Thursday, July 18, 2013

Kalau hendak menempah songkok, jangan tempah dari tukang kasut

Sahabat rapat saya pernah memberitahu, kalau hendak menempah songkok, tempah dengan orang yang mahir membuat songkok. Jangan menempah songkok daripada pembuat kasut, nanti songkok akan rupa kasut. Di sebaliknya jangan menempah kasut dengan pembuat songkok kerana kasut kita akan diperbuat daripada bahan untuk membuat songkok dan kasut itu tidak akan tahan lama.

Maksud kata-katanya itu ialah jika diberikan satu tanggungjawab kepada orang yang tidak ahli, maka tanggungjawab itu tidak akan terlaksana dengan baik seperti yang sepatutnya. Itu sebabnya jika diberikan amanah kepada orang yang rasuah maka amanah itu akan dilalaikan kerana orang rasuah hanya pandai dan berfikir bagaimana hendak mendapatkan wang dan harta secara rasuah.

Umno mempunyai kecenderungan besar untuk melakukan kesilapan ini kerana Umno tidak serius dengan apa yang dilaungkannya. Umno memberikan tanggungjawab untuk menjayakan matlamat kepada mereka yang tidak faham matlamat yang diberikan kepada mereka. Jika diberikan tempat yang tinggi untuk menjaga harga barang makanan seperti harga ayam misalnya, harga ayam akan menjadi lebih tinggi lagi.

Apabila tidak berjaya menjaga dan mengawal harga ayam itu, dia akan menuding jari kepada pengguna dan meminta pengguna supaya tidak makan ayam. “Tukar menu” katanya dengan tidak bertanggungjawab.

Dalam hal kepimpinan sesebuah negara, mereka yang sepatutnya dipertanggungjawabkan ialah mereka yang mempunyai sifat ‘magnanimity’ yang tinggi. Perdana Menteri tidak boleh melantik sesiapa yang hanya pandai ‘menggeli pundi-pundi’nya sahaja. Siapa yang membuatkan dia sedap yang itu yang dipilihnya. Selalunya sesiapa yang pandai mengampu itu adalah mereka yang tidak mempunyai kepandaian.

Orang yang tidak mempunyai kepandaian akan mengampu dan membodek lebih dari mereka yang mempunyai kepimpinan dan pandai melaksanakan tanggungjawab diberi. Kalau seseorang itu orang yang pandai ia tidak perlu mengampu dan ‘menggeli pundi-pundi’ Perdana Menteri sahaja. Mereka mengampu kerana hendak menutupi kelemahan mereka sendiri.

Bagi seorang pemimpin utama yang mempunyai kuasa melantik pula, nilai sama ada dia seorang yang cemerlang juga bergantung kepada ketahanannya untuk menolak pengampu itu. Jika dia seorang yang betul-betul mempunyai kredibiliti, beliau dengan sendirinya tahu yang mengampu itu adalah orang yang tidak pandai melaksanakan tanggungjawab jika diberikan tugas. Tetapi jika beliau tidak tahu yang pengampu itu tidak akan membantu beliau untuk melaksanakan dasar yang digubal beliau akan melantik mereka untuk menyertai kabinet misalnya.

Tetapi oleh kerana kelemahan pucuk pimpinan, maka beliau melantik mereka yang pandai berlakon di hadapannya dan mengampu sepanjang masa. Jika perdana menteri benar-benar seorang yang serius untuk melaksanakan janjinya untuk memajukan negara, beliau sepatutnya melantik mereka yang berwibawa untuk diberikan tanggungjawab terhadap kepentingan negara.

Tetapi hakikatnya, Datuk Seri Najib Razak lemah, sehinggakan semua yang dirancang untuk negara tidak diyakini rakyat apabila melihat tukang kasut diberikan tanggungjawab untuk membuat songkok dan tukang songkok diberikan tugas untuk membuat kasut.

Mahu tidak mahu kita wajib mengakui hakikat ini. Bagimana kita hendak menolak hakikat jika sebuah agensi kerajaan yang sangat penting kepada rakyat seperti Tabung Haji diberikan kepada Azeeez Rahim misalnya. Bagaimana rakyat hendak menambah keyakinan terhadap Najib jika Azeeez dijadikan orang penting untuk melaksanakan dasar yang digubal kerajaan itu? Bagaimana kita meminta serigala untuk menjaga kambing belaan kita?

Kita bukan cemburu kepada Azeeez tetapi kita memandangnya dari sikap dan kredibiliti orang yang melantiknya. Azeeez tidak perlu dipersalahkan tetapi orang yang melantik beliau itu yang salah. Hanya yang kita tahu, keputusan Najib melantik Azeeez itu sudah cukup untuk menilai setara mana kewibawaan kepimpinan Najib sendiri?

Itu sebabnya Umno sudah hilang banyak keyakinan rakyat dan di kalangan ahlinya sendiri. Najib seolah-olah sudah tidak tahu lagi mengenali buah bacang dan buah epal. Tidak kenal beza antara beruk dengan kera. Tidak kenal antara kerbau dengan lembu, jauh sekali untuk menentukan rasa daging lembu dan kerbau.

Najib tidak kenal orang baik dengan pemimpin baik. Najib benar-benar seorang pembawa dalil hari hendak kiamat. Mana yang baik dikatanya buruk dan yang buruk dianggapnya baik. Jika beliau sudah tidak tahu yang mana satu hitam dan yang mana satu putih maka tidak hairan jika rakyat dan ahli Umno keliru semuanya.

Kalau ada pun sedikit peluang untuk Umno dan BN itu kekal, ia disebabkan kelemahan pihak alternatif pula. Jika kedua-dua pihak mempunyai kelemahan yang nyata maka kelebihan Umno itu hanya atas pengaruh ‘incumbency’ yang ada kepada mereka sahaja.

Ada parti di pihak pembangkang pun mempunyai isu yang tidak sejalan dan selari dengan apa yang mereka laungkan. Di situ sahajalah ada sedikit peluang untuk Umno kekal dengan kelebihan kerusi yang kecil daripada pembangkang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Isu itu mungkin boleh kita sebut dan bahaskan apabila sampai masa dan ketikanya nanti. - aspanaliasnet.blogspot.com

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular