KJ perlu jelas secara jujur pertambahan kos Hari Belia 2012
Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diminta menjawab secara jujur dan terperinci dua persoalan penting iaitu kos sambutan Hari Belia 2012 sebanyak RM55 juta iaitu pertambahan mendadak sebanyak RM28 juta berbanding hanya RM10 juta pada sambutan sebelumnya.
Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong juga mahu Khairy jelaskan pecahan kos membabitkan RM55 juta itu termasuk penajaan, senarai kontraktor atau pembekal yang dilantik serta kos perkhidmatan setiap mereka.
Katanya, walaupun Khairy ketika itu belum menjadi menteri, tetapi penjelasan itu penting bagi membuktikan komitmen beliau terhadap ketelusan agar menjadi teladan kepada generasi muda.
“Persoalan terbaru mengapa angka itu meningkat RM12 juta lagi sedangkan kementerian memberitahu tajaan pihak swasta berjumlah RM28 juta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Hari Belia 2012 sebanyak RM55 juta.
“Jika program itu berlangsung selama lima hari, bermakna purata kerajaan membelanjakan RM11 juta sehari,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, persoalan seterusnya adakah kos yang dibelanja itu membawa lebih banyak manfaat kepada anak muda atau kontraktor yang mendapat ‘durian runtuh’ daripada perbelanjaan gergasi itu.
Beliau berkata, jika kerajaan ingin membelanjakan RM55 juta untuk anak muda, banyak lagi tempat yang boleh diperbaiki, contohnya, ada empat sekolah di kawasannya iaitu SRJKT Kampung Baru, SRJKT Ladang Alma, SRJKC Keow Kuang dam SK Machang Bubok yang tidak ada padang.
“Baru-baru ini, sekumpulan 43 pelajar cacat penglihatan daripada SRK Bukit Minyak mengadu kepada saya mereka tidak lagi diberi Brailler seperti dulu. Ini menyulitkan mereka untuk mengaji terutamanya selepas waktu sekolah kerana setiap Brailler berharga kira-kira RM2,250.
“Wang yang dibelanjakan untuk satu hari berhibur ketika Hari Belia 2012 iaitu RM11 juta itu sudah boleh untuk membeli kira-kira 5,000 Brailler bagi membantu pendidikan anak-anak muda yang cacat penglihatan.
“Dan yang terbaru, kita dibelenggu masalah tahunan di mana pelajar kaum minoriti gagal mendapat tempat di universiti. Jika kos untuk seorang mahasiswa ke universiti sampai hingga pengajian kira-kira RM50,000 berdasarkan kos pengajian bidang undang-undang di sebuah kolej swasta, maka perbelanjaan Hari Belia itu mampu membiayai lebih 1,000 pelajar untuk masuk universiti,” tambahnya.
Steven Sim yang juga Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang berkata, sebagai anak muda beliau tidak nampak manfaatnya perbelanjaan berpuluh juta ringgit itu selain untuk hiburan.
Katanya, disebabkan sambutan itu hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-13, maka timbul syak bahawa RM55 juta itu adalah untuk belanja pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang mensasarkan anak muda.
Beliau berkata, ucapan Perdana Menteri ketika majlis pelancaran jelas menunjukkan kementerian mengambil kesempatan Hari Belia itu untuk menyebarkan propaganda kerajaan bagi meraih undi anak muda.
“Tahun lalu, satu dokumen tuntutan kewangan muncul di Internet, mendakwa kontraktor terbabit dengan program Hari Belia 2012, Stadium First, menuntut pembayaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM10.6 juta iaitu 70% daripada keseluruhan kos perkhidmatan dan bekalan oleh Stadium First berjumlah RM15.2 juta.
“Jumlah keseluruhan termasuk RM2.04 juta kos artis K-Pop dari Korea Selatan. Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Mohid Mohamed mengaku itu adalah invois awal untuk penganjuran Hari Belia 2012,” katanya.-Roketkini.com
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment