Beri peluang “blogger Bak Kut Teh” tebus kesalahan
Mohamed Hanipa Maidin (gambar) meminta umat Islam memberikan peluang kepada pasangan lucah Alvin Tan dan Vivian Lee untuk menebus kesalahan mereka kerana melakukan provokasi terhadap penganut agama terbesar di negara ini.
Ahli Parlimen Sepang dari PAS itu juga mahu umat Islam bertindak waras dalam memberikan respon terhadap provokasi seumpama ini dan belajar untuk memberikan kemaafan.
"Islam, saya yakin, juga agama rahmah. Di dalam al-Quran juga Allah menyatakan bahawa Allah menulis untuk diriNya rahmah (belas ikhsan)," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS kepada The Malaysian Insider.
"Maka saya berpendapat tidak salah bagi umat Islam untuk menerima kemaafan pasangan itu dan memberi mereka peluang untuk tidak lagi mengulangi perbuatan biadap mereka itu," katanya.
Bagaimanapun, Mohamed Hanipa tidak mahu campur tangan terhadap tindakan undang-undang pihak berkuasa terhadap mereka.
Namun begitu, beliau menolak penggunaan Akta Hasutan terhadap Tan dan Lee.
Pasangan itu menghina Islam dengan menyiarkan posting di akaun Facebook aksi memakan sup tulang babi sebagai hidangan berbuka puasa.
Pelbagai pihak menggeluarkan kenyataan supaya tindakan tegas diambil terhadap Tan dan Lee walaupun mereka sudah meminta maaf di atas keterlanjuran mereka itu.
Ramai yang mendesak mereka dikenakan tindakan undang undang termasuk didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
"Pendapat peribadi saya sebarang perbuatan menghina mana-mana agama apatah lagi Islam adalah satu perbuatan yang terkutuk," katanya.
Mohd Hanipa yang juga seorang peguam berkata, ia tidak sewajarnya dilakukan oleh orang yang waras dan Islam tidak membenarkan penganutnya menghina agama atau kepercayaan orang lain kerana penghinaan itu membuka ruang kepada penghinaan Islam itu sendiri.
Beliau percaya mereka sudah cukup terseksa dengan luahan kemarahan umat Islam di negara ini. Itu sudah cukup, baginya menjadi hukuman perit ke atas mereka.
"Saya rasa ugutan bunuh ke atas mereka, jika benar berlaku, bukan anjuran Islam.
"Namun saya rasa tidak perlu mereka didakwa di bawah Akta Hasutan kerana Akta itu sendiri sudah banyak menzalimi rakyat negara ini," katanya.
Jika mereka didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina Islam tidakkah pasangan remaja ini juga akan merasa bahawa ada diskriminasi dan ketidakadilan ke atas mereka, soalnya.
Ini kerana orang Islam yang ingin bakar Bible dan menghina anutan orang Hindu tidak didakwa sehingga kini.
"Adakah ini keadilan? Tidak malukah kita kepada orang bukan Islam apabila kita sendiri gagal bersikap adil?
"Di mana keadilan yang juga menjadi prinsip utama ajaran Islam hendak kita campak?" katanya.
"Mereka adalah remaja yang mudah tergelincir. Percayalah Islam tidak akan dilemahkan dengan penghinaan mereka berdua dan Islam juga tidak dikuatkan hanya kerana kita melaung kuat untuk menghukum mereka di bawah Akta yang zalim seperti Akta Hasutan," katanya.
Beliau mencadangkan semua pihak yang prihatin supaya mendekati mereka dengan lemah lembut dan berhemah supaya segala keraguan mereka atas agama ini dapat dipadamkan daripada benak pemikiran mereka.
Dalam sejarah Islam, katanya, pernah berlaku seorang penyair bukan Islam yang suka menghina Nabi Muhammad hingga menyebabkan sahabatnya, Umar Al -Khattab meminta izin untuk mencabut gigi penyair itu, namun Nabi tidak membenarkannya.
Katanya, akhirnya penyair itu memeluk Islam dan menggunakan bakatnya pula untuk menyebar ajaran Islam.
Pasangan itu akan didakwa hari ini di atas kesalahan mereka.
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment