Kurangnya reaksi dan kesensitifan rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu-Islam terhadap isu-isu mengenai situasi ekonomi dan isu hutang negara melahirkan kebimbangan.
Perkara itu amat ketara melihat ramai yang tidak mengambil kisah mengenai semakan terbaru penarafan kredit dunia, Fitch Ratings yang meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif, satu amaran yang amat membimbangkan kewangan negara.
Paling menyedihkan ialah apabila didapati pandangan orang Melayu-Islam terhadap situasi ekonomi telah disempitkan kepada pengukuran pada “kemampuan” kerajaan memberikan bonus, BR1M dan menabur janji di waktu pilihanraya.
Ini bukanlah ukuran kekuatan ekonomi negara, dan orang Melayu-Islam perlu sedar segalanya memerlukan sumber untuk membayarnya. Kesihatan ekonomi negara juga perlu dilihat dari sudut hutang negara, yang kini menghadapi tahap maksima 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), defisit belanjawan yang semakin meruncing dan kejatuhan nilai Ringgit secara mendadak.
Rakyat Melayu-Islam perlu peka kerana yang paling terjejas dalam krisis ekonomi negara ialah mereka, sebagai golongan majoriti dalam Malaysia. Jangan hanya cepat melenting terhadap isu-isu perkauman dan agama, tatkala isu ekonomi yang bakal menjejaskan beberapa keturunan bangsa tidak diendahkan.
Seperti juga di dalam keluarga, sekiranya anak-anak tidak mengambil tahu situasi ekonomi dan negara dan tidak erti menegur sikap ibubapa yang boros berbelanja dan hobi berhutang, akhirnya yang menanggung padah segalanya ialah anak-anak, lebih teruk lagi ia berlanjutan ke generasi cucu dan cicit.
Kerajaan dan media juga disaran lebih bertanggungjawab dan jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mendidik rakyat untuk menilai ekonomi dan kewangan negara dari segi pemberian kerajaan dan tingginya nilai komposit Bursa Saham Kuala Lumpur untuk menjaga persepsi baik pada kerajaan.
Media juga disarankan jangan menimbulkan persepsi yang silap bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan kepada rakyat walhal keadaan kredit negara dalam keadaan melemaskan.
Dengan pelbagai janji yang ditabur oleh BN ketika PRU13, rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu-Islam perlu fokus pada belanjawan 2014 dari segi usaha kerajaan untuk mendapatkan sumber untuk menanggung perbelanjaannya, mengurangkan hutang dan mengawal defisit daripada pemberian-pemberian ‘menarik’ kerajaan untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada keadaan ekonomi yang semakin meruncing.
Orang Melayu-Islam harus mendalami isu-isu ekonomi dan seterusnya menerajui dan menjiwai isu ekonomi negara, kerana jika tidak, kerajaan akan terus acuh tidak acuh dalam menjawab isu berkaitan ekonomi dan kewangan negara kerana tiada tekanan daripada golongan majoriti dalam negara.
Tuan Ibrahim Tuan Man
2 Ogos 2013
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment