Secara asasnya TPPA ialah sebuah perjanjian perdagangan yang melibatkan beberapa buah Negara. Maka, perbincangan dan wacana mengenainya banyak berputar sekitar kesan perdagangan yang dijangka diterima oleh Negara-negara kecil terutama Negara membangun seperti Malaysia.
Antara, yang sering dilaung-laungkan ialah harga ubat akan menjadi lebih mahal, peruntukan bumiputera tidak dibenarkan, nasib pekebun kecil dalam industri asas tani terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara dan banyak lagi kesan lain. Akan tetapi, ia sebenarnya bukan sahaja memberi impak kepada perdagangan semata-mata.
Jika Malaysia menandatangani perjanjian ini, nescaya masyarakat sekali lagi akan berhadapan dengan suatu perubahan sosial dan penjajahan budaya setelah proses globalisasi. Ia telah menjadi kekangan kepada proses Islamisasi. Hal ini kerana apabila urusan perdagangan menjadi bebas tanpa terikat dengan akta-akta penting yang digunakan di Malaysia seperti undang-undang halal dan sebagainya, maka secara automatisnya budaya-budaya neagara tersebut juga akan datang bersama.
Salah satu proses Islamisasi ialah usaha penyediaan iklim Islamiah dalam kehidupan ummah bagi memungkinkan berlakunya proses pembudayaan yang sihat. Tegasnya suatu gerakan normalisasi budaya perlu dilancarkan untuk membendung arus pencemaran budaya yang kian menggila dan bakal menggila-gila. Merebaknya unsur-unsur budaya sensate- budaya disko dan kasino, budaya hedonism materialis, budaya karya-karya erotis dan porno, budaya video lucah dan sebagainya adalah barah-barah budaya yang ganas dan mencemaskan. Yang membimbangkan ialah kesan yang akan menimpa generasi muda yang mana golongan inilah yang bakal menerima natijah daripada dasar yang digadaikan oleh pemimpin Negara pada hari mendatang.
Kita telah melihat kesan negatif globalisasi dan hari ini dan nampaknya kita terpaksa menggunakan globalisasi sebagai medan Islamisasi, dakwah dan tarbiyyah sebagai peluru balas dek tuntutan agar dimensi kemanusiaan disepadukan dengan teknologi. JA Scholte (2002) dalam bukunya telah menyimpulkan globalisasi sebagai internasionalisasi, globalisasi sebagai liberasi, globalisasi sebagai universalisasi, globalisasi sebagai westernisasi atau modernisasi (lebih banyak dalam bentuk Americanised) dan globalisasi sebagai penghapusan batas-batas territorial (atau sebagai persebaran supra-teritotorialitas).
Adakah kita ingin mencari solusi lain untuk melakukan Islamisasi setelah kita menyesali kerana tidak melakukan proses pencegahan awal? TPPA yang bakal ditandatangani ini tiada bezanya dengan globalisasi yang telah kita lalui. Malah ia lebih teruk kerana terikat dengan perjanjian. Saat ini, generasi muda sepertinya kehilangan akar budaya dan jati diri bangsa. Pembaratan sedikit sebanyak mencabut nilai-nilai agama dan budaya tempatan, generasi muda lebih seronok dengan budaya hedonis daripada berdiskusi mengenai masalah Umat.
TPPA melalui bab Harta Intelek (Intellectual Property Chapter) dan Isu Hakcipta (Copyright) yang semakin ketat untuk Malaysia dan semakin mudah untuk negara seperti Amerika akan memudahkan mereka menguasai penerbitan, ICT dan juga hiburan. Umum mengetahui, filem Hollywood tidak terlepas daripada adegan-adegan lucah kebanyakannya. Tambahan pula, Amerika Syarikat adalah pengeluar porno terbesar dunia.
Apabila perdagangan bebas ini berlaku dan tiada lagi terikat dengan undang-undang penapisan Malaysia, ia akan menjadi mudah bagi Amerika Syarikat membawa masuk ke Negara kita. Tidak dinafikan ia sememangnya sudah merebak ke dalam negara sudah lama. Cuba bayangkan pula dengan keterikatan perjanjian yang dikawal oleh mereka, pasti ia akan semakin menggila.
Hal ini kerana apa yang menjadi kebimbangan Amerika Syarikat sekarang ialah kekangan perdagangan (Technichal Barrier to Trade) seperti undang-undang halal, lembaga penapisan filem, Wajib Tonton dan sebagainya. Antara lain ialah untuk memasarkan produk mereka seperti ayam dan daging. Jika nanti sudah tiada sekatan, maka dengan mudah untuk mereka membawa makan tidak halal dan ia akan mendominasi syarikat-syarikat kecil di Malaysia.
Maka, kesucian undang-undang halal nampaknya akan dikuasai undang-undang drakonian ini. Begitulah putarannya, dari budaya ke ekonomi dan seterusnya dari ekonomi ke budaya pula. Akibatnya dunia sekali lagi akan di ‘Amerika’kan dari segi budayanya, tetapi Amerika enggan dimanusiakan moralnya (…, the world is becoming Americanized culturally, but America is refusing to be humanized morally) seperti mana yang dikatakan oleh Naisbitt dalam bukunya. Sejarah telah membuktikan tiada satu negara pun yang pernah mengadakan perjanjian dengan Amerika yang untung. Mengapa Malaysia harus menandatangani TPPA kali ini?
Demi menyelamatkan generasi muda dan demi keberhasilan Islamisasi tugas ini harus digarap segera dalam rangka melaksanakan perintah amar makruf nahi munkar – dua kewajipan kembar yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Justeru, usaha untuk memberi mesej pada pemimpin negara harus digerakkan supaya mereka sedar bahawa nasib generasi muda bakal tergadai. Usah jahanamkan masa depan generasi keturunan dengan sebuah perjanjian. Nampaknya tekad politik (Political Will) yang lebih kental masih terus diperlukan kalau proses Islamisasi ini benar-benar suatu tekad yang serius dan bukan sekadar acah-acah mainan politik. Kesediaan untuk memanfaatkan segala kebaikan dan kebudayaan lain harus diimbangi dengan kesedaran jati diri dan kewaspadaan terhadap segala bahaya. Kebudayaan Melayu Islam harus menjadi kebudayaan yang kuat untuk memungkinkan berfungsi sebagai wahana kebangkitan umat.
Azizan Bin Ajiji
Exco Penerangan PKPIM
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment