KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Utusan Malaysia terus bermain api perkauman dan pembohongan bagi memecahbelahkan negara dengan tembok kebencian dan ketakutan apabila mempertikaikan kelulusan sebuah filem berbahasa Cina ‘The New Village’ yang didakwa memuliakan komunisme.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia hipokrit dan mengamalkan double standard kerana gagal menuntut supaya tindakan diambil terhadap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin Abu Bakar kerana memuliakan komunisme apabila membentuk pakatan antara Pemuda Barisan Nasional (BN) dengan Liga Pemuda Komunis China (CYL).
Katanya, kedua-duanya mengkritik filem itu kononnya memutarbelit fakta sejarah dan menghasut masyarakat dengan mengagungkan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira, manakala pihak British diperlihatkan sebagai penjajah kolonial, tentera dan polis dijadikan musuh dan ‘orang jahat’ yang mesti dihancurkan.
“Saya tidak mahu komen mengenai filem itu kerana belum menontonnya. Namun soalan yang mesti diberi perhatian oleh Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO jika mereka ikhlas menentang komunisme, kenapa tidak membantah ikatan diplomatik yang begitu rapat antara Malaysia dan negara komunis seperti China, Cuba dan Vietnam.
“Tidak pernah pula kedua-dua pihak terbabit mengkritik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor kerana menandatangani perjanjian damai bagi pihak Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tambahan pula, kenapa kedua-duanya bisu apabil Menteri Belia dan Sukan itu dalam kapasiti sebagai Pengerusi Pemuda BN, mengumumkan penubuhan sekretariat tetap pada 12 Oktober 2009 bagi mengukuhkan ikatan antara Pemuda BN dengan CYL.
Menurutnya, jelas Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia adalah hipokrit dan mengamalkan double standard kerana gagal menuntut supaya tindakan diambil terhadap Khairy Jamaludin kerana memuliakan komunisme dengan membentuk pakatan antara Pemuda BN dengan Liga Pemuda Komunis China.
Khairy Jamaluddin menyebut bahawa sekretariat tetap itu akan menjadi pemudahcara program dua hala berterusan bagi menggalakkan pertalian yang lebih utuh antara kedua-dua pihak.
Katanya, ini bukannya hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi hubungan terus antara parti politik dengan parti politik tetapi tidak ada tindakan diambil apabila Khairy secara sedar dan niat yang jelas mewujudkan hubungan langsung dengan CYL melalui sebuah sekretariat.
“Jika Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO masih risau dengan komunis yang masih bersembunyi, maka kedua-duanya tidak perlu pergi jauh malah patut memberi perhatian kepada Khairy Jamaluddin dan Pemuda BN kerana mewujudkan hubungan terus dengan CYL.
“Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO nampaknya sedang bergantung kepada strategi lama mereka dengan mengitar semula taktik mereka dengan menafikan hubungan sendiri dengan pihak komunis, taktik kotor untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia tentang kewujudan konspirasi komunis dan tipu helah demi mengaitkan orang bukan Melayu atau pihak lawan BN dengan pihak komunis,” katanya.
Guan Eng berkata, taktik terdesak itu tidak berkesan lagi kerana rakyat sudah tidak mahu hidup dalam kegelapan dan kejahilan, 51% undi popular yang dimenangi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu serta kehilangan undi popular BN untuk pertama kali dalam sejarah membuktikan rakyat mahu hidup dalam kesedaran, bermaruah, berintegriti, dengan kebebasan maklumat, kebenaran, keadilan dan demokrasi.-Roketkini.com
- See more at: http://roketkini.com/2013/07/30/pemuda-umno-utusan-malaysia-dakwa-filem-the-new-village-muliakan-komunisme/#sthash.TJQzZXjL.dpuf
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment