Wednesday, July 31, 2013

Di mana kebocoran kemasukan senjata api?

Akta Senjata 1960 yang dipinda pada 1971 untuk penalti lebih berat menunjukkan kerajaan Malaysia mempunyai polisi yang sangat ketat untuk memiliki senjata atau lesen senjata.

Seriusnya kerajaan Malaysia untuk membendung rakyat Malaysia diancam dengan senjata api boleh dilihat daripada peruntukan akta ini yang membawa penalti maksima iaitu hukuman mati dan penjara seumur hidup sekiranya seseorang disabit kesalahan.

Di bawah Seksyen 3 Akta Senjata 1960 dinyatakan dengan jelas: “Seseorang tiada boleh memiliki, membawa atau menggunakan senjata-senjata tanpa lesen senjata atau permit senjata. “

Namun begitu, kelonggaran diberikan di bawah Sekyen 4 di mana “Permohonan untuk suatu lesen senjata atau permit senjata hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan kepada Ketua Pegawai Polis Negeri di mana pemohon tinggal, dan hendaklah menyatakan butir-butir tertentu sebagaimana yang diperlukan dalam borang tersebut.”

Di Sekyen 4 Perkara 2 Akta Senjata 1960, dinyatakan juga “seorang Ketua Pegawai Polis boleh memberi kepadaeeorang pemohon suatu lesen senjata atau permit senjata, mengikut mana yang berkenaan, jika ia berpuashati bahawa pemohon mempunyai alasan baik untuk memiliki, menjaga atau mengawal, atau membawa dan menggunakan mengikut mana yang berkenaan, senjata dan amunisi mengenainya permohonan dibuat, dan bahawa orang itu boleh diberi kuasa untuknya tanpa bahaya kepada keselamatan awam atau kepentingan awam.”

Mengikut laman di Kementerian Dalam Negeri, terdapat 3 asas rayuan bagi seorang untuk membeli baru/menukar milik senjata api jenis pistol dan senjata patah iaitu mencegah musuh tanaman, kegunaan sukan dan menjaga keselamatan diri dan hartabenda.

Antara syarat-syarat am yang dikenakan pada pemohon ialah pemohon perlu membukti bahawa ia tidak mempunyai rekod jenayah dan berada pada kesihatan yang baik.

Bagi pemohon membeli baru/menukar milik senjata api jenis senapang patah, ia perlu membuktikan bahawa ia bergantung hidup kepada hasil pertanian dan hasil tanaman mengalami kerosakan serius. Bagi pemohon pistol pula ia perlu membuktikan ia mempunyai asas yang memerlukan penggunaan senjata api disertakan dengan laporan ancaman dan sokongan majikan.

Di Seksyen 4 Perkara 4 Akta Senjata 1960, dinyatakan dengan jelas bahawa “Suatu lesen senjata atau pemlit senjata hendaklah, melainkan telah ditarik balik atau dibatalkan dahulu, habis tempoh pada 30 haribulan Jun akan datang berikutan dengan tarikh pengeluarannya, tetapi boleh dibaharui oleh Ketua Pegawai Polis Negeri.”

Butir-butir tiap-tiap lesen senjata atau permit senjata yang diberi atau dibaharui di bawah seksyen ini hendaklah dicatatkan dalam sebuah daftar yang akan disimpan oleh Ketua Pegawai Polis bagi sebuah negeri dalam borang dan cara tertentu dan pada suatu tempat tertentu sebagaimana yang akan ditetapkan di dalam Seksyen 4 Perkara 5 Akta Senjata 1960.

Segala lesen memilik senjata api dikeluarkan oleh PDRM dan permohonan untuk memiliki senjata api boleh dikemukakan di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah yang bertanggungjawab terhadap daerah tempat tinggal perayu.

Berlatarbelakangkan pemahaman ini, dan dengan kejadian jenayah menembak dengan tujuan membunuh yang semakin berleluasa, PAS berharap PDRM dapat memberikan pencerahan jumlah lesen senjata api yang telah dikeluarkan setakat ini.

PDRM perlu berusaha mencari lubang bagaimana senjata api boleh jatuh ke tangan penjenayah di negara ini kerana kawalan lesen pemilikan senjata adalah 100% di bawah kuasa mereka.

PDRM harus mengkaji semula aktiviti-aktiviti setiap pemilik lesen senjata api di negara agar tidak disalahgunakan. Senarai pemilik-pemilik senjata, jika tiada kekangan undang-undang dan faktor yang mengancam keselamatan negara, juga harus dipamerkan untuk tatapan awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga ada menyatakan polis sudah mendekati mereka yang terlibat dengan sindiket senjata api dan mengenalpasti mereka yang membawa senjata api ke negara.

Selain memburu penjenayah yang cuba membunuh pengerusi MyWatch Sri Sanjeevan dan pembunuh pengasas Arab Malaysian Banking Group Hussain Ahmad Najadi, PAS berpendapat mengenalpasti punca sebenar senjata api jatuh ke tangan pihak yang bertanggungjawab adalah terpenting bagi PDRM dalam menyelesaikan kemelut yang meletakkan rakyat Malaysia dalam kebimbangan yang teramat sangat.

Jika kebocoran itu berlaku daripada pemilik lesen yang sah, mereka ini perlu dihukum dengan hukuman yang maksima. Jika kebocoran kerana sindiket haram, PAS menyarankan agar PDRM bekerjasama pihak imigresen dan kastam juga mengetatkan pemeriksaan di semua pintu kemasukan dalam negara bagi mengelakkan senjata diseludup masuk.

Selain itu, PDRM disaran memastikan penguatkuasaan menyeluruh Akta Senjata 1960 untuk memulihkan kewibawaan polis di mata rakyat. PAS berharap kes tembakan terhadap Sanjeevan dan Ahmad Najadi adalah kes yang terakhir di Malaysia.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
31 Julai 2013

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular