Memandangkan jenayah yang semakin menjadi-jadi, rayuan dan kritikan berulang tidak dapat mendapat respon kerajaan dan pihak polis untuk melakukan sesuatu yang drastik untuk mengurangkan jenayah yang semakin berleluasa, ganas dan mengerikan, PAS hari ini menyarankan agar rakyat mengambil pendekatan proaktif sendiri untuk melindungi diri dan mencegah jenayah bersama.
Memahami psikologi penjenayah
Memahami psikologi penjenayah secara umum adalah langkah pertama untuk rakyat membantu diri sendiri untuk mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada menjadi mangsa jenayah.
Untuk penjenayah bertindak, ia memerlukan sasaran. Harus diingat penjenayah ini buta warna dan buta bangsa dan suka pada sasaran yang tidak mengambil perhatian dan kelihatan lemah. Setiap kita, termasuk orang terdekat kita ada potensi menjadi sasaran buat penjenayah. Dalam hal ini, keputusan berada di tangan penjenayah, bukan di tangan kita.
Setelah mengenal pasti sasaran, penjenayah memerlukan peluang untuk bertindak. Peluang untuk bertindak bukan di dalam kawalan penjenayah, sebaliknya ia di dalam kawalan penuh sasaran, itu kita.
Atas sebab itu, rakyat perlu mula peka mulai sekarang dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah proaktif untuk mengecilkan pintu peluang untuk penjenayah bertindak.
Antara perkara yang boleh dilakukan umpamanya ialah mengurangkan keadaan berjalan seorang diri, meletakkan kereta di tempat terasing yang kurang orang lalu-lalang, kurangkan menggunakan peralatan elektronik ketika berjalan, kurangkan memegang dompet dan beg tangan, jangan berjumpa seorang diri dengan seorang yang asing yang baru dikenali dan sebagainya.
Untuk melawan kekerapan kes pecah masuk rumah pula, disarankan rakyat mengambil langkah proaktif untuk wujudkan perumahan berpagar dan menghidupkan semula rukun tetangga untuk membuat pemantauan sendiri. Bagi golongan yang mempunyai kelonggaran kewangan, diharap adalah melabur sistem penggera yang efektif untuk menghilangkan minat penjenayah untuk bertindak.
Tingkatkan sekuriti diri sendiri
Mengecilkan peluang untuk penjenayah bertindak adalah langkah proaktif yang rakyat boleh membantu dalam mencegah jenayah. Harus diingat, apabila jenayah berlaku yang menanggung derita ialah mangsa sendiri bukanlah mereka yang dipersalahkan terutamanya kegagalan pihak berkuasa dan kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan kadar jenayah.
Meningkatkan sekuriti diri sendiri adalah seperti membeli mangga baru untuk rumah. Ia menyusahkan kerana anda perlu membawa kunci lebihan yang berat bersama selalu selain terpaksa buka dan tutup mangga setiap kali ingin masuk dan keluar rumah; tapi ketidakselesaan itu diperlukan demi mengecilkan peluang penjenayah untuk bertindak.
Tapi memandangkan kerajaan dan polis masih suka menyakinkan diri untuk mempercayai persepsi jenayah yang dikatakan semakin menurun tatkala rakyat yang menjadi mangsa jenayah makin meningkat, adalah lebih elok untuk rakyat mengambil langkah proaktif melindungi diri sendiri dan ahli keluarga terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa bangun dari mimpi untuk melakukan sesuatu drastik untuk bersama-sama rakyat membendung jenayah.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
30 Julai 2013
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment