Saturday, August 3, 2013

BR1M bukan bukti kemampuan kewangan negara

PAS ingatkan Melayu, BR1M bukan bukti kemampuan kewangan negara
Komuniti Melayu, Islam di negara ini disarankan untuk tidak menilai pemberian kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai kayu pengukur kepada keupayaan kewangan negara kerana mereka adalah bangsa yang akan terjejas jika berlaku kejatuhan ekonomi, kata PAS.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan, Melayu selaku kaum majoriti di negara ini lebih melihat kepada bantuan dan "gula-gula" pilihan raya sebagai kayu pengukur ekonomi negara sedangkan Malaysia kini berada di paras bahaya daripada struktur ekonomi berdasarkan kajian agensi penilaian global, Fitch Ratings.

"Ini bukan ukuran kekuatan ekonomi negara, dan orang Melayu-Islam perlu sedar segalanya memerlukan sumber untuk membayarnya," kata Tuan Ibrahim, dalam satu kenyataannya lewat malam tadi merujuk kepada BR1M dan bantuan kerajaan BN menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13), baru-baru ini.

"Kesihatan ekonomi negara juga perlu dilihat dari sudut hutang negara, yang kini menghadapi tahap maksima 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), defisit belanjawan yang semakin meruncing dan kejatuhan nilai Ringgit secara mendadak," katanya.

Rabu lalu, Fitch Ratings dalam penilaiannya melihat unjuran kredit Malaysia berubah daripada stabil kepada negatif berikutan kemungkinan kelemahan kewangan awam selepas PRU13.

Penilaian berkenaan muncul selepas ringgit Malaysia jatuh ke paras terendah berbanding dolar Amerika untuk tempoh tiga tahun dan tempoh 15 tahun terendah berbanding dolar Singapura menjadikan dagangan import lebih mahal sementara nilai eksport lebih rendah meskipun jumlah eksport menurun.

"Jangan hanya cepat melenting terhadap isu perkauman dan agama, tatkala isu ekonomi yang bakal menjejaskan beberapa keturunan bangsa tidak diendahkan," katanya.

Pemimpin PAS itu berkata, dengan pelbagai janji yang ditabur oleh BN ketika PRU13, rakyat Malaysia, terutama orang Melayu beragama Islam perlu fokus pada belanjawan 2014.

"Daripada segi usaha kerajaan untuk mendapatkan sumber untuk menanggung perbelanjaannya, mengurangkan hutang dan mengawal defisit daripada pemberian ‘menarik’ kerajaan untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada keadaan ekonomi yang semakin meruncing," katanya.

Orang Melayu, Islam juga, katanya, harus mendalami isu ekonomi dan seterusnya menerajui dan menjiwai isu ekonomi negara, kerana jika tidak, kerajaan akan terus acuh tidak acuh dalam menjawab isu berkaitan ekonomi dan kewangan negara kerana tiada tekanan daripada golongan majoriti dalam negara.

"Jangan mendidik rakyat untuk menilai ekonomi dan kewangan negara dari segi pemberian kerajaan dan tingginya nilai komposit Bursa Saham Kuala Lumpur untuk menjaga persepsi baik pada kerajaan," katanya memberi amaran kepada kerajaan.

Analisis Fitch mendedahkan kewangan awam Malaysia adalah petunjuk kelemahan nilai. Hutang kerajaan meningkat kepada 53.3 peratus dalam KDNK pada penghujung 2012 daripada 51.6 peratus pada hujung 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008.

“Defisit bajet umum kerajaan (data Fitch) meluas kepada 4.7 peratus KDNK pada 2012 daripada 3.8 peratus pada 2011 dengan 19 peratus meningkat dalam perbelanjaan awam sebelum tahun pilihan raya,” kata kenyataan analisis Fitch.

Namun Fitch percaya adalah sukar bagi Putrajaya untuk mencapai interim 3 peratus sasaran defisit kerajaan persekutuan pada 2015 tanpa sebarang pengenalan baru.

Ia turut melihat liabiliti luar jangka Putrajaya dan jaminan hutang meningkat kepada 15.2 peratus daripada KDNK menjelang hujung 2012 daripada 9 peratus hujung 2008 kerana penglibatan syarikat milik kerajaan negeri dalam program pelaburan kerajaan.

“Untung fiskal Malaysia rendah pada 24.7 peratus nilai KDNK terhadap julat median ‘A’ dengan 32.8 peratus. Fitch merujuk dua kelemahan bajet: penggantungan perolehan sumber petroleum dan peningkatan perbelanjaan subsidi.

Fitch turut menjangkakan pendapatan perbelanjaan petroleum menyumbang 33.7 peratus pendapatan kerajaan pada 2012.

Agensi penilai itu berkata: "Kita percaya kurangnya peningkatan struktur bajet berkait rapat dengan persiapan pilihan raya umum yang menyebabkan kerajaan lambat membuat pembaharuan. Situasi juga berkisar dengan Pemilihan Umno yang dijangka pada 5 Oktober."

Malah, kerajaan juga jelasnya menangguhkan rasionalisasi subsidinya selepas mengurangkan subsidi minyak pada Disember 2010.

“Ini membimbangkan terhadap fiskal 2012 dan 2013 yang dapat membantu mengurangkan beban kewangan awam,” katanya.

Badan itu merujuk meskipun subsidi dijangka menurun, ia boleh diperbaiki untuk 18 peratus bagi pendapatan 2013 (+21.3 peratus pada 2012) yang masih tidak stabil.

Awal tahun 2000, subsidi hanya 2.9 hingga 7.8 peratus daripada pendapatan negara ketika 2000-2004, berbanding purata 18 peratus setahun pada 2008.

“Kami menjangka kerajaan menyambung pembaharuan fiskal apabila pemilihan Umno tamat. Ini melihatkan kerajaan komited mengatasi defisit bajet melalui pembaharuan fiskal termasuk rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi meluaskan sumber cukai kerajaan,” katanya. - 3 Ogos, 2013.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular