Thursday, August 1, 2013

Polis jadi instrumen politik, punca jenayah berleluasa

BUKIT MERTAJAM, 31 JULAI: Peningkatan jenayah terutama membabitkan pembunuhan di tempat awam adalah berpunca daripada tindakan kerajaan yang menggunakan instrumen polis untuk kepentingan politik.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, alasan kerajaan kononnya polis tidak memiliki sumber mencukupi adalah sama sekali tidak berasas.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes tembakan ke atas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan dan disusuli dua hari kemudian dengan kes pembunuhan Pengasas Bank Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi, serta pembunuhan lain turut berlaku di Ipoh dan di Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam.

“Persoalannya sekarang, adakah masalah itu benar-benar berpunca daripada sumber yang tidak cukup atau kekurangan anggota? Apa yang jelas sumber yang tidak cukup bukan alasan dalam soal ini kerana bajet PDRM bertambah setiap tahun.

“Ia diakui sendiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada persidangan Parlimen lalu ketika menjawab soalan saya, beliau menyatakan bahawa peruntukan kepada PDRM bertambah setiap tahun. Dalam tempoh enam tahun antara 2007 dan 2012, bajet polis meningkat 65.17 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam satu kajian yang dilakukan Penang Institute, pembunuhan yang membabitkan tembakan antara Januari dan April tahun ini menunjukkan 38 kes dengan purata dua kes seminggu. (Http://penangmonthly.com/gun-killings-on-the-rise/)

Menurut Steven Sim, berdasarkan kajian itu, jelas membuktikan aktiviti jenayah yang berleluasa itu berpunca daripada ketidakcekapan polis sendiri.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan menyifatkan punca utama kelemahan itu adalah disebabkan tindakan kerajaan mempolitikkan badan penguatkuasaan itu untuk tujuan tertentu.

“Seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan Isnin lalu, kerajaan cuba mengekalkan kuasa dengan mempolitikan polis untuk melanjutkan hayat kepentingan politik sempit mereka dan daripada salah guna kuasa terhadap polis inilah yang mencipta satu budaya salah guna kuasa dalam pasukan polis sendiri.

“Semua ini menyebabkan ketidakcekapan dan kehilangan profesionalisme di kalangan PDRM,” ujarnya.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan yang hanya pandai menabur janji namun tidak bersungguh-sungguh membasmi jenayah.

“Komitmen kerajaan memerangi jenayah hanya sekadar dibibir. Mereka ternyata lebih sibuk melawan perbezaan pandangan politik dan mengintip pimpinan oposisi daripada memerangi jenayah. Ini terbukti berdasarkan statistik yang diberi Ahmad Zahid kepada saya, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching. Jawapan Ahmad Zahid kepada kami sama sekali berbeza.

“Jumlah kakitangan dalam Cawangan Khas (SB) dan jabatan khas yang diberi pada saya adalah seramai 7,642 kakitangan manakala Chin Tong dan Nie Ching pula seramai 6,772 orang.

“Terdapat peningkatan sebanyak 6.24 peratus (583 pegawai) bilangan kakitangan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSK), manakala peningkatan 46.43 peratus kakitangan daripada SB dan petugas khas, ini adalah penambahan seramai 2,423 kakitangan. Dalam jawapan diberi kepada Chin Tong dan Nie Ching pula peningkatan kakitangan JSK adalah kira-kira 8.6 peratus (804 pegawai), untuk SB dan petugas khas pula kira-kira 20.18 peratus (1,053 pegawai).

Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan untuk mengesahkan mengenai jumlah angka yang diberi itu.

“Jika benar, ia perlu dihentikan. Mengapa kerajaan membelanjakan sumber polis untuk melawan pimpinan oposisi dan rakyat yang berbeza fahaman politik bukannya memerangi jenayah.

“Yang pentingnya adalah menyusun semula pasukan polis supaya dapat menambah bilangan pegawai untuk memerangi jenayah dan rondaan untuk memastikan keselamatan rakyat,” tegasnya.-Roketkini.com

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular