Friday, August 2, 2013

Sapu dulu baru kaji?

Setelah beratus juta duit rakyat disapu..... baru nak dikaji....
Kerajaan akan nilai semula AES selepas Hari Raya

PUTRAJAYA 2 Ogos - Kerajaan akan menilai semula penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sebelum ini telah mencetuskan banyak kontroversi selepas berakhirnya sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu diambil berikutan pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan sistem itu.

Katanya, semua rungutan dan bantahan orang ramai itu akan diambil kira sebelum kerajaan memutuskan tindakan selanjutnya.

"Antara bantahan yang kita dengar ialah orang ramai tidak gembira dengan penglibatan pihak ketiga dalam penguatkuasaan dan kutipan saman melibatkan AES.

"Bagi saya aspek penggunaan kamera itu bukan isu utama tetapi yang menjadi masalah ialah siapa melaksanakan sistem ini dan kutip saman, perkara ini yang mesti ditangani oleh kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Aidilfitri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Isu saman AES dibincang lepas raya, kata menteri - Bernama
Isu saman dikeluarkan melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibincangkan selepas raya ini, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau memberi jaminan keputusan yang akan dibuat kelak adalah adil kepada semua pihak.

"Isu ini perlu diselesaikan kerana kementerian menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai AES kerana ia dilakukan oleh "pihak ketiga" dalam pengeluaran saman dan pungutan wang saman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat kebangsaan sempena musim perayaan Aidilfitri 2013 di hadapan bangunan Perbadanan Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, operasi perangkap kelajuan melalui AES masih terus dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis kecuali wujudnya pindaan undang-undang terhadap tindakan penguatkuasaan itu.

Mengenai kempen itu, Hishammuddin berkata, kempen itu yang diadakan dengan kerjasama pelbagai kementerian berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada tahun lepas dan awal tahun ini menerusi pendidikan, penguatkuasaan dan pelbagai pendekatan lain.

Katanya,pada tahun ini kempen dijalankan dengan kerjasama antara lain Kementerian Pertahanan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Sambutan daripada semua kementerian sangat menggalakkan dalam memastikan kempen keselamatan jalan raya berjalan dengan jayanya," katanya.

Pada 12 Februari lalu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid berkata statistik kemalangan menurun sepanjang kempen Op Selamat II sempena Tahun Baru Cina.

Hishammuddin juga mahu JPJ melakukan pemeriksaan terhadap semua pemandu bas dan keadaan bas pada musim perayaan ini bagi memastikan keselamatan penumpang bas dan semua pengguna jalan raya terjamin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J Loga Bala Mohan; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Dr Tam Weng Wah. - Bernama, 2 Ogos, 2013.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular