Wednesday, July 31, 2013

Masa depan Malaysia bukan di tangan Umno

Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berusaha sebaik mungkin dalam kerjanya menjual parti yang didominasi kaum Cina iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) kepada masyarakat Melayu.

Beliau kagum dengan kemenangan 38 ahli partinya yang memenangi kerusi parlimen walaupun dengan sumber yang amat kurang; beliau menggelar rakan sekerjanya itu sebagai pasukan paling bersedia di Parlimen; beliau sangat selesa berada dalam kumpulan yang berjuang untuk kerajaan dan kepimpinan baik.

“Mereka komited dan berdedikasi, dan saya tidak pernah rasa terganggu atau rendah diri dengan jumlah kaum Cina yang ramai dalam DAP. Saya sangat selesa berada dalam persekitaran mereka dan mereka tidak pernah menghalang saya untuk menyuarakan isu mengenai orang Melayu,” katanya dalam satu temubual dengan The Malaysian Insider.

Bahagian yang paling sukar bagi bekas ahli dewan undangan negeri (Adun) Umno yang kemudiannya bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Raub di bawah topi DAP ialah: membantu pegawai parti untuk meyakinkan lebih ramai orang Melayu di seluruh negara bahawa Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng bukan gergasi atau ancaman terhadap kuasa politik orang Melayu seperti yang dimomokkan oleh pemimpin Umno, dengan yang terbaru ialah daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami perlu memusnahkan mitos bahawa DAP adalah buruk untuk orang Melayu. Kita bukan hendak merebut kuasa politik seperti apa yang Mahathir cakap.

“Jika semua kaum Cina bersatu bawah satu lambang sekali pun, secara matematiknya, ia mustahil kerana mereka hanyak membentuk 24 peratus dan Mahathir tahu perkara ini,” kata blogger yang menggunakan nama pena Sakmongkol AK47 itu.

Dalam ruangan pendapat di akhbar New Straits Times, Dr Mahathir berkata DAP memujuk pengundi Cina untuk menolak konsep berkongsi kuasa, sebaliknya merebut kuasa politik. Dr Mahathir diselar selepas mengeluarkan pendapat itu dan diingatkan bahawa Melayu, Cina dan India menyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Mohd Ariff kenal taktik menakut-nakutkan itu yang kebanyakannya disasarkan kepada penduduk luar bandar. Tugasnya ialah meyakinkan orang Melayu bahawa hak dan keistimewaan tidak akan menyelesaikan kemiskinan dan masalah ekonomi mereka, dan ia hanya boleh diselesaikan menerusi kerajaan yang baik dengan polisi terbaik.

“Selepas 55 tahun Umno memerintah, orang Melayu masih ketinggalan. Berbanding dengan fakta bahawa hampir semua jawatan penting dalam tampuk kuasa dipegang oleh orang Melayu.

“Pada pendapat saya, keadaan ini menunjukkan bahawa mereka hanya membantu golongan Melayu tertentu saja,” katanya dan menambah bahawa rasuah, nepotisme dan kronisme yang menjadi DNA politik Umno meyakinkan dirinya untuk meninggalkan Umno pada Januari tahun lalu dan menjadi Melayu dalam DAP.

Beliau tahu untuk memujuk orang Melayu bahawa DAP bukan sesuatu yang perlu ditakuti bukan perkara mudah tetapi beliau tidak gentar berdepan dengan cabaran sukar itu.

Beliau sebelum ini berada dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Adun antara 2004 – 2008.

Beliau kemudian menjadi blogger dan tulisannya mengenai politik menjadikannya mempunyai pengikut, terutama komennya mengenai kenakalan dan helah dalam Umno.

Pada penghujung tahun 2011, artikelnya mendapat perhatian Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke. Beberapa siri mesyuarat kemudiannya berlangsung dan pada 8 Januari 2012, Mohd Ariff dan seorang lagi rakan bloggernya, Aspan Alias menghadiri konvensyen DAP sebagai pemerhati.

Katanya, pada hari yang sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu beliau akan membuat pengumuman penyertaan ,ereka dalam parti itu, tetapi tidak menjanjikan untuk memberi jawatan dalam parti atau dicalonkan dalam PRU13.

Tetapi, sebelum pilihan raya pada 5 Mei, Mohd Ariff diberikan surat yang menamakannya sebagai calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Raub, kerusi yang dimiliki MCA selama beberapa dekad lamanya.

Hanya sekeping surat daripada ibu pejabat parti tanpa sebarang dana pilihan raya disertakan.

“Jadi, kami kena cari sendiri. Cuba bayangkan, semua calon DAP menggunakan sumber sendiri untuk menentang musuh yang mempunyai sumber tanpa had,” katanya.

Beliau memperolehi 23,415 undi berbanding calon BN, Hoh Khai Mun yang mendapat 20,601 undi.

“Ini adalah waktu terbaik untuk orang Melayu menjaga Raub. Kerusi itu ditandingi oleh kaum Cina untuk lebih 40 tahun. Ada 49 peratus pengundi Melayu dalam kawasan itu dan mereka mahu wakil Melayu,” katanya.

Dalam temubual bersama The Malaysian Insider, Mohd Ariff turut menyentuh mengenai:

* Najib dan pemilihan Umno akan datang

Najib akan berdepan dengan cabaran terbesarnya sebagai pemimpin dalam pemilihan Umno akan datang

“Golongan akar umbi sudah berteriak mahukan pemimpin yang tegas, tetapi Najib tidak. Sebagai insan, dia baik, saya pernah kenal dan terima kebaikannya. Tetapi daripada aspek kepimpinan, beliau tidak memiliki pemikiran kritis Mahathir. Betul atau salah, Mahathir yang buat keputusan, sementara Najib pula lebih kepada ragu-ragu dalam membuat keputusan dan enggan berada dalam kelompok orang yang lebih baik,” katanya.

“Falsafah Najib ialah terus menjaga dan rapat dengan sesiapa yang menyokongnya sebagai presiden Umno, supaya beliau boleh terus jadi PM. Ini adalah salah, pentingkan diri dan ia tidak bagus untuk negara,” katanya.

* Pemimpin masa depan Malaysia

Mohd Ariff berkata, masa depan negara bakal menjadi milik golongan muda seperti Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan ahli parlimen pembangkang seperti Rafizi Ramli, Dr Ong Kian Ming, Liew Chin Tong, Tony Pua dan Anthony Loke dan menggelar mereka sebagai ejen perubahan untuk Malaysia yang lebih baik.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa kerjaya Khairy dalam politik Umno mungkin tidak dapat berkembang kerana golongan ahli politik tua dalam Umno tidak menggemarinya berikutan pandangannya yang kadang-kala tidak selari dengan dasar yang didukung parti pemerintah itu. – 31 Julai, 2013.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular