Monday, July 15, 2013

Antara Janji dan Realiti: Rakyat Terus 'digula-gulakan' oleh BN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera dan selamat pagi kepada semua rakan media sekalian yang sudi hadir membuat liputan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N1 Kuala Besut:
Rumah Percuma Untuk Rakyat
Medan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut kini menjadi pentas kepada pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menabur 'janji-janji manis' bagi mengumpan rakyat miskin terus bersama mereka.

Dua hari lalu ( Sabtu : 13 Julai 2013 ), Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan kepada 72 keluarga miskin bakal mendapat 'durian runtuh' jika rakyat memilih BN pada 24 Julai ini. Maka, telah diadakan satu Majlis Peletakan Batu Asas dan Pecah Tanah Projek Pembinaan 72 unit Pangsapuri di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut.

PAS tidak menentang sebarang bentuk pembangunan yang baik dibuat oleh kerajaan. Apatah lagi, jika sesuatu kemudahan yang hendak dibangunkan itu boleh diberi 'PERCUMA' kepada rakyat yang miskin serta tidak berkemampuan. Bahkan, itulah yang menjadi agenda PAS dan Pakatan Rakyat jika diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Negeri dan Negara, Insya'Allah.

Namun, kebimbangan kami (PAS) sama ada janji-janji untuk rakyat itu Realiti atau sekadar janji manis untuk kempen pilihan raya (PRK) ini sahaja. Sebabnya, kita ada banyak bukti-bukti kegagalan Umno-BN yang memerintah melaksanakan tuntutan tersebut. Akhirnya, rakyat yang menjadi mangsa 'kebergantungan' mereka kepada kerajaan BN.

Saya berikan beberapa contoh... Pertama, dalam isu tanah rakyat di Kampung Tok Saboh sendiri yang baru dibuat majlis peletakan batu asas untuk projek pangsapuri percuma kepada rakyat miskin di Dun Kuala Besut. Suka saya ingatkan kepada semua rakan media pada pagi ini. Ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu tahun 1999-2004, kita (PAS) telah berjaya menyedia dan mengagihkan tanah-tanah lot perumahan dan pertanian kepada rakyat di sini. Malangnya, apabila kerajaan BN kembali berkuasa telah dibatalkan dan 'dirampas' kembali tanah-tanah tersebut dari rakyat.

Tanah rakyat di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tok Saboh telah 'dirampas' kembali oleh kerajaan BN. Bahkan, tanah yang telah dibina rumah-rumah oleh rakyat juga 'dirobohkan' tanpa sebarang bayaran pampasan. Ini berlaku di seluruh negeri Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besarnya, Dato' Seri Idris Jusoh dan Dato' Seri Ahmad Said selepas itu. Maknanya, PAS membina dan BN meruntuhkannya.

Isu sejarah rampasan tanah rakyat di Tok Saboh berlaku apabila kerajaan Umno-BN Terengganu yang kembali berkuasa pada tahun 2004, bertindak 'merampas' tanah-tanah Lesen Menduduki Sementara (LMS) pemberian kerajaan PAS Terengganu.

Ketika itu, kerajaan negeri diterajui oleh mantan MB Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh yang kini Ketua Umno Bahagian Besut dan Menteri Pendidikan (II) Kementerian Pendidikan Malaysia. Legasi merampas tanah rakyat diteruskan polisinya oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Ahmad Said.

Hari ini, di tempat yang sama kerajaan bercadang membina pangsapuri percuma untuk rakyat. Jika tidak kerana pilihan raya ini tidak mungkin rumah / pangsapuri tersebut akan diberi 'percuma'. Tan Sri Muhyiddin pula menganggap pembinaan pangsapuri oleh kerajaan negeri ini sebagai "durian runtuh". Sebab, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sendiri, yang menyatakan pangsapuri itu "mungkin diberi percuma", kerana mangsa tidak berkemampuan untuk memiliki dan membayarnya.

Tawaran ini sama seperti yang diwar-warkan kepada penduduk di Kampung Ladang Kuala Terengganu, yang terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan. Mereka juga 'dijanjikan' rumah pangsa yang murah di Flat Ladang Gemilang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun 2008 yang lalu. Namun sebaliknya, hari ini penghuni di Flat Ladang Gemilang masih berstatus 'penyewa' selamanya dengan kadar sewaan yang tinggi. Akhirnya, mereka sendiri tidak mampu untuk bayar sewa dan ada yang terpaksa berpindah ke tempat lain. Maka, orang Melayu di Kampung Ladang Kuala Terengganu telah kehilangan kampung tradisi mereka yang menjadi warisan sejarah termasuk hilang mata pencarian keluarga masing-masing seperti pembuatan tembaga, songkek, keris dan sebagainya.

Kedua, kita lihat sepanjang kempen pilihan raya ini pihak Umno dan kerajaan BN mempergunakan peluang status kemiskinan dan berpendapatan rendah untuk 'mengikat' sokongan rakyat kepada parti pemerintah. Pelbagai janji dan 'habuan' bakal diterima rakyat sepanjang 12 hari berkempen seperti bantuan Dana Khas, Dana Raya, Dana Bakti Remaja, Dana Nelayan dan pelbagai dana lagi untuk 'menghalalkan' cara bagi mengikat sokongan rakyat kepada parti BN. Ini suatu perkembangan yang tidak sihat diamalkan untuk rakyat oleh parti pemerintah.

Justeru itu, kita (PAS) harap rakyat sedia membuat perubahan baru ke arah pemerintahan Terengganu Baru dengan keputusan pilihan raya 16-16 pada 24 Julai ini. Saya yakin dan percaya, rakyat di Besut terutama para pengundi di Dun Kuala Besut ini akan mencipta sejarah baru bagi menamatkan peminggiran Kuala Besut dari arus pembangunan yang lebih baik, terurus dan maju, Insya'Allah.

SEKIAN, TERIMA KASIH

Ustaz Wan Azhar Wan Wan Ahmad
YDP PAS Kawasan Besut
15 hb Julai - bersamaan 6 Ramadhan 1436H.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular