Pengurangan had laju 10 km sejam (km/j) di jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara akan dilaksanakan sepanjang Ops Selamat 3 yang bermula esok hingga 18 Ogos ini sempena Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata sepanjang tempoh itu, kelajuan di jalan persekutuan akan diturunkan kepada 80km/j berbanding 90km/j manakala had laju di jalan negeri ialah 70km/j berbanding 80km/j sebelum ini.
"Pengurangan had laju ini adalah bagi memastikan keselamatan pengguna semasa pulang ke kampung dan kami berharap pengguna dapat mematuhi had laju yang ditetapkan itu," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama mahasiswa Sarawak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Seramai 250 pelajar kelahiran Sarawak yang menuntut di Institut Pendidikan Guru, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Mara serta beberapa kolej swasta dirai dalam majlis itu.
Selain itu Fadillah juga memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan kerja-kerja membaiki jalan raya termasuk yang dilakukan syarikat konsesi lebuh raya turut dihentikan sepanjang Ops Selamat 3 bagi memastikan keselesaan pengguna dan kelancaran trafik.
"Pengecualian untuk menyelenggara jalan hanya diberikan dalam situasi kecemasan dan kritikal seperti berlaku tanah runtuh atau kerja menampal lubang yang boleh membahayakan pengguna," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan peronda yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah juga akan melakukan rondaan pada waktu pejabat untuk memantau sebarang kerosakan jalan raya sepanjang tempoh itu, dengan rondaan lebih kerap akan dilakukan pada waktu hujan.
Sementara itu dalam ucapannya, Fadillah menasihatkan penuntut agar menggunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu dan tidak terlibat dalam kegiatan tidak berfaedah sehingga merugikan diri dan tidak berpeluang untuk menabur bakti di negeri asal mereka.
"Sebagai mahasiswa kamu menjadi harapan keluarga dan sudah bijak berfikir. Jangan mudah terlibat dengan perkara tidak baik dan yakinlah bahawa kepimpinan negara cuba melakukan yang terbaik dan sentiasa peka dengan permasalahan yang dihadapi kamu," katanya. - Bernama
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment