KUALA LUMPUR: Menggembar-gemburkan isu Syiah untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu-isu yang menekan mereka seperti kenaikan kadar jenayah dan kenaikan harga barang tidak akan berjaya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
"Tindakan menggembar-gemburkan isu Syiah semakin kelihatan seperti tindakan terancang untuk mengalihkan perhatian orang-orang Melayu dari isu-isu yang lebih menekan mereka seperti kenaikan kadar jenayah yang semakin menakutkan dan kenaikan harga barangan.
"Tetapi tindakan itu pasti tidak akan berjaya kerana rakyat sudah semakin tahu dengan taktik mengalihkan perhatian itu," katanya.
Salahuddin juga melihat apa yang dilakukan itu sebagai lanjutan untuk "mengepung penyokong dan sokongan".
"Boleh dikatakan orang-orang Melayu adalah satu-satu pasaran yang masih terbuka untuk kepentingan politik Umno.
"Umno tahu ia tidak akan dapat menipu semua orang. Tetapi apa yang terus dilakukan oleh parti itu adalah semata-mata untuk mengepung penyokong dan sokongan sedia ada dari terlepas kepada pihak lain.
"Penyokong dan sokongan yang sedia ada perlu dilalaikan dengan perkara-perkara yang sensasi supaya mereka tidak sensitif langsung dengan isu-isu lain yang lebih menekan kehidupan rakyat," katanya.
Malah, katanya lagi, sering kali berlaku apa yang disensasikan untuk mengepung penyokong dan sokongan itu bukannya berasaskan kebenaran tetapi sengaja untuk menimbulkan keraguan.
"Sudah terlalu kerap kita melihat isu-isu yang disensasikan itu hanyalah semta-mata bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan akhirnya terbuktikan tidak benar sama sekali," kata beliau.
Salahuddin berkata, isu Syiah tidak perlu diapi-apikan kerana enakmen dan undang-undang yang sedia ada boleh digunakan untuk menanganinya.
"Kalau kerajaan pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengikut-pengikut Syiah, mengapa tidak digunakan enakmen dan undang-undang yang sudah lama ada.
"Mengapa sengaja membuat bising seolah-olah tidak ada enakmen dan undang-undang yang boleh menangani perkara itu?" beliau mempersoalkan.
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment