Monday, July 15, 2013

Ketegangan kaum di Kelang bahana yang lahir dari politik perkauman melampau demi mempertahankan kuasa?

Ketegangan Kaum di Kelang: Tidak Wajar Sorok Berita Sebenar
Kenyataan Media
15 Julai 2013

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa pihak polis memberi gambaran yang tepat kepada umum mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku Klang mutakhir ini. Pengamatan SAMM melalui SAMM Selangor zon Kelang mengesahkan memang berlaku ketegangan kaum namun keadaan dilihat terkawal.

Tindakkan pihak polis yang sengaja menyorokkan berita sebenar kononnya bagi mengekang kejadian lebih buruk, hanya menjadikan keadaan lebih tidak menentu dengan berita berbentuk khabar angin tersebar lebih meluas. Seharusnya, pihak polis bertanggungjawab memastikan khabar angin yang tidak benar dan mempunyai agenda jahat dipatahkan dengan memberi gambaran dan status terkini dari kawasan kejadian.

Ketegangan kaum di Kelang juga merupakan bahana yang lahir dari politik perkauman melampau. Semata-mata untuk mempertahankan kuasa, soal hubungan antara kaum bukan sahaja tidak dijaga rapi malah turut diapikan sentimen perkauman. Dalam pilihanraya umum lalu, pengundi melayu khususnya dimomokkan dan diugut supaya terus menyokong pemerintah kononnya kuasa melayu terhakis jika kerajaan tumbang.

SAMM juga menasihatkan semua agar bertenang dan dalam masa yang sama SAMM menyokong tindakan yang tegas dari pihak polis bagi menangani ketegangan ini. Orang ramai juga diminta supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin.

Dalam soal ini juga, kefahaman orang ramai adalah penting. Mujurlah rakyat Malaysia hari ini rata-ratanya tidak terikat dengan ketaksuban perkauman, hanya tinggal segelintir yang didoktrin oleh parti politik berasaskan kaum masih mempunyai pemikiran era pra-kemerdekaan.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Polis: Jangan sebar khabar angin kes pergaduhan
Polis Selangor hari ini memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menyebar khabar angin dan maklumat palsu menerusi media sosial berhubung insiden pergaduhan di daerah Klang Utara, dalam minggu ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata pergaduhan yang berlaku pada 10 Julai dan awal pagi ini bukan disebabkan rusuhan kaum sebaliknya berpunca daripada salah faham dan rasa tidak puas hati individu terlibat.

"Insiden berkenaan bukan rusuhan dan tidak berkaitan antara satu sama lain. Jadi saya beri amaran kepada sesiapa yang sebarkan maklumat palsu sehingga membimbangkan masyarakat kita akan ambil tindakan tegas dengan menahan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua MIC Bahagian Kapar, T Ganesan; Ketua Pemuda MIC Selangor Shanker Raj Ayanger; dan anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Kapar, Abdul Rahim Shaharudin.

Mereka menafikan maklumat palsu tersebut.
Menurut Thaiveegan, pihak yang didapati menyebarkan maklumat palsu melalui SMS dan Facebook akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau sebarang kemusykilan perlu berhubung terus dengan pihak polis bagi mengelakkan wujudnya rasa bimbang atau takut.

Abdul Rahim meminta orang ramai supaya tidak bimbang berikutan pihak polis sentiasa menjalankan tindakan pencegahan di kawasan terlibat.

Dalam kejadian pada 10 Julai lepas, polis menahan tiga lelaki selepas terlibat dalam kejadian serangan ke atas sekumpulan lelaki di kawasan Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja di sini menyebabkan dua lelaki berumur lingkungan 20-an cedera parah di kepala serta beberapa anggota badan.

Kejadian itu berpunca daripada salah faham susulan satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada Rabu lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi ini pula, tiga lelaki yang sedang minum cedera selepas diserang sekumpulan 10 lelaki bermotosikal yang bersenjatakan kayu besbol dan parang di kawasan perumahan Taman Ismail, Sungai Pinang di Klang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap seorang daripada mangsa yang bertindak membakar motosikal miliknya pada Februari lepas.

Ekoran insiden itu, dua lelaki berumur 24 dan 32 tahun ditahan pihak polis di Batu 1, Jalan Kapar, Sungai Pinang kira-kira dua jam selepas kejadian.

Ketiga-tiga mangsa berumur 20-an dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 148 Kanun Keseksaan. - Bernama

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular