Friday, June 28, 2013

FATWA : Perlis haramkan shisha

KANGAR – Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lalu membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.

Dr Juanda berkata, amalan menghisap shisha bukan saja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.

Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.

Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.

“Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa. -AP

SAUDI HARAMKAN SHISHA DI TEMPAT AWAM
Arab Saudi – Pihak berkuasa di Jeddah melaksanakan larangan menghisap shisha di tempat awam atas faktor kesihatan.

Larangan seumpama itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa bandar di Arab Saudi termasuk di Nejd yang terletak di Riyadh.

Aktiviti menghisap shisha turut diharamkan di beberapa kawasan bandar.Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Arab Saudi, Dr. Abdulhamid al-Habib larangan itu bertujuan mengelak remaja daripada terpengaruh dengan aktivi menghisap shisha dan dilakukan atas objektif yang positif.

“Amat mengejutkan selepas jumlah mereka yang menghisap paip dan shisha di negara ini meningkat, malah jumlahnya dua kali ganda setiap tahun. Golongan yang paling ramai terlibat adalah remaja.

“Kita perlu memantau daripada semua sudut, bukan hanya ketagihan kepada tembakau, malah ia turut melibatkan shisha yang menyebabkan masalah kesihatan,’’’ katanya.

Bagaimanapun larangan berkenaan mendapat tentangan daripada pemilik restoran di Jeddah malah sebanyak 35 usahawan telah menghantar bantahan kepada pihak berkuasa tempatan berhubung larangan berkenaan.

Mereka menyifatkan larangan berkenaan telah menyebabkan orang ramai terutama golongan remaja menjauhi restoran mereka.

“Orang muda tidak lagi mahu datang ke kedai kami, malah banyak kedai kopi kosong. Keadaan ini sudah berlarutan sejak tiga hari lalu,’’ kata pemilik Kafe Harmoni, Naief.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menegaskan amalan menghisap shisha mempunyai risiko yang tinggi sama seperti menghisap rokok atau menggunakan produk tembakan yang lain.

Shisha sebenarnya mengandungi toksin yang boleh menyebabkan penyakit paru-paru dan jantung, justeru ia tidak selamat digunakan.

Penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebnayak 0.15 liter hingga satu liter. - SUMBER

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular