Kita baru saja habis mengadakan pilihan raya dan kabinet sudah dibentuk maka sekarang harus meneruskan usaha memartabatkan kedaulatan negara dalam berhadapan dengan agenda Amerika Syarikat (AS) menguasai dunia melalui perdagangan.
Mungkin tidak ramai orang awam, golongan profesional mahupun golongan akademik mengetahui agenda AS melalui perdagangan Perjanjian Persahabatan Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) dan lebih membingungkan kerana ketiadaan ketelusan kerajaan dalam mendedahkan rundingan antara Putrajaya dan Washington dalam perkara yang berkaitan dengan perdagangan yang amat menyentuh persoalan kedaulatan negara.
Perjanjian TPPA dirundingi antara Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. Seperti North America Free Trade Agreement (NAFTA) yang dianggotai oleh AS, Kanada, dan Mexico, Amerika ingin mewujudkan suatu perjanjian eknomi serantau dalam kalangan negara Asia Pasifik yang dipenuhi dengan tanggungjawab dan komitmen.
Kegagalan rundingan perdagangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di mana negara Selatan telah mengukuhkan usaha mereka mempertahankan hak dan kedaulatan menyebabkan negara maju seperti AS mencari jalan keluar melalui perundingan dua hala seperti Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA dan terkini ialah perjanjian perjanjian serantau seperti TPPA.
Ia adalah sebahagian usaha korporat gergasi AS yang mendesak kepada agenda memperluas dan mengukuhkan penguasaan mereka dengan mengenepikan hak warga dunia negara Selatan.
Apa yang kita bimbangkan kerajaan Malaysia akan menandatangani rundingan TPPA yang dijangka dimeterai pada Oktober 2013 di Brunei.
Perjanjian itu antaranya akan melibatkan peraturan ubat generik tidak dibenarkan dijual di negara ini iaitu ubat tiruan seperti panadol umpamanya yang lebih murah yang mempunyai kandungan dan kesan yang sama dengan ubat asli.
Ini bermakna ubat hanya boleh dibeli secara langsung dari syarikat farmasi asal yang akan menyebabkan kos ubat sangat mahal . Ini berlaku kerana dalam perjanjian TPPA Hak Harta Intelektual ke atas ubat dikuatkuasakan untuk melindungi syarikat gergasi Farmakeutikal antarabangsa.
Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari USA yang menerima subsidi yang tinggi akan dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai. Perkara ini pernah diusahakan AS melalui FTA dahulu tetapi gagal.
Termasuk dalam agenda rundingan TPPA ialah juga bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain akan berhadapan persaingan pasaran terbuka. Persoalannya sejauhmanakah industry perkhidmatan kita bersediakan berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?
Keadaan ini akan bertambah buruk apabila syarikat tempatan dan negara akan terdedah kepada tindakan undang-undang antarabangsa jika ada layanan lebih diberi kepada syarikat tempatan (misalnya syarikat Bumiputera) tetapi mengenepikan syarikat asing. Melalui peruntukan dalam perjanjian TPPA syarikat asing yang melabur di negara ini harus diberikan layan sama rata dengan syarikat tempatan.
Ini seolah-olah menyamai peraturan perdagangan yang termaktub dalam perjanjian perdagangan industri perkhidmatan dan regim pelaburan yang dirundingi melalui WTO.
Apa yang harus diketahui rakyat Malaysia ialah rundingan TPPA ini sangat berisiko tinggi untuk Malaysia kerana klausa yang terkandung di dalamnya boleh merangkumi hampir semua industri dan mewujudkan persaingan yang akan merugikan ekonomi tempatan.
Jika sesiapa masih ingat Malaysia hampir-hampir menandatangani perjanjian FTA dengan AS beberapa tahun yang lalu tetapi apabila tekanan dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi kepentingan orang awam maka perjanjian itu tidak dimeterai.
Seperti FTA, kesan perjanjian TPPA akan berakhir dengan kerugian yang akan ditanggung oleh usahawan tempatan serta membebankan kualiti hidup rakyat dan meningkatkan kos hidup rakyat segala keseluruhannya.
Apa yang dikesalkan kenapakah kerajaan Malaysia tidak mendedahkan perundingan ini kepada awam untuk mendapatkan maklumbalas. Adakah kerana terlalu ia terlalu teknikal maka kerajaan merasakan rakyat tidak perlu mengetahui kerana rundingan di pihak kerajaan adalah mewakili kepentingan orang awam.
Apakah kumpulan profesional dan NGO tidak mempunyai kepakaran untuk memberikan maklum balas atau sekurang-kurang membantu kerajaan dalam menangkis agenda penjajahan baru halus AS dan negara Barat itu?
Lebih menyedihkan ia tidak diutarakan di Dewan Rakyat dan ahli Parlimen juga tidak dimaklumkan untuk dibahaskan.
Padahal natijahnya jika ia dimeterai akan memberi kesan yang sangat besar kepada seluruh kehidupan rakyat.
Jika rundingan yang menyentuh aspek kedaulatan dan kos hidup rakyat kenapa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengutamakan rakyat dengan semangat 1Malaysia perlu dirahsiakan dan dalam perjanjian seperti ini tidak sepatutnya dimeterai dan terlindung dari pengetahuan orang awam.
Rakyat berhak tahu dan memberi pandangan apabila perjanjian seperti ini melibatkan kualiti hidup mereka sama ada dalam jangka panjang mahupun jangka pendek.
Banyak maklumat penting mengenai TPPA yang belum diperolehi oleh orang awam supaya satu proses maklumbalas dan konsultasi antara masyarakat madani dan kerajaan dapat digerakkan.
Malah penyertaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam rundingan TPPA bersama 11 negara lain (Australia, Brunai, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam) itu tidak diketahui oleh ahli Parlimen sendiri.
Malaysia sekarang sedang menyertai pusingan rundingan TPPA kali ke-17 yang diadakan di Peru bermula 15 hingga 24 Mei 2013 tetapi tidak diketahui oleh Ahli Parlimen apatah lagi orang awam.
Namun pada 13 Jun 2011, bahagian-bahagian dalam rundingan pelaburan yang dicadangkan untuk TPPA telah dibocorkan dan dihantar online oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan Warga Awam yang berpusat di Washington.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang meneliti dokumen yang dibocorkan itu memberikan keprihatinan serius mengenai bahagian-bahagian yang terkandung dalam dokumen tersebut yang ternyata merugikan negara-negara yang akan menandatanginya.
Melalui dokumen dibocorkan, CAP juga mendapati bahawa seolah-olah Malaysia telah bersetuju dengan sesetengah perkara yang terdapat dalam dokumen tersebut dalam memberikan hak-hak yang lebih besar dan keistimewaan kepada pelabur asing dan korporat-korporat gergasi dan membataskan kuasa kerajaan dalam mengawal selia bagaimana firma-firma harus beroperasi di dalam negara kita.
Ini seolah-olah meletakkan kepentingan korporat asing mengatasi kebajikan dan kepentingan rakyat kita. Sehubungan itu kebimbangan ini telah disuarakan CAP melalui surat kepada editor yang dihantar kepada akhbar tempatan pada Disember 2011. Tetapi tiada maklum balas yang secukupnya.
Terdapat agenda-agenda dalam pelaburan yang hendak diwujudkan tidak dipersertujui oleh negara seperti Australia dan New Zealand kerana menggugatkan kedaulatan negara tersebut dalam hak membuat keputusan.
Jika Australia dan New Zealand dua buah negera maju pun menolak isu-isu pelaburan seperti layanan status tempatan maka Malaysia juga harus memikirkan mengenainya.
Sehubungan itu antaranya CAP menggesa:
• Supaya rundingan TPPA ditangguhkan sehingga segala teks dan semua dokumen relevan mengenainnya didedahkan kepada penelitian orang awam dan NGO dan analisa untung ruginya dijalankan bagi mengetahui kepentingan kepada rakyat, usahawan dan negara.
• Rundingan berhubungan dengan pelaburan seperti status layanan tempatan yang merugikan itu harus dibuang daripada TPPA. Namun jika kerajaan ingin meneruskan rundingan dalam bahagian berkaitan dengan pelaburan, CAP menggesa kerajaan supaya perkara-perkara seperti penyelesaian pertikaian antara pelaburan dan negara dikecualikan sebagaimana yang dilakukan Australia.
• MITI harus memberikan penerangan mengenai hal ini.
Pada asasnya TPPA adalah versi baru dari FTA dengan USA. Perjanjian FTA menerima bantahan dari pelbagai pihak yang akhirnya tidak ditandatangani oleh Malaysia dan FTA mengikut jadual asalnya.
Malah kebanyakan isu dan isu kandungan TPPA adalah perkara-perkara yang diutara dan dirundingan dalam Perjanjian Langkah-Langkah Pelaburan Berkaitan dengan Perdagangan (TRIMs), Perjanjian Hak-Hak Harta Pemilikan Intelektual Berkaitan Dengan Perdagangan (TRIPs) dan Perjanjian Perdagangan Berkaitan dengan bidang Perkhidmatan (TRiS) dan juga perjanjian perdagangan dengan pertanian yang terkandung dalam WTO.
Berdasarkan kepada perkara-perkara di atas adalah diharapkan kerajaan Malaysia tidak meneruskan penyertaan dalam rundingan TPPA sehingga analisis terperinci dapat dihasil untuk dibahaskan kepada umum mengenai kebaikan dan keburukan perjanjian TPPA tersebut.
NGO-NGO Malaysia seperti MAPIM, CAP, Rangkaian Dunia Ketiga (TWN) dan NGO berkaitan dengan kesihatan juga turut menyuarakan bantahan terhadap penyertaan Malaysia dalam rundingan TPPA kerana perjanjian ini mempunyai implikasi besar kepada kepentingan awam dan kedaulataan negara dan tidak sepatutnya diteruskan sebelum ia dibahaskan di peringkat rakyat Malaysia terlebih dahulu.
Sehubungan itu semua pihak harus mengorak langkah memberikan pendedahan kepada seluruh warga marhaen supaya mengetahui mengenai isu-isu yang menyentuh persoalan kedaulatan kepada negara kita. Pertahan negara kita!
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment