Pendapatan rakyat tidak setara dengan kos hidup
IPOH: Pendapatan majoriti rakyat Malaysia tidak mampu untuk menangung kos survival kehidupan seharian.
Bendahari Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, pendapatan rakyat tidak setara dengan kos kehidupan yang semakin meningkat dan suasana tersebut semakin parah kebelakangan ini.
Menurutnya, rakyat ketika ini berhadapan dengan arus kenaikan harga barangan yang semakin meruncing dan tidak dapat dibendung.
Keadaan ini, katanya lebih parah setiap kali berakhirnya pilihanraya seperti yang berlaku buat masa ini.
Jelas beliau, rakyat bertambah resah apabila ada ura-ura yang mengatakan tarif elektrik dan diesel bakal dinaikkan yang pastinya akan memberi kesan besar kepada harga barang dan kos kehidupan seharian.
"Kenaikan harga barang keperluan yang semakin meruncing dan ianya adalah isu sejagat yang berkaitan langsung dengan kepentingan rakyat.
"Kenaikan kos kehidupan sudah pasti tidak memberikan kesan kepada golongan berkepentingan tetapi keperitan itu ditanggung oleh rakyat marhaen yang gajinya sangat rendah," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Jelas beliau, kerajaan sering membandingkan kos kehidupan rakyat Malaysia dengan negara lain yang lebih maju dan ianya menjadi alasan wajib untuk menutup rungutan rakyat.
Fakhrulrazi berkata, realiti secara bandingannya, kos kehidupan di negara maju lebih tinggi tetapi perlu dibandingkan juga jurang perbezaan pendapatan rakyat di negara itu.
Ironinya, ujar beliau, negara ini adalah pengeluar yang kaya dengan pelbagai hasil bumi dan sumber asli seperti minyak, sawit, getah dan sebagainya.
"Dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada negara kita ini seharusnya digunakan sebaiknya untuk membantu dan memberikan kesenangan kepada rakyat.
"Apa yang kita lihat, nikmat yang dikurniakan ini hanya dimonopoli oleh segelintir pihak dan golongan marhaen tidak mendapat apa-apa nikmat dan manfaat," jelasnya lagi.
Tegasnya, Pemuda PAS menggesa kerajaan untuk membendung kenaikan harga barang dan dapat mengawal kos kehidupan setara dengan pendapatan rakyat ketika ini.
Kerajaan katanya tidak boleh lepas tangan dan seharusnya mencari formula penyelesaian masalah ini demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini.
"Kenaikan kos kehidupan yang membebankan rakyat ini telah menggambarkan kegagalan kerajaan untuk mentadbir negara ini dengan baik," tegasnya.
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment