SEJAK akhir-akhir ini kedengaran kes-kes jenayah berat yang melibatkan pembunuhan menggunakan senjata api mahupun senjata-senjata lain yang merbahaya.
Antara kes yang terbaru melibatkan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch yang cedera parah ditembak di sekitar Bahau, Negeri Sembilan.
Ini bukan kes yang pertama berlaku di negara kita malah di sana terdapat banyak lagi kes-kes jenayah manusia yang telah berlaku di dalam negara kita.
Meskipun pihak pemerintah dan badan berwajib telah berusaha melakukan pelbagai inisiatif untuk membendung jenayah ini namun jelas ianya tidak berhasil malah semakin memberikan kesan negatif.
ALLAH SWT telah menarik rasa aman dan selamat yang ada pada diri manusia, kehidupannya dan negaranya, akibat perbuatan manusia itu sendiri yang membelakangi perintahNya. Manusia jika tidak disirami dengan cahaya keimanan akan dikuasai oleh hawa nafsu yang rakus.
Usaha yang betul-betul sahaja tidak cukup jika kaedahnya tidak betul. Jenayah rogol, buang bayi, merompak, bunuh, zina, sumbang mahram dan lain-lain merupakan jenayah yang tidak ada penyelesaiannya melainkan dengan kembali kepada Penciptanya.
Kita sering diingatkan tentang firman ALLAH SWT yang menyebut tentang kewajipan umat Islam untuk berpuasa sepertimana firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 ;
"Wahai orang-orang yang beriman, diWAJIBkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
Maka, kita bertungkus lumus berpuasa di siang hari, tidak tinggal meskipun kadang-kadang ada dikalangan kita yang sakit dan musafir (walaupun diberi keringanan oleh ALLAH SWT untuk berbuka) tetap juga meneruskan puasa, memperlihatkan kesungguhan kita dalam melaksanakan perintah puasa dari ALLAH SWT.
Namun, bagaimana kita boleh terlupa akan perintah ALLAH SWT beberapa ayat sebelum itu yang bermaksud ;
"Wahai orang beriman! DiWAJIBkan ke atas kamu hukum qisas dalam pembunuhan iaitu orang merdeka dengan merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Sesiapa yang mendapat kemaafan daripada saudaranya (mangsa) dengan pembayaran yang sesuai maka hendaklah ia mengikutnya secara baik dan membayar (diyat) kepadanya dengan cara yang baik. Demikian itu suatu keringanan dan rahmat daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang melampau batas sesudah itu maka baginya azab yang sangat pedih."
Dan ALLAH SWT sendiri telah meletakkan jaminan keamanan pada hukumNya sepertimana disebutkan pada ayat seterusnya ;
"Dan didalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah : 178-179)
Justeru, di mana kesungguhan kita untuk melaksanakan hukum ALLAH SWT dalam ayat di atas sepertimana bersungguhnya kita melaksanakan ayat kewajipan berpuasa? Apakah di sana ada hukum yang boleh menjamin keselamatan manusia setaraf dengan hukum daripada ALLAH SWT?
Ayuh, jadikan Ramadhan kali ini lebih bernilai dengan penghayatan untuk kembali tunduk menyerah diri kepada hukum Allah ALLAH.
Semoga ALLAH SWT menetapkan hati kita atas jalan iman dan perjuangan insyALLAH.
Pengarah Operasi,
Institut Pemikiran Fadzil Noor (INFO).
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment