Friday, July 19, 2013

Ramai pemimpin PR bakal hilang kelayakan wakil rakyat

Seorang lagi pimpinan DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook akan didakwa di mahkamah pada 24 Julai ini kerana menganjurkan perhimpunan aman di Padang Merbok, 22 Jun lalu.

Beliau diperintah hadir ke Mahkamah Majistret Jalan Duta, di sini, jam 8.00 pagi pada 24 Julai ini.

Pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam, Loke sangsi apabila semakin ramai pemimpin Pakatan Rakyat (PR) didakwa atas pertuduhan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika disabitkan kesalahan mereka bakal hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

“Saya rasa ini boleh membawa kepada satu tindakan membunuh karier politik.

“Jika sabit kesalahan, mereka yang menghadapi tuduhan itu boleh didenda sehingga RM10,000. Sebagaimana yang kita ketahui, mana-mana wakil rakyat samada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika didenda melebihi RM2,000, mereka mungkin akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekaligus kerusi mereka di Parlimen atau DUN itu akan kosong,” jelasnya.

Katanya, tindakan terhadap beliau dan beberapa pemimpin PR yang akan didakwa dianggap seperti dirancang rapi.

“Saya rasa amat pelik sekali. Saya dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan. Setelah saya beri keterangan kira-kira satu jam, pegawai pendakwa terus menyerahkan saman kepada saya.

“Maksudnya, mereka telah menyediakan saman dan saya rasa mereka memang mahu dakwa saya dan beberapa rakan yang lain,” ujar beliau.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan itu juga berkata, beliau difahamkan beberapa lagi rakannya akan turut didakwa termasuk Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli, ADUN PAS Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Nawawi serta beberapa pemimpin NGO dan pelajar.

Menurut Rafizi, tindakan kerajaan BN itu bertentangan dengan proses perdamaian nasional yang digembar-gemburkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Kami nampak ada kecenderungan back-track (ke belakang) terhadap kebebasan dan hak asasi yang dijamin perlembagaan.

“Komitmen berhimpun walaupun dalam keadaan aman seperti itu sudah tidak bermakna,” ujar beliau.

Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur, Thomas Su Keong Seong, yang juga pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang sama mahu pihak berkenaan menyemak semula pertuduhan yang dikenakan supaya tidak timbul kekeliruan.

“Saya didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 manakala Loke pula mempunyai ‘Pertuduhan Utama dan Pertuduhan Pilihan’ iaitu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 15(3) atau seksyen 9(5).

“Ini bermakna pihak polis sendiri tidak pasti akan didakwa mengikut pertuduhan apa dan seksyen berapa,” katanya yang juga peguam bagi pihak Loke.

Turut mewakili Loke sebagai peguam ialah Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng.

Sidang media ini turut dihadiri Ahli Parlimen PKR Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Ketua Angkatan Muda PKR.-Roketkini.com

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular