Saturday, April 30, 2011

Perwakilan dalam kerajaan:Kaum Cina perlu buat pilihan

KUALA TERENGGANU: Kaum Cina di negara ini perlu membuat pilihan sama ada untuk memilih MCA pada pilihan raya umum (PRU) akan datang atau kehilangan wakil dalam Kabinet kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.


"Pengundi kaum Cina telah diberi mesej jelas berhubung perkara itu," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyong, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam bahawa MCA tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan pusat dan negeri sekiranya keputusan yang diperoleh oleh parti itu pada PRU akan datang lebih rendah daripada keputusan yang dicapai pada PRU ke-12.


Pada pilihan raya umum lepas, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti terbabit. 


Najib berkata, beliau melihat MCA mahu memberi satu mesej kepada pengundi keturunan Cina bahawa mereka tidak boleh menyokong pembangkang dan dalam masa yang sama mahu penyertaan kuat dalam kerajaan. 


"Mereka kena buat pilihan antara dua. Kalau nak pembangkang maknanya mereka kena korban parti dalam kerajaan dan kalau nak suara mereka yang lebih untuk bawa kepentingan mereka, jadi mereka kena sokong parti komponen Barisan Nasional (BN)," katanya. 

Perdana Menteri berkata, MCA akan memutuskan perkara itu hanya setelah pilihan raya umum akan datang selesai. 

"Bagaimanapun mesejnya jelas. Jika anda mahu pembangkang yang kuat, anda perlu mengorbankan perwakilan Cina dalam kerajaan tetapi jika anda mahu perwakilan Cina yang kuat dalam kerajaan, maka anda perlu mengundi parti komponen BN," katanya. 

Bagaimanapun, Najib berkata, beliau yakin MCA akan sentiasa bersama BN kerana tahu BN adalah sebuah kerajaan yang adil, dan hanya BN yang dapat memastikan kestabilan serta keharmonian di negara ini. 

"Rekod pencapaian kami telahpun terbukti, dasar kami diterima oleh semua kaum. Maka MCA, dalam apa jua keadaan, mereka akan tetap bersama BN," katanya. 

Sementara itu di MUAR, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 

masyarakat Cina akan mengalami kerugian jika tiada wakil MCA di dalam kerajaan berikutan kegagalan parti meraih sokongan masyarakat terbabit pada pilihan raya umum akan datang. 

Kata Muhyiddin, beliau tidak mahu melihat perkara itu berlaku tetapi kemungkinan ia terjadi jika masyarakat Cina menolak calon-calon BN daripada MCA pada pilihan raya umum akan datang. 

"Saya harap ia tidak akan berlaku. Barisan Nasional mendukung perjuangan semua kaum, dengan perwakilan yang adil daripada semua kaum," katanya pada sidang media selepas merasmikan secara serentak persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh. 

Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh, berkata keputusan MCA itu mungkin suatu mesej kepada pengundi supaya menyokong calon BN yang diwakili oleh MCA bagi membolehkan mereka mewakili suara masyarakat Cina dalam kerajaan. 

Beliau berkata, keputusan MCA itu juga bukan merupakan arahan daripada mana-mana pihak, tetapi adalah pilihan pucuk pimpinan MCA sendiri. 

Muhyiddin turut menolak tanggapan bahawa keputusan MCA itu adalah langkah yang terdesak. 

Beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa MCA mampu mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu jika ia berusaha keras dengan mengambil daya usaha baru untuk mengembalikan sokongan masyarakat terbabit. 

"Jikalau perjuangan MCA adalah selari dengan citarasa masyarakat Cina, saya berkeyakinan masyarakat Cina akan kembali menyokong calon-calon yang diketengah menerusi MCA," katanya. - Berita Harian 

Berita Berkaitan : 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular