Kuala Besut: Pertembungan Idris Jusoh dan Ahmad Said?
ANALISIS: Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, kerajaan negeri Terengganu antara yang paling lambat dibentuk. Ini dikatakan ekoran tindakan Istana Terengganu menolak Datuk Seri Idris Jusoh untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar (MB).
Kain rentang yang dinaikkan di perhimpunan penyokong Datuk Seri Idris Jusoh di perkarangan Rumah MB Terengganu selepas PRU 2008.
Perhimpunan demi perhimpunan membantah dibuat dalam suasana tegang itu.
Antaranya ialah perhimpunan diadakan di perkarangan Rumah MB Terengganu yang terletak berhampiran Pantai Batu Burok.
Penyokong Idris ketika itu berang dengan tindakan istana menolak Idris. Sehinggakan mereka menaikkan satu kain rentang berbunyi, "Kami nak Idris, natang". Video kain rentang ini turut disiarkan dalam stesen televisyen milik Media Prima, NTV7.
Natang adalah istilah yang digunakan oleh rakyat Terengganu untuk menggantikan nama 'binatang'.
Jelas, binatang ini adalah istilah yang ditujukan kepada pihak yang menolak pemilihan Idris sebagai MB Terengganu.
Ekoran kain rentang ini, beberapa laporan polis dibuat kerana ia dianggap menghina Istana Terengganu. Namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan dibuat ke atas pihak yang menaikkan kain rentang ini.
Kira-kira dua minggu selepas pilihan raya 2008, baru MB baru Terengganu dilantik.
Datuk Seri Ahmad Said, yang pernah menjawat jawatan Exco kerajaan negeri dipilih sebagai MB.
Dikhabarkan, pemilihan Ahmad dibuat kerana dia satu-satunya pemimpin Umno Terengganu pada waktu itu yang sanggup menjadi MB bagi menggantikan Idris yang juga pengerusi Perhubungan Umno negeri pada ketika itu.
Insiden itu menyebabkan hubungan antara kedua-dua pemimpin ini tidak baik.
Orang Terengganu kata, 'tidak sendik'. Idris menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) biasa dan tidak memegang sebarang jawatan sehingga dilantik sebagai Pengerusi Mara pada penghujung penggal lalu.
Apabila penggal baru bermula, memahami suasana ini, Idris tidak bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau bertanding di kerusi Parlimen Besut dan menang. Idris kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pelajaran Kedua selepas Pilihan Raya 2013.
Di Kuala Terengganu, sebagaimana selepas PRU 2008, isu siapa patut menjadi MB Terengganu berbangkit sekali lagi.
Umno dikatakan mencadangkan nama lain sebagai MB, bukannya Ahmad.
Akan tetapi, Ahmad berkeras mahu dikekalkan sebagai MB.
Dengan bilangan Adun BN hanya 17 manakala Pakatan Rakyat 15, ia dijadikan senjata untuk menekan Umno Pusat.
Ahmad Said dikatakan memberikan kata dua, jika bukan beliau jadi MB, PAS yang akan menjadi MB.
Dengan kata lain, jika beliau tidak dipilih sebagai MB, Ahmad dan rakannya akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan bersama PAS.
Isu ini turut hangat dibincangkan di Kuala Terengganu. PAS dikatakan cuba merisik khabar siapakah Adun BN yang bersedia untuk bersama mereka membentuk kerajaan.
Akhirnya, menyedari bahaya yang datang, Umno terpaksa akur dengan kehendak Ahmad. Beliau dilantik menjadi MB dengan Exco pilihannya.
Bukan lagi berdasarkan kelayakan tetapi berdasarkan pasukan. Maka terpilihlah calon yang hanya lulus SPM sebagai Exco Terengganu.
50 hari selepas PRU13, Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar yang turut terpilih sebagai Exco oleh kerajaan Ahmad Said meninggal dunia.
Pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan dan Idris sebagai Ketua Umno Bahagian Besut dipilih sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya bagi membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarah Pilihan Raya PAS untuk PRK ini, Datuk Husam Musa dalam satu kenyataannya meminta Idris mempertimbangkan kepentingannya dan politik Umno dalam pilihan raya ini. Beliau mengajak Idris mengajar Ahmad dalam pilihan raya ini.
Husam dalam kenyataannya kepada media berkata, kemenangan PAS di Kuala Besut secara tidak langsung adalah kejayaan bagi pihak Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu.
"Idris semasa menjadi Menteri Besar ada program pembangunan untuk Terengganu, Mat Said tiada rancangan,”dakwa Husam.
Namun ia disambut negatif oleh Idris. Bagi beliau, Husam cuba untuk melagakan beliau dengan Ahmad.
Menurut Idris, pemimpin PAS itu sudah kekeringan modal apabila terpaksa memainkan isu berkenaan.
"Saya tidak ada masalah (dengan Datuk Seri Ahmad Said). Beliau (Husam) hanya mahu laga-lagakan kita.
"Bila tidak ada modal, dia cari modal, biasalah," katanya.
Idris berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Husam yang meminta penyokong Idris supaya mengundi calon PAS bagi mengimbangi kuasa politik kem Menteri Besar.
Idris menafikan bahawa beliau mempunyai masalah dengan Ahmad yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.
"Saya tidak ada masalah dengan dia (Ahmad Said). Saya makan sekali dengan dia. Tidak ada masalah," katanya.
Benarkah Idris tidak ada masalah dengan Ahmad Said?
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub juga mempunyai tanggapan Idris dan Ahmad Said masih 'tidak sendik'.
"Jika tidak ada masalah, mana Ahmad Said dalam pilihan raya ini?" kata Salahuddin kepada The Malaysian Insider ketika mengulas isu ini.
Sebelum ini, wartawan berjaya melagakan beliau dengan Husam apabila Salahuddin menjawab soalan perangkap wartawan dalam sidang media yang dilakukannya.
Sebuah akhbar harian melaporkan, Salahuddin berbeza pendapat berhubung pendekatan kempen parti yang menggunakan isu kononnya Ahmad dan Idris sehaluan dalam PRK DUN Kuala Besut.
Beliau berkata, mengeksploitasi dakwaan wujud pergeseran Idris-Ahmad sebenarnya bukan strategi kempen parti itu dalam PRK itu.
"PAS tidak akan guna isu itu," katanya dalam sidang media di markas parti itu di Kampung Baharu, Kuala Besut mengulas pendekatan penceramah PAS yang memainkan isu kononnya Ahmad dan Idris tidak sehaluan.
Jawapan Salahudin ini seolah-olah bertentangan dengan pendekatan yang diambil pengarah PRK ini untuk PAS, Husam yang berkata Idris akan untung jika calon BN kalah.
Namun jelas, Salahuddin sendiri nampak bahawa memang ada isu antara Idris dengan Ahmad. Kalau tidak, mana pergi Ahmad pada ketika Barisan Nasional (BN) berhempas pulas berkempen?
Selaku MB Terengganu, Ahmad sepatutnya berada di barisan paling hadapan dalam pilihan raya ini.
Namun realitinya, segala-galanya terletak di tangan Idris, anggota Parlimen Besut yang dikatakan merestui kain rentang, "Kami nak Idris, natang" itu. - 18 Julai, 2013. TMI
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment