Saya kira gagalnya parti kebangsaan melayu Umno membawa suara Islam hingga kerajaan terpaksa menarik balik tiga rang undang-undang berkaitan Islam pada 8 Julai daripada dibaca untuk kali kedua dalam sesi parlimen perlu diketahui oleh segenap rakyat khususnya mereka yang beragama Islam. Rang undang-undang tersebut ialah Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013, Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013,
Usul penarikan balik tersebut telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said setelah dipersetujui jemaah menteri dalam mesyuarat kebinet pada 5 Julai sebelumnya.
Islam itu adalah rahmat untuk sekalian alam. Ia tidak terhad kepada orang-orang Islam, tetapi ia merangkumi seluruh manusia bahkan semua makhluk di seluruh pelusuk alam. Melalui pembentangan rang undang-undang tersebut, pihak kerajaan seharusnya mengambil kesempatan bagi menampilkan keadilan Islam termasuk kepada mereka yang bukan beragama Islam.
Difahamkan penarikan balik ketiga-tiga rang undang-undang tersebut dibuat berikutan bantahan besar-besaran oleh parti-parti komponen dalam Barisan Nasional berkaitan isu memeluk Islam oleh anak di bawah umur kepada pasangan bukan Islam yang salah seorangnya telah memeluk Islam. Peruntukan khusus yang telah menimbulkan bantahan tersebut adalah seksyen 107 Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 2013.
Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa peruntukan yang sama telah sedia berkuatkuasa melalui seksyen 95 Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993, (Akta 505). Ia diperkuat pula oleh satu keputusan Mahkamah Agong pada 1990 dalam kes TEOH ENG HUAT v KADHI, PASIR MAS & ANOR.
Dalam sidang lima hakim Mahkamah Agong yang diketuai oleh Ketua Hakim Abdul Hamid ketika itu, peruntukan Perkara 12 (4), Perlembagaan Persekutuan telah mula disentuh. Perkara 12 (4) memperuntukan bahawa ibu atau bapa yang disebut dalam bahasa Inggeris dengan perkataan (parent) mempunyai hak menentukan agama anaknya yang di bawah umur 18 tahun.
Peruntukan inilah yang dimasukkan dalam Akta 505 yang diperbaharui pula dalam rang undang-undang yang telah ditarik balik baru-baru ini. Jika kita masih ingat, isu berkaitan kemasukan anak bawah umur ke dalam Islam yang mengikuti salah seorang ibu bapa yang memeluk Islam telah mula hangat pada tahun 2009 sewaktu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mula menerajui Negara.
Timbul persoalan bila mana Timbalan Perdana menteri YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagaimana dilaporkan Bernama pada 6 Julai 2013 lalu menyebut hal penarikan balik rang undang-undang tersebut telah dibincangkan secara terperinci oleh kabinet. Apakah sebelumnya kabinet tidak membincangkan secara terperinci sebelum rang undang-undang tersebut mula digubal untuk dibentangkan?
Bukankah pada 3 Oktober 2012 lalu, sebagaimana dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kita mempunyai penasihat agama iaitu Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang dibayar (RM25,106) sebulan? Sewajarnyalah beliau yang merupakan mantan Ahli Parlimen Besut boleh ditugaskan bagi memastikan kelancaran rang undang-undang tersebut digubal untuk dibentangkan tanpa ditarik balik seperti hari ini.
Apa yang dapat kita perhatikan, parti kebangsaan Melayu Umno yang dikatakan menguasai kabinet bagaikan sukar dan tidak mampu untuk membawa suara Islam bagi didaulatkan.
Signifikan rang undang-undang yang telah ditarik balik bukan sekadar berlegar sekitar isu anak bawah umur memeluk Islam. Seperti mana yang pernah saya nyatakan, ia seharusnya menjadi peluang terbaik untuk memulakan langkah membuka mahkamah syariah kepada bukan Islam agar keadilan Islam mampu dirasai oleh setiap insan.
Lemahnya parti Umno dalam isu ini perlu disedari oleh setiap pengundi Kuala Besut yang akan membuang undi pada 24 Julai 2013 kelak. Sesungguhnya Islam hanya mampu disandarkan kepada parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan. Tegasnya Parti Islam Semalaysia PAS mendokong aspirasi Islam telah sedia maklum oleh semua pihak dan diterima oleh parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat.
Peluang pada 24 Julai 2013 harus dimanfaatkan oleh pengundi Kuala Besut bagi menyatakan sokongan dan dokongan kepada PAS bagi membawa suara perjuangan Islam di persada politik Negara. Apatah lagi, dengan kedudukan Dewan Undangan Negeri 16-16, kemenangan calon PAS tentunya akan kian dirasai. – 7 Ramadhan 1434H.
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment