Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini melancarkan serangan balas ke atas Pemuda Umno atas kritikan ke atas filem kontroversi 'The New Village' yang didakwa menghasut masyarakat untuk mengagungkan komunis.
Walhal, Pemuda Umno sendiri menjalin hubungan dengan Parti Komunis China, kata Lim.
Katanya pergerakan parti itu hanya berdiam diri apabila menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin pada 12 Oktober 2012 mengumumkan untuk membentuk kerjasama antara Pemuda BN dan Liga Pemuda Komunis China.
Khairy bertindak demikian dalam kapasiti sebagai ketua Pemuda BN.
“Jelas bahawa kedua-dua Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia adalah hipokrit dan mengamalkan double standard kerana gagal menuntut supaya tindakan diambil terhadap Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin kerana memuliakan komunisme dengan membentuk pakatan antara Pemuda BN dengan Liga Pemuda Komunis China.
“Khairy Jamaluddin menyebut bahawa sekretariat tetap itu akan menjadi pemudahcara program dua hala berterusan bagi menggalakkan pertalian yang lebih utuh antara kedua-dua pihak.
"Ini bukannya hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi hubungan terus antara parti politik dengan parti politik.
"Begitu pun tidak ada tindakan diambil apabil Khairy secara sedar dan niat yang jelas mewujudkan hubungan langsung dengan CYL melalui sebuah sekretariat,” katanya. mk
KJ: Jangan pilih kasih isu filem 'The New Village'
Kebenaran terhadap penayangan filem 'The New Village' perlu ditarik balik sekiranya ia mengagung-agungkan peranan komunis dan mencetuskan provokasi, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata berdasarkan tontonan treler filem itu dilihat seolah-olah ia mengagung-agungkan pejuang komunis dan perkara itu tidak boleh diterima sama sekali.
"Ini satu usaha untuk menulis semula sejarah kita dengan mengagung-agungkan komunis yang kita tahu adalah pengganas yang banyak melakukan keganasan di negara kita.
"Walaupun betul komunis lawan British tetapi keganasan itu tidak boleh dimaafkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di Tapah malam tadi.
Khairy mahu kerajaan melihat semula keputusan membenarkan tayangan filem itu.
"Kalau ada orang kata kenapa saya buat keputusan dan kenyataan ini sedangkan saya belum tengok (keseluruhan) filem ini. Saya boleh rujuk kepada kes filem 'Tanda Putera', ramai yang tidak tengok tetapi terus menghukum sampai 'Tanda Putera' ditunda dan ditangguh selama satu tahun," katanya.
Mengenai pemberian kebenaran penayangan filem 'The New Village' yang dilihat begitu mudah oleh pihak berkuasa berbanding 'Tanda Putera', Khairy berkata sepatutnya tidak wajar berlaku 'pilih kasih'.
"Itu yang menimbulkan tanda tanya. Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet sebab kita melihat jelas berlaku 'double-standard', trelernya sahaja kita sudah nampak ia mengagung-agungkan pengganas komunis boleh dilepaskan begitu sahaja, sedangkan 'Tanda Putera' kena tunggu satu tahun. Bagi saya ada sesuatu yang tidak kena," katanya.
Semalam, akhbar melaporkan pendedahan sebuah blog mengenai filem itu yang dilihat mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai 'hero' dan mempersoal bagaimana ia boleh ditayang pada bulan kemerdekaan sedangkan filem 'Tanda Putera', yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara dalam mendepani insiden 13 Mei, terpaksa ditangguh tayangan beberapa kali. - Bernama
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment