Wednesday, June 26, 2013

Antara DUA Berita : Seorang wanita maut di Muar kerana jerebu, Usul tergempar bincang isu jerebu ditolak

Seorang wanita maut di Muar kerana jerebu
JUNE 26, 2013
Jerebu telah menyebabkan kematian seorang wanita yang berpenyakit asma di Muar.
Akhbar The Sun melaporkan Li Cai Ling mati pada Ahad dengan laporan kesihatannya menyalahkan udara tercemar.

Darurat diisytiharkan di Muar hujung minggu lalu kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan pada tahap bahaya iaitu 750.

Pencemaran sampai ke tahap yang berbahaya di beberapa bahagian negara ini pada hari-hari kebelakangan ini, dengan selatan Malaysia menyaksikan kualiti udara paling teruk dalam 16 tahun pada hujung minggu lalu.

Hari ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel ke Indonesia untuk mencari penyelesaian segera dalam isu jerebu.

Kualiti udara di beberapa kawasan di Selangor dan Perak yang mencatat bacaan paras bahaya dan sangat tidak sihat semalam, mencatatkan bacaan tidak sihat pagi ini.

Pelabuhan Klang yang mencatat bacaan IPU 464 pada pukul 5 petang semalam merekodkan 140 pagi ini, manakala Sri Manjung dan Jalan Pegoh di Perak yang masing-masing mencatat 290 dan 211 semalam, menunjukkan peningkatan kualiti udara pagi dengan IPU 137 dan 118.

Kawasan lain yang mencatat IPU tidak sihat ialah Bukit Rambai (111), Nilai (148), Port Dickson (105), Seremban (118), Tanjung Malim (110), Kuala Selangor (134), Petaling Jaya (111) dan Putrajaya (112).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Semalam Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud memaklumkan semua sekolah di daerah Klang dan Petaling Perdana di Selangor serta Manjung, Perak ditutup hari ini berikutan bacaan IPU di kawasan terbabit melebihi paras 250 pada pukul 5 petang semalam. – 26 Jun, 2013. - TMI

Usul tergempar bincang isu jerebu ditolak
JUNE 26, 2013
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar) hari ini menolak usul tergempar untuk membincangkan isu jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.

Usul yang dikemukakan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang itu ditolak Pandikar Amin di dalam kamar setelah menimbangkan bahawa ia boleh dibincang anggota Parlimen semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang sedang berlangsung.

"Selepas diteliti, saya bersetuju usul yang dikemukakan menepati perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkepentingan ramai. Tetapi memandangkan ketika ini sidang sedang membahaskan titah di-raja, Yang Berhormat bolehlah bercakap mengenai jerebu.

"Jadi tidak perlu dikesampingkan agenda mesyuarat sedia ada," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Respons itu diberi selepas Datuk Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk memohon Pandikar Amin menimbang penangguhan mesyuarat bagi memberi peluang usul tergempar itu dibahaskan.

Pada Isnin, Teo Ni Cheng (DAP-Kulai) juga mengemukakan usul serupa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menjelas lanjut, Pandikar Amin berkata usul itu ditolak setelah beliau berpuas hati bahawa tidak ada kelalaian di pihak kerajaan untuk bertindak menangani masalah itu.

"Selepas menimbangkan perkara itu, saya dapati kerajaan telah melakukan yang sepatutnya (untuk menangani jerebu) termasuk mengarahkan sekolah ditutup, memberi amaran kepada kapal-kapal dan membincangkan isu itu dengan rakan Asean lain," katanya.

Pandikar Amin berkata usul itu juga ditolak kerana dikhuatiri akan timbul pertanyaan yang menyentuh sensitiviti negara jiran.

"Seperti kita sedia maklum, sumber keadaan jerebu ini adalah dari Indonesia, kerajaan Malaysia tidak ada kena mengena. Jadi kalau usul ini dibenarkan, mungkin hal negara jiran itu akan disentuh dan ini menyalahi Peraturan Mesyuarat 23," katanya.

Peraturan Mesyuarat 23 (k) menyebut sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa sebutan kurang adab berkenaan sesebuah negeri asing yang baik perhubungannya dengan Malaysia. - Bernama, 26 Jun, 2013.

Tolak usul jerebu bukti kerajaan BN lembab, tak prihatin
26 June 2013
KUALA LUMPUR, 26 JUN: Usul tergempar melibatkan kepentingan awam mengenai bencana jerebu ditolak begitu sahaja oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebentar tadi.

Kesal mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang sejak awal lagi mendesak agar perkara ini dibahaskan berkata bahawa apa yang berlaku menggambarkan kerajaan tidak serius menanganinya.

“Speaker telah beritahu bahawa isu jerebu ini tak perlu dibahaskan kerana ini adalah masalah Indonesia,” katanya.

Dalam sidang medianya di lobi Parlimen, Nie Ching berkata biarpun masalah jerebu ini berpunca dari negara tetangga, rakyat negara ini telah pun menerima kesan yang berbahaya.

“Saya nak persoalkan, kenapa kerajaan Malaysia lambat bertindak? Baru sekarang nak beri topeng N95 sedangkan negara jiran Singapura telah laksanakannya sejak hari Jumaat lalu,” ujar beliau.

Beliau pada masa yang sama mahu kerajaan mengumumkan berapa jumlah topeng muka yang telah diedarkan kepada orang awam.

Kelmarin Nie Ching bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke mengunjungi Duta Besar Indonesia, Dr Herman Prayitno bagi menyampaikan keresahan rakyat negara ini berikutan bencana jerebu yang berlaku. – Roketkini.com

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular