Friday, July 19, 2013

‘Pasangan Bak Kut Teh’ dikenakan tiga pertuduhan di mahkamah

Pasangan blogger sex Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tiga pertuduhan selepas mencetuskan kontroversi menyiarkan gambar yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam terutama pada bulan Ramadan di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Pasangan itu, Alvin Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee May Ling, 24, yang dikenali dengan nama Alvivi turut didakwa atas kesalahan menyiarkan bahan berunsur seksual di laman web tahun lalu.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mereka didakwa mengikut Akta Hasutan, Akta Penapisan Filem dan Kanun Keseksaan.

Pasangan itu dituduh menerbitkan bahan berunsur hasutan di Facebook bertajuk `Alvin and Vivian-Alvivi' di https://www.facebook.com/alvivi.swingers dengan gambar bertajuk "Selamat Berbuka Puasa dengan Bak Kut teh.. Wangi, enak, menyelerakan!!!" bersama logo Halal di sebelahnya.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di alamat 568-14-8 Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2, Kuala Lumpur, antara 11 Julai dan 12 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Bagi kesalahan pertama kali, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, boleh dipenjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.

Mereka didakwa mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 atau maksimum RM50,000 atau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satukandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.

Kandungan itu telah dibaca di CAF - Syed Restaurant Jalan Dang Wangi, di sini antara 11 Julai dan 12 Julai pukul 10.48 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Murtazadi tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas sebab kepentingan awam.

"Mahkamah tidak akan terpengaruh dengan unsur-unsur luar dalam memberi jaminan kepada tertuduh," tegas hakim itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin bagi dua kesalahan iaitu memuat naik kandungan gambar dan komen berhubung berbuka puasa dan mempamerkan gambar-gambar lucah.

Beliau memberikan dua alasan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 298A(1)(a) dan Akta Penapisan Filem, memang tidak boleh dijamin.

"Sememangnya kami akur budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan dalam dua pertuduhan itu, tetapi pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan dikenakan," kata Noorin.

Alasan kedua pula ialah kedua-dua tertuduh mempunyai kecenderungan untuk memuat naik gambar yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai.

"Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu," katanya. TMI

AG jelas tindakan terhadap Alvin, Vivian
18 Julai 2013
Abdul Gani Patail PUTRAJAYA - Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivan Lee tidak dilepaskan dengan jaminan di mahkamah hari ini kerana mereka mempunyai kecenderungan untuk memuat naik kandungan yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai.

Tan dan Lee dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan berhubung tindakan mereka mempersenda umat Islam dan Ramadan dalam Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka.

“Setelah mempertimbangkan undang-undang dan fakta berhubung kejadian tersebut, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengenakan pendakwaan terhadap mereka.

“Tindakan untuk mendakwa mereka juga dibuat lanjutan daripada kejadian seorang individu diculik dan dipukul oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai rentetan daripada perbuatan mereka (Tan dan Lee)” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Gani berkata Jabatan Peguam Negara juga meminta semua pihak supaya berhenti memberi sebarang kenyataan atau membuat apa-apa spekulasi berhubung kes ini bagi mengelak perbicaraan melalui media.

Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Lee atau nama penuhnya Lee May Lilng, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap ketiga-tiga pertuduhan. Mereka tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' pada satu pautan yang mengandungi gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh…wangi, enak, menyelerakan) bersama logo Halal.

Bagi pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah dalam pautan tumblr.com dan tuduhan ketiga memuat naik di Facebook gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan. - SH

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular