KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, situasi jenayah di Malaysia tidak akan separah sekarang seperti kes tembakan Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan dan Pengasas Bank Pembangunan Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi, selain kes pembunuhan dan percubaan membunuh menggunakan senjata api mutakhir ini, jika Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan tujuh tahun lalu.
Katanya, sukar mempercayai apabila satu tinjauan internet melaporkan Jun lalu, Kuala Lumpur disenarai sebagai satu daripada bandaraya paling berbahaya di dunia iaitu menduduki tangga keenam selepas San Pedro Sula di Honduras, Ciudad Huarez dan Acapulco (Mexico), Maceio (Brazil) dan Sharm el Sheikh (Mesir).
Menurutnya, malah lebih sukar mempercayai apabila Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mendakwa Malaysia adalah negara paling selamat di Asia Tenggara sejak dua tahun lalu.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Malaysia tampak seperti bersungguh-sungguh hendak membuktikan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang kian berbahaya, bukannya paling selamat, kerana polis dan kerajaan terus menegaskan perasaan dan keyakinan sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa jenayah semakin meningkat dan rasa tidak selamat hanya satu persepsi yang tidak bersandarkan perangkaan jenayah yang rasmi atau kajian dan laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
“Kejadian tembakan dan cubaan membunuh Sanjeevan dan pembunuhan Hussain Ahmad Najadi, serta kes pembunuhan dan percubaan membunuh menggunakan senjata api mutakhir ini mencemarkan nama Malaysia di mata dunia, menyebabkan ia dilihat sebagai sebuah negara yang tidak selamat untuk rakyatnya, pelawat dan pelabur. Hal ini akan memberi kesan besar terhadap masa depan ekonomi Malaysia dan menakutkan pelancong,” katanya dalam kenyataan semalam..
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, bagaimana kadar jenayah di Malaysia boleh begitu meningkat dan keselamatan awam pula terjejas di sebalik gembar-gembur mengenai GTP dan NKRA yang meletakkan usaha memerangi jenayah sebagai satu daripada enam perkara utama yang ditangani sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, Malaysia sedang mencipta rekod dunia sebagai sebuah negara apabila segala GTP, NKRA dan PKI yang mensasarkan pengurangan jenayah sebaliknya menghasilkan situasi jenayah yang lebih buruk dan tidak terkawal meski pun pelbagai carta dan geraf yang cantik, selain perangkaan daripada laporan dan kajian rasmi, menunjukkan keadaan yang berlawanan.
“Sukar untuk diragui bahawa jenayah semakin meningkat selepas PRU-13 walaupun kita mempunyai Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara yang baru, selain pelancaran “perang menentang jenayah” oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pertengahan bulan lalu.
“Dakwaan rasmi menyebut indeks jenayah menurun sebanyak 26.8% sejak fasa pertama GTP pada 2009 tidak dapat menyembunyikan kenyataan bahawa jurang sedang melebar antara dakwaan polis dan persepsi serta kebimbangan orang ramai berikutan pengalaman yang mereka lalui secara langsung dan tidak langsung, iaitu apabila mereka melihat jenayah semakin menjadi-jadi dan kerajaan pula tidak mampu meyakinkan orang ramai bahawa polis mampu melindungi keselamatan rakyat, pelancong dan pelabur,” katanya.
Menurut Kit Siang, jurang menjadi semakin luas sejak tiga bulan lalu, selepas PRU-13, apabila jenayah bentuk baru muncul dalam kejadian rompakan yang dilakukan sekumpulan penjenayah bersenjata ke atas pelanggan dan pemilik kedai makan, selain menunjukkan senjata api mudah didapati dan diguna secara meluas dalam kes bunuh dan percubaan membunuh.
“Ketika memberi maklum balas terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengesyaki percubaan membunuh Sanjeevan berkait dengan pendedahan beliau baru-baru ini tentang kaitan antara kakitangan polis dengan sindiket jenayah, sementara Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyebut polis sanggup membiarkan sebuah badan bebas menyiasat dakwaan tentang salah laku dan korupsi dalam pasukan polis kerana tiada apa yang hendak pihak polis sembunyikan.
“Saya percaya situasi jenayah di Malaysia tidak separah sekarang jika IPCMC ditubuhkan tujuh tahun lalu untuk membasmi korupsi dan salah-laku polis seperti yang disaran Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja Malaysia yang diketuai Tun Dzaiddin Abdullah,” ujarnya.
Semalam, Najib mengatakan beliau sanggup mempertimbangkan “apa saja” yang diperlukan polis untuk memerangi jenayah berat.
“Adakah Perdana Menteri sanggup mengemukakan rang udang-undang penubuhan IPCMC pada sesi Parlimen September ini, memandangkan IPCMC akan mampu bukan saja memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan, kebebasan, dan profesionalisme polis, malah ia juga sangat membantu dalam perang menentang jenayah, termasuk jenayah berat, dengan memelihara komitmen dan profesionalisme pihak polis dalam perang menentang jenayah dalam negara,” tambahnya.-Roketkini.com
- See more at: http://roketkini.com/2013/07/31/kuala-lumpur-antara-enam-bandaraya-paling-berbahaya-di-dunia/#sthash.EsWJ9Cfm.dpuf
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment