Thursday, August 1, 2013

Krisis Mesir : Nih kenyataan mutakhir dari KERAJAAN Malaysia

Anifah: M'sia tak campur urusan Mesir
Kerajaan akan mengkaji keperluan menangguhkan penghantaran pelajar-pelajar baharu Malaysia ke Mesir berikutan pergolakan di negara Timur Tengah itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata penilaian ini akan dibuat terutama kepada pelajar yang mendapat tajaan biasiswa kerajaan.

"Sehubungan itu, kementerian menasihatkan agensi-agensi lain supaya mengambil langkah sama sehingga keadaan (di Mesir) kembali kepada sediakala," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa di Kementerian Luar di sini Rabu.

Anifah berkata perkara itu telah dibincangkan Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Kini, terdapat 3,385 pelajar Malaysia yang masih berada di Mesir.

Mengenai hubungan Malaysia dengan kerajaan sementara Mesir, Anifah berkata kerajaan tidak akan masuk campur urusan dalaman negara itu.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menyatakan pendirian supaya rakyat Mesir diberi peluang untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campur tangan kuasa luar," katanya.

Ditanya sama ada isu fahaman syiah di negara ini akan menjejas hubungan dua hala dengan kerajaan Iran, beliau berkata hubungan kedua-dua kerajaan pada masa ini masih erat. - Bernama

Mesir: Malaysia perlu lebih tegas, contohi Turki
Harakahdaily,
01 Ogs 2013

MESIR: PAS melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dilihat membuat kenyataan sekadar "melepaskan batuk ditangga" berhubung isu yang melanda Mesir ketika ini.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, sebagai sebuah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malayisa seharusnya lebih tegas dalam menyatakan pendirian terhadap tindakan tentera yang melakukan rampasan kuasa sehingga berlakunya insiden pertumpahan darah di negara itu.

"Kenyataan yang dikeluarkan kementerian luar Malaysia sangat lemah dan seperti mahu lepas tangan.

"Sehingga kini tiada sebarang usaha dibuat. Sepatutnya Malaysia perlu mendesak OIC mengadakan sidang khas membincangkan isu rampasan kuasa ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu beliau turut memuji langkah Turki pimpinan Perdana Menteri Tayyib Erdorgan yang bertindak menggantung 27 perjanjian dengan Mesir sebagai protes terhadap rampasan kuasa oleh tentera.

Katanya, negara umat Islam lain juga termasuk Malaysia, wajar mencontohi keberanian Turki tersebut.

PAS juga ujarnya mengucapkan tahniah kepada Kesatuan Eropah (EU) yang membuat usaha untuk bertemu Morsi sehingga Ketua Dasar Asing EU Cathrine Ashton berjaya bertemu dengan Morsi selama dua jam semalam.

Beliau juga berkata, Kesatuan Afrika (AU) juga sudah mengambil tindakan sama untuk mengadakan lawatan terhadap Morsi yang kini sedang ditahan oleh pihak tentera.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular