Kelajuan Bukan Faktor Utama Kemalangan, Rakyat Terus Diperangkap!
Syukurlah, walaupun sedikit demi sedikit kesabaran di bulan puasa ini tergugat, dek kenaikkan harga ayam, kenaikkan harga sayur, kenaikkan harga gas dan sebelum itu kenaikkan harga tiket bas, akhirnya ada juga penurunan yang diumumkan baru-baru ini. Daripada 110 turun menjadi 100, dari 90 turun menjadi 80, ini cukup bermakna buat semua pengguna jalanraya sempena musim perayaan.
Kononnya, demi mengurangkan statistik kadar kemalangan jalanraya di musim raya, halaju kebangsaan diberi diskaun oleh pihak kerajaan. Hanya seratus kilometer sejam sahaja kelajuan maksimum di seluruh rangkaian lebuhraya seantero Malaya, rangkaian lebuhraya yang dikatakan terbaik di dunia. Hanya 100km/j untuk semua jenama kereta.
Persoalannya, benarkah kelajuan itu faktor utama kemalangan jalanraya di Malaysia? Atau sebenarnya penurunan hadlaju kebangsaan ini sebuah skim cepat saman?
Dalam pengamatan saya, kesusahan dan kesengsaraan rakyat adalah sebenarnya antara faktor utama kemalangan jalanraya, bukan faktor kelajuan semata-mata. Tipikal rakyat Malaysia khususnya yang telah berkahwin dan punyai anak, walau macamana susah dan sempitnya kehidupan, hari raya wajib disambut. Hari raya tidak bermakna tanpa balik kampung, tidak kira samada kampung suami ataupun isteri. Biasanya dua-dua kampung menjadi destinasi, yang kerap menjadi titik perbalahan adalah untuk memilih kampung siapa di malam dan pagi raya pertama.
Bila ekonomi rakyat tidak seberapa, kenaikkan kos sara hidup tidak terkawal, maka rakyat perlu memilih risiko balik kampung dalam keadaan kondisi kenderaan yang 'longgar'. Jika selenggara sekalipun, lazimnya rakyat akan tanya apa yang murah untuk tayarnya, untuk minyak hitamnya, untuk keperluan 'spare-part'nya demi menjimatkan kos. Jika ada bahagian yang perlu ditukar atau diperbaiki, maka tangguhlah dulu kerana rakyat nak balik raya, banyak kosnya. Ketika ini juga tayar terpakai cukup laris di pasaran. Ori atau lokal, untuk jimat kos, ambillah lokal. Kalau ada tiruan, ambil tiruan.
Risiko ini diambil bukan memperjudikan keselamatan sendiri sahaja, tetapi juga nasib pengguna jalanraya yang lain. Akibat penyelenggaraan kenderaan yang sangat tidak sempurna, jalanraya menjadi medan bahana biarpun tanpa kelajuan.
Rakyat yang tertekan dengan sosial kehidupan seperti masalah kewangan yang membawa kepada masalah rumahtangga, akan lebih banyak berkhayal ketika memandu. Tidak fokus ketika memandu dan boleh menyebabkan kecelakaan.
Skop penyelenggaraan kenderaan secara tidak selamat ini juga bukan dipraktik dari kalangan individu sahaja, malah pengusaha bas, pengusaha lori juga akan memilih jalan penjimatan yang sama demi mengurangkan kos untuk menjana sedikit lebihan keuntungan. Tayar celup pun tidak mengapa, asal barang boleh jalan.
Berapakah banyaknya kenderaan yang tidak berada dalam kondisi yang baik di atas jalanraya ketika ini?
Dalam masa yang sama, rakyat mencari duit lebih untuk sambut Aidilfitri, maka kerja pun lebih masa. Bagi pemandu bas dan lori, trip juga perlu lebih dari biasa dan untuk ambil trip lebih dari biasa, perlukan tenaga tahan mengantuk yang luar biasa. Di sini juga jalanraya terdedah kepada bahaya akibat pemandu yang mengantuk dan tidak cukup kuderat kerana telah mengulang trip dalam hari yang sama. Ini lebih seram, lori dan bas bergerak secara automatik sekali sekala tanpa pemandu.
Rakyat mencari sesuap nasi, mana-mana kontraktor kelas rendah perlu belajar rasuah untuk dapat sub-projek, projek tampal jalan seumpamanya. Tetapi oleh kerana sudah keluar kos luar jangka untuk dapat projek, maka kos tar berkualiti untuk menampal jalan juga terpaksa dikurangkan. Akhirnya jalan kembali berlubang juga dalam tempoh masa yang tidak dijangka, jauh lebih awal dari sepatutnya. Lihatlah bagaimana jalanraya di negara ini banyak berlubang, walaupun telah ditampal, jalan tetap kembali berlubang.
Cuma lebuhraya menjadi pilihan yang lebih selamat berbanding jalan biasa. Lebuhraya tidak berlubang, hanya berlendut dan kurang rata. Namun bagi rakyat yang menghargai masa dan wang ringgit, apakah berbaloi untuk membayar tol dalam keadaan kesesakkan lebuhraya yang melampau? Jika duit bukan soal, pasti tiada masalah untuk bayar tol walaupun lalulintasnya tidak lancar sepanjang jalan.
Percayalah, jika rakyat tidak susah, 'spare-part' tiruan dan tayar terpakai tidak akan laku di pasaran maka jalanraya lebih selamat. Jika rakyat ada kemampuan, pemandu bas dan lori tidak ambil trip lebih dari sepatutnya, lebih baik duduk rumah rehat dan bermain dengan anak, maka jalanraya lebih selamat.
Bukan sahaja jalanraya lebih selamat, malah jalanraya akan lebih berkualiti, mampu dicengkam oleh tayar dan tidak berlubang sekiranya rakyat tidak memberi dan menerima rasuah, yang juga berpunca dari kehidupan yang sempit. Tiada lagi rakyat yang tertekan ketika memandu, jika kehidupan berjalan baik tanpa masalah kewangan dan seterusnya rumahtangga aman.
Kerana itu saya katakan, kesusahan dan kesengsaraan rakyat menjadi punca utama mengapa jumlah kemalangan jalanraya di negara ini meninggi setiap tahun. Statistik kemalangan tidak mampu dikurangkan melainkan berlaku revolusi rakyat, di mana ketika itu rakyat senang dan tenang dengan kualiti kehidupan yang baik. Hidup ketika itu juga tidak dalam tergesa-gesa seperti hari ini, malah rakyat tidak perlu diugut supaya dikurangkan kelajuan. AES juga tidak perlu ketika itu.
Justeru itu, saya menilai bahawa tindakan kerajaan menurunkan halaju kebangsaan sebenarnya untuk perangkap rakyat, bukan untuk mengurangkan statistik kemalangan jalanraya. Tiada hujah kukuh yang mengatakan kelajuan faktor utama kemalangan.
Apakah dalam notis yang singkat, semua pemandu akan menyedari bahawa halaju kebangsaan telah dikurangkan bermula hari ini? Apakah ada papantanda sementara di sepanjang jalan? Bukan semua orang tengok berita, dan bukan semua orang maklum penurunan ini, ia perangkap!
Bermula hari ini hingga 18 ogos, semua mesin kamera AES akan menjalankan operasi 'menjala' dan 'memukat', tidak lagi memancing. Inilah yang dinamakan Skim Cepat Saman, kita sangka kita patuh halaju kebangsaan, rupa-rupanya kita terlebih 10km/j. Maka penuhlah kantung kerajaan untuk bayar BRIM tahun hadapan.
EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment