Monday, July 29, 2013

Bilik Persalinan dan Ramadhan

ORANG beriman itu mencintai segenap manusia kerana yang lain itu adalah saudaranya. Tidak mungkin bagi seorang yang beragama Islam yang menyedari hakikat kejadiannya merendahkan suatu bangsa daripada bangsa lain – jika manusia itu terdiri daripada bangsa yang sama – bangsa manusia.

Menurut al-Qaradhawi, “demikianlah pandangan orang yang beriman terhadap sesama manusia; tidak merasa bangga dengan keturunan, tempat lahir, serta tidak ada kedengkian masyarakat.” Yang ada hanya perasaan kasih dan sayang yang meliputi lebih 70 peratus pesan dalam al-Quran.

Matlamat al-Quran untuk mewujudkan kehidupan berkeadilan dan bersifat egaliterian dapat dilihat daripada kecaman yang keras pada ketaksamaan ekonomi dan ketempangan sosial di Makkah lagi. Perginya Rasul Allah rupanya membawa sekali nilai yang diajarnya untuk seluruh umat manusia tanpa batasan primordial.

Sikap mahu menunjuk siapa lebih Islam

Sikap tidak ambil peduli akan kesusahan orang lain dengan hanya mementingkan keperluan sendiri inilah yang dapat dilihat dalam “isu makan dalam bilik persalinan” atau “isu kantin”.

Tidak kurang pihak yang mempergunakan isu ini untuk menunjukkan siapa lebih Islam, memenangkan hati pengundi atau memecahbelahkan masyarakat demi kepentingan sendiri. Atas ini semua, tidak lain menunjukkan kepicikan dan bahaya politik demagog.

Perkara seumpama ini tidak harus dibenarkan berlaku oleh mereka yang punya akal sehat. Terlebih lagi dalam bulan Ramadhan, kanak-kanak ini tidak patut dijadikan instrumen untuk setengah yang lain meneruskan ibadah puasa. Sesuai dengan semangat yang dibawa bulan ini, bulan kasih sayang mengajar kita tentang sesuatu yang melampaui makanan – moreh, kuih pelita, gulai kawah – iaitu kemanusiaan.

Malah Ali Shariati pernah melontarkan pertanyaan yang sangat relevan dewasa ini di tengah-tengah masyarakat moden, “Apakah bijaksana jika kita meremehkan fikiran dan pelbagai kepercayaan massa? Atau haruskah kita memaksakan gagasan kita sendiri kepada massa? Jika berbuat demikian, yakinkah kita bahawa pemaksaan itu tidak membuat mereka menjadi taksub atau reaksioner? Sebagaimana Luther dan Calvin, kita juga menghadapi faktor perubahan dari tradisionalisme dalam agama kita, dan kita harus belajar mengubah semangat kemunduran yang ada.

Ada manusia tidak mampu berfikir secara rasional

Namun sayang, kita hanya mampu membentuk kader intelektual atau kelompok elit yang berkerumun di kedai kopi atau pesta serta melemparkan isme baru yang sedang laris sementara mereka mengabaikan massa masih hidup di Zaman Pertengahan dan tidak terpengaruh sedikitpun oleh gagasan kita yang aneh”.

Kejadian ini berjaya menunjukkan kepada kita bahawa amalan kita hanya hipokrit semata. Isu ini adalah antara serentetan isu lain, kesan gagalnya kebersamaan antara kaum dan agama. Sedangkan kita telah diajar lebih awal bahawa “Janganlah permusuhan suatu kaum terhadap kamu membuatmu berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana itu lebih dekat kepada taqwa.” [5:8]. Malangnya, di sekolah kita sukar menemukan orang yang punya nilai moral “altruism” – seperti dikatakan Auguste Comte.

Malah bertindak ego dengan bermacam alasan. Bukan sahaja kerana kejadian ini ditemukan pada bulan Ramadhan tetapi kerana adanya manusia yang tidak mampu berfikir secara rasional seperti seharusnya seorang guru.

Agama dan kepercayaan apapun mengajar akan nilai kasih sayang namun ideal dan praktiknya adalah dua hal berbeza. Dari segi praktiknya melahirkan mereka yang kecewa dengan ‘agama’ – Karl Marx dengan “agama adalah candu masyarakat”, Sigmund Freud “agama pengaruh represif dari kebudayaan” dan Frederich Nietzsche “agama ialah etika budak-budak”. Mereka ini kecewa dengan keterasingan (alienation) dan penindasan (domination) agama pada waktu itu. Agama seharusnya punya fungsi solidariti (Durkheim) dan ekonomi (Weber) dan bukan ilusi. Agama ialah penggerak hidup dan kitab suci harus ditekuni bukan dihafal daripada bibir ke bibir.-Roketkini.com

- See more at: http://roketkini.com/2013/07/29/bilik-persalinan-dan-ramadhan-oleh-aishah/#sthash.K6FLcUQe.dpuf

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular