Cadangan Harussani akan 'musnahkan' perlembagaan
Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengecualikan orang Islam daripada hak sama rata untuk membesarkan anak-anak dengan didikan agamanya seperti dicadangkan mufti Perak Harussani Zakaria didakwa akan memberikan kesan buruk.
Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMABKHST) berkata, pindaan itu juga boleh "memusnahkan" asas-asas perlembagaan.
"Ia juga mengubah ciri-ciri perlembagaan secara asasnya, perlembagaan yang dirangka secara teliti oleh pihak yang merangkanya... selepas rundingan dengan semua pihak berkepentingan," katanya presidennya Jagir Singh dalam kenyataannya hari ini.
Harussani pada 26 Julai lalu dilaporkan berkata, Perkara 3, 5 dan 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seorang ibu mempunyai hak sama rata membesarkan anak-anak dengan didikan agamanya perlu dipinda dengan memberikan pengecualian kepada Islam.
Katanya, undang-undang Islam terpakai di negara ini kerana Islam agama rasmi Persekutuan sedangkan agama-agama lain hanya boleh diamalkan.
"Dalam Perlembagaan sekarang, Islam cuma sebagai amalan sahaja tetapi tidak dari segi undang-undang kerana tidak dilaksanakan. Itu yang susah. Undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan, maka gugur, itu jadi kacau.
"Peruntukan itu (bab agama anak) patut dipinda atau ditambah dengan dikecualikan orang Islam," beliau dipetik sebagai berkata kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sehari sebelum itu yang membatalkan pengislaman tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi (kiri), 38, yang didaftarkan oleh suaminya, Muhammad Ridzuan Abdullah, 44, seorang mualaf berketurunan India, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng dalam penghakimannya selama 1 jam 40 minit menetapkan Perakuan Memeluk Islam ke atas Tevi Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, terbatal dan tidak sah.
Swee Seng berkata, pengislaman itu tidak mengikut Perlembagaan kerana bertentangan dengan keadilan asasi ekoran pendaftaran itu tidak dilakukan di hadapan Indira Gandhi dan anak-anaknya.
Sementara itu, mengulas kenyataan yang disifatkannya sebagai mengejut itu, Jagir berkata, perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara sementara undang-undang Islam hanya digunakan dalam kes yang terhad. mk
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment