politik. Ia bukan dicetuskan oleh desakan rakyat, agendanya bukan ditentukan oleh rakyat, sebaliknya rakyat sekadar menunggu pergelutan kuasa yang mungkin berlaku dalam Barisan Nasional (BN), khususnya Umno. Suasana ekonomi yang semakin merudum semestinya mencungkil pertentangan kepentingan antara puak yang berbeza dalam Umno. Pemilihan dalam parti yang bakal dibuka tirainya juga menjanjikan adegan tikam-menikam. Dengan kata lain, perubahan yang mendadak akan tercetus seandainya retakan yang besar berlaku dalam Umno, seperti apa yang berlaku pada tahun 1987 atau 1998.
Namun sementara waktu itu masyarakat kita diselubungi kemurungan, terutamanya apabila harapan untuk tukar kerajaan di peringkat persekutuan berkecai. Makna “UBAH” sebenarnya lebih daripada sekadar “tukar dari BN kepada PR”. Perubahan ini disarat dengan harapan bahawa kilang pemprosesan nadir bumi Lynas boleh ditutup, royalti minyak dikembalikan, kepentingan peneroka FELDA dipertahankan, keadilan untuk keluarga Beng Hock, A Kugan, Aminul Rasyid dan lain-lain. Keputusan pada malam 505 seolah-olah menafikan tuntutan dan harapan rakyat ini. Malah, kita terus didedahkan kes demi kes kematian yang semakin zalim dalam tahanan lokap selepas itu.
Senario politik sedemikian menundukkan harapan perubahan sistem dan struktur di negara kita. Sistem kehakiman memberi persepsi seolah-olah gagal menegakkan keadilan. Keputusan mahkamah dalam kes rogol dan bunuh Chee Gaik Yap baru-baru ini mencungkil ketidakpuasan orang awam, sehingga lebih 80,000 tandatangan dikutip dalam tempoh yang singkat – menuntut rayuan dibuat untuk mengembalikan keadilan kepada keluarga Chee.
Kes rogol dan bunuh yang sering memangsakan kaum wanita semakin berleluasa. Tetapi penghakimannya memalapkan keadaan. Tidak lama dahulu mahkamah kita sanggup membebaskan seorang lelaki yang merogol gadis bawah umur, atas alasan si perogol seorang atlet negara yang mempunyai masa depan yang cerah. Sememangnya tidak masuk akal kerana seandainya alasan ini diterima, apakah Lee Chong Wei akan diberi lampu hijau untuk merogol sesiapa sahaja yang dikehendaki?
Penghakiman sedemikian dipertikaikan, walaupun saya kurang pasti sama ada ia memberi kesan langsung kepada kes rogol yang melibatkan tiga atlet SUKMA baru-baru ini. Saya tidak tahu sama ada mahkamah sedar bahawa dalam kes rogol, si mangsa mungkin dihancurkan masa depannya. Jadi, apakah di bumi serba boleh ini, orang yang berpotensi mempunyai masa depan yang cerah diberi hak untuk menghancurkan masa depan orang lain?
Lebih-lebih lagi, ia bercanggah dengan semangat sukan – yang antaranya menekankan disiplin. Sukan bukan sahaja menguji kemahiran dan ketangkasan atlet, tetapi juga sejauh manakah disiplin atlet tersebut dalam hidupnya. Ia memperlihatkan masalah yang amat kronik, selain “gejala judi” yang berlaku dalam bidang sukan kita, yang menjahanamkan prestasi bola sepak kita sebelum ini. Ironinya, masyarakat kita semakin maju – dengan saluran sukan yang melambak di stesen media untuk dipilih, dengan hadiah yang lebih lumayan untuk mengiktiraf atlet sukan tempatan – jikalau dibandingkan zaman dahulu. Persoalannya, di manakah roh dan semangat sukan kita?
Kegagalan institusi tidak hanya berlaku dalam sistem kehakiman atau bidang sukan. Lihat bagaimana media kita sarat dengan penipuan dan fitnah. Kebebasan bersuara digunakan media arus perdana untuk menyemarakkan sentimen perkauman, dan kemudian menafikan kebebasan bersuara pihak yang menyanggah hujah perkauman. Gejala ini diberi lampu hijau untuk terus bermaharajalela, selagi ia memenuhi kepentingan pemerintah.
Kemudian kita diperlihatkan bagaimana polis memberi reaksi kepada senario terkini. Orang seperti Adam Adli, Haris Ibrahim, Tian Chua, Hishamuddin Rais dijadikan sasaran. Mereka ditangkap dan dituduh bawah Akta Hasutan kerana dianggap boleh menimbulkan huru-hara. Namun saban hari rakyat di bandar hidup dalam rasa ketakutan. Gadis tidak berani berjalan bersendirian di tempat letak kereta, pintu rumah kita dihiasi dengan mangga yang pelbagai sehingga berjambak-jambak kunci dalam kocek kita. Malah untuk makan di restoran atau gerai pun kita menanggung risiko keselamatan. Semua ini tiada kena-mengena dengan senarai nama di atas. Jelas, polis lebih menumpukan tenaganya untuk merawat kegelisahan Umno daripada meredakan kebimbangan rakyat. Mereka yang mempunyai pengalaman diragut dan dirompak, juga berpengalaman untuk dinasihat tidak membuat aduan polis.
Maka sistem kita seakan-akan lumpuh, bagai kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur sebelum dan selepas waktu pejabat. Himpunan diadakan untuk menyuarakan pendirian, tetapi suara keramat itu gagal diterjemahkan ke dalam perubahan struktur. Kita disogokkan dengan laporan berjilid-jilid tebalnya daripada Jawatankuasa Khas, tetapi masalah tetap berlanjutan. Kita cuba dengan kotak undi, tetapi sistem pilihan raya yang dimanipulasi menjulang suara 47 peratus untuk memijak suara 51 peratus. Kita cuba dengan demonstrasi sepanjang jalan ke bangunan parlimen – tetapi Dewan Rakyat kita menghidangkan bahan lawak apabila wakil rakyat mengajukan soalan tentang durian Musang King.
Maka, kita hanya boleh menggeleng-gelengkan kepala di depan komputer apabila menyaksikan gelagat ahli parlimen Kinabatangan. Perkelahian yang kebudak-budakan, membangkitkan isu yang tak tentu pasal – sekadar untuk menghina dan merendahkan darjat institusi perundangan. Sesi perbahasan berlangsung dari pagi ke lewat malam. Wakil rakyat dibayar gaji dan elaun beribu-ribu ringgit. Namun ia tidak mengubah status quo dalam masyarakat kita. Lynas diteruskan, senarai mangsa kematian dalam tahanan dipanjangkan. Kita melangkah masuk ulang tahun keempat kematian Teoh Beng Hock tanpa jawapan yang memuaskan.
Apakah itu masa depan kita, sebuah masyarakat dengan institusi yang tidak berfungsi, tetapi individu yang berada dalam masyarakat itu, berlagak seolah-olah ia tidak bermasalah. Kita tetap menghantar anak ke sekolah, menempah susu 1Malaysia yang perlu diingatkan melalui iklan televisyen tentang beberapa langkahnya seperti hidu dan rasa sebelum minum? Bukankah ia mencerminkan masalah yang parah apabila kita sanggup menghidangkan susu yang bermasalah kepada anak kita? Kita tidak mengambil tindakan keras terhadap pengeluar susu, sebaliknya membuat iklan untuk mendidik murid mengenai caranya mengambil susu?
Demikianlah logiknya, apabila kita tidak mengambil tindakan keras ke atas perogol, sebaliknya menasihat mereka yang berpotensi menjadi mangsa agar berpakaian tidak menjolok mata. Ini punca mengapa masyarakat kita serba tidak kena pada tempatnya. - Lim Hong Siang
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment