SHAH ALAM – Nama Mohamed Salleh Mohamed Alli tiba-tiba jadi tumpuan apabila dikaitkan ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat dua hari lalu sebagai pemilik syarikat Integrated Challenger (M) Sdn Bhd yang membekalkan dakwat kontroversi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk digunakan pada PRU13, Mei lalu.
Rafizi juga mendakwa Mohamed Salleh turut terlibat membekalkan topi, kemeja-T untuk digunakan petugas SPR.
Berpandukan maklumat yang dinyatakan Rafizi termasuk nombor kad pengenalan lelaki itu, Sinar Harian cuba menjejak Mohamed Salleh dengan tujuan bertemu dan mendapatkan reaksinya susulan dakwaan itu.
Daripada pencarian itu, didapati Mohamed Salleh Mohamed Alli adalah nama ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang beralamat di Seksyen 9, di sini.
Syarikat itu bagaimanapun bukanlah Integrated Challenger (M) Sdn Bhd yang disebut Rafizi.
Juga tidak dapat dipastikan sama ada persamaan nama itu hanya kebetulan, ataupun sememangnya Mohamed Salleh adalah empunya kepada kedua-dua syarikat, dan mungkin juga banyak syarikat lain - lumrah bagi kebanyakan ahli perniagaan yang berjaya pada masa ini.
Menariknya, setelah anggota pasukan penyiasat kami turun ke lokasi syarikat itu di Seksyen 9, didapati alamatnya sama dengan alamat yang disebut Rafizi dalam Dewan Rakyat kelmarin.
Kebetulan yang kedua!
Namun tidak ada pula papan tanda nama Integrated Challenger (M) Sdn Bhd di premis itu. Malah di seluruh kawasan itu pun tidak ada.
Kami menghubungi syarikat berkenaan menerusi telefon berpandukan maklumat yang diperolehi.
Wanita yang menjawab panggilan itu menafikan pihaknya yang membekalkan dakwat kekal kepada SPR sebaliknya memberitahu, mereka hanya pembekal alat tulis.
Dia juga enggan memberitahu nama syarikat, malah namanya sendiri. Namun katanya sejak kelmarin (selepas Rafizi mendedahkan maklumat mengenai Integrated Challenger di Parlimen), mereka dihujani ratusan panggilan telefon yang bertanya mengenai syarikat itu.
Selepas memberitahu hal berkenaan, dia terus meletak telefon. Di pintu masuk premis yang alamatnya 'kebetulan' sama dengan alamat Integrated Challenger (M) Sdn Bhd itu, kami cuba bercakap dengan pihak di dalam menerusi interkom. Seorang wanita menjawab.
Sinar Harian: Selamat pagi, boleh kami bertanya, adakah ini syarikat Integrated Challenger (M) Sdn Bhd?
Wanita: Selamat pagi, untuk apa ye encik?
Sinar Harian: Kami datang mahu berjumpa dengan Mohamed Salleh Mohamed Alli, beliau ada di syarikat sekarang?
Wanita: Saya minta maaf encik, Encik Mohamed Salleh tiada di pejabat sekarang, dia ‘outstation’.
Sinar Harian: Kalau dia tak ada, boleh ke kami berjumpa dengan sesiapa dari pejabat dia?
Wanita: Tidak boleh encik, sekarang tiada seorang pun pihak atasan yang ada di pejabat.
Sinar Harian: Bila kami boleh datang semula ke pejabat?
Wanita: Saya pun tidak tahu...(padamkan interkom)
Cubaan kami untuk hubungi kakitangan wanita itu semula tidak berjaya kerana di pintu masuk itu mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV).
Ketika kami masih menunggu di pekarangan syarikat tersebut, seorang lelaki kelihatan baru keluar dari pintu pejabat berkenaan.
Lelaki ini bertanya kepada kami apa tujuan kami menunggu di kawasan itu, dan kami memberitahu mahu berjumpa dengan pemilik syarikat Integrated Challenger.
Katanya, di lot kedai tersebut, terdapat banyak syarikat lain yang menyewa bilik dan syarikat Integrated Challenger mungkin menyewa sebahagian daripada pejabat di situ dan ia tiada kena mengena langsung dengan pihaknya.
Setelah mendapati harapan untuk bersemuka dengan Mohamed Salleh yang sebagaimana didakwa Rafizi mempunyai hubungan rapat dengan individu tertentu dalam SPR semakin tipis, kami pun meninggalkan lokasi pejabat syarikat berkenaan dengan janji kepada diri sendiri, kami akan datang lagi setelah cubaan pertama ini gagal.
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment