Thursday, July 18, 2013

Melayu itu dan Melayu ini, rakyat juga yang ketinggalan

Isu ini terus dimainkan Umno. Kalau Umno tewas maka masa depan orang Melayu akan musnah. Oleh yang demikian, orang Melayu mesti terus menyokong Umno. Tetapi untuk tujuan apa? Supaya mereka yang kita beri kuasa boleh terus mengayakan golongan Umno Baruputra?

Keadaan rakyat Melayu ketinggalan dibelakang. Umno menjerit sana sini mengenai Melayu itu dan ini. Tetapi yang merasa nikmat kuasa politik yang rakyat beri ialah putera bangsawan, putera pemimpin Umno, putera dan puteri kroni Umno dan putera pegawai tinggi kerajaan.

Perkara ini saya dengar juga selama saya berada dalam persidangan Dewan Rakyat. Teriakan Melayu itu dan Melayu ini lantang kita dengar. Kadang-kala dalam nada yang bellicose dan mengajak kita bergaduh.

Mereka yang berteriak Melayu ini dan Melayu itu lupa bahawa lebih ramai orang Melayu menolak mereka. Daripada jumlah 11.23 juta yang keluar mengundi, jumlah Melayu ialah 65 peratus atau 7.3 juta.

Umno dan BN mendapat 3.4 juta undi Melayu. Ini bererti 3.9 juta orang Melayu menolak BN berbanding dengan 3.4 juta. Umno sendiri secara keseluruhan mendapat 3.2 juta undi iatu sama dengan jumlah ahli Umno. Maka yang menjerit melayu itu dan ini, menjerit atas kuasa apa? Majoriti Melayu tidak bersama kamu.

Kita hendak tanya, apa parti Melayu yang terbesar lakukan selama mereka memerintah. Sejak 1955 hingga hari ini, yang perintah kerajaan persekutuan ialah perikatan dan BN yang dikepalai oleh Umno. Pendapatan purata orang kampung yang majoritinya Melayu sekitar RM3,000 sebulan. Ini angka purata. Dalam kawasan saya di Raub, saya tidak tahu bagaimana sebahagian besar rakyat Melayu mencari pendapatan. Mereka hanya pekerja kampung atau makan gaji sebagai buruh menoreh getah. Dengan harga getah yang amat rendah keluarga Melayu yang hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM200 sebulan pun ramai.

Maka pendapatan purata RM3,000 sebulan tidak bererti kepada orang Melayu. Sebahagian besar berada di luar lingkungan pendapatan purata ini. Tetapi, kebetulan itu mereka di tahap kelayakan menerima BR1M. Maka BR1M sebetulnya pengesahan bahawa orang Melayu miskin selama berada dalam pemerintahan Umno. Pendapatan purata orang Melayu 70 peratus dan 85 peratus daripada pendapatan purata Cina dan India. Ini bemakna, yang paling miskin ialah Melayu.

Selepas berbilion dibelanjakan dan puluhan dasar dijalankan. Setelah puluhan tahun memerintah, 7.2 juta Melayu berpendapatan kurang RM1700. Manakala 8.7 juta berpendapatan RM1500. Perbezaaan pendapatan antara kaya dan miskin Melayu masih meluas walaupun sudah diperbaiki sejak 2009.

Sehingga 2012, peratusan Melayu yang jatuh di bawah garis kemiskinan ialah 2.2 peratus. Saya mengajak pembaca Melayu merenung perkara ini. Mereka yang menerpa kepada kita memohon bantuan kebajikan ialah Melayu. Mereka yang menerjah kita apabila ada malapetaka dan bencana alam ialah Melayu. Mereka yang memohon bantuan kewangan untuk ke hospital mendapat rawatan khusus dan memerlukan wang hantar sekolah ialah Melayu. Jika ibu bapa bermula sebagai penerima bantuan JKM, anak pun sama mewarisi status ini. Bahkan untuk bayar rumah dan bil api pun yang datang memohon pertolongan ialah orang Melayu.

Mereka yang meraung tidak dapat hak milik tanah yang diusahakan 30-40 tahun ialah Melayu. Jadi, melayu yang macam mana BN tolong? Umno tolong Umno Baruputra. Ketua eksekutif yang bergaji RM400,000 ke atas dan RM1.2 juta sebulan? Malah ada yang jadi menteri, tahun lalu mendapat gaji dan emolument RM6 hingga RM7 juta. Melayu jenis ini tidak kisah tidak dapat hak milik, tidak tahu pun apa JKM, perasaan ditimpa bencana alam, tidak peka hidup dalam gerobok usang, tidak tertekan mahu hantar anak ke sekolah dan sebagainya.

Jadi jeritan Melayu itu dan ini yang berkumandang dalam Dewan Rakyat selama saya bersidang hanya hipokrasi hendak menunjuk-nunjuk si penjerit menjuarai kepentingan Melayu. Bagaimana teriakan yang kuat menyelesaikan masaalah kemiskinan dan kemunduran Melayu? Jeritan bukan ganti kepada integriti, tataselia yang baik, kerajaan yang bersih dan cekap, pematuhan kepada pemerintahan ikut undang-undang dan akauntabiliti. Jeritan dan pekikan bukan ganti kepada dasar yang jujur dan ikhlas. - sakmongkol.blogspot.com

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular