Saya membaca keputusan Pilihanraya Kecil DUN Kuala Besut melalui akhbar tempatan hari ini yang menyaksikan PAS gagal menawan DUN Kuala Besut daripada penguasaan UMNO/Barisan Nasional.
Dalam erti kata lain, tawaran PAS kepada rakyat Kuala Besut untuk posisi 16 : 16 ditolak oleh rakyat
DUN Kuala Besut yang mengambil keputusan untuk terus memangkah UMNO kelmarin.Saya secara peribadi tidak terkejut dengan keputusan ini.
Pengalaman saya turun beberapa kali membantu calon PAS berkempen dalam pilihanraya kecil ini termasuk meninjau suasana hari pengundian memberikan gambaran kepada saya suasana kehidupan masyarakat di DUN ini.
Kehidupan rata-rata rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan memberikan peluang yang cerah kepada UMNO/Barisan Nasional menabur sebanyak mungkin projek dan habuan wang ringgit.Inilah rahsia sebenar kekuatan UMNO.
Kesusahan dan kesempitan hidup rakyat diambil kesempatan sehabis mungkin bagi memberikan kemenangan kepada mereka.
Perhatikan sahaja di seluruh Malaysia ini, kesemua ibu negeri ditawan oleh Pakatan Rakyat kecuali dua sahaja jatuh ke tangan Barisan Nasional.
Secara logiknya, ibu negeri tentulah tempat berhimpunnya tenaga cerdik pandai dan berpendidikan tinggi. Dan di sinilah UMNO/Barisan Nasional gagal kerana kekuatan wang dan kebendaan ada sempadannya.
Di sinilah letaknya tugas PAS selaku parti yang membawa mesej perjuangan Islam. Di Kuala Besut yang rata-rata penduduknya bergantung kepada pencarian mata pendapatan cara kampung berada dalam tekanan hidup yang tinggi dan sukar untuk membuat pilihan yang terbaik untuk taraf kehidupan mereka sendiri dalam jangka masa panjang. Apatah lagi untuk berfikir demi kepentingan agama.
Pada saya, apa yang disebut sebagai penyakit ghaplah (lalai) merajai benak fikir rata-rata penduduk sehingga mengenepikan tanggungjawab terhadap agama mereka sendiri.
Inilah tugas gerakan Islam. Menyambung tugas Rasulullah SAW yang memikul tugas menghapuskan penyakit ghaplah ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.” – Surah Yasin, ayat 6.
Perbezaan utama Kuala Besut dengan Pasir Puteh di Kelantan ialah budaya ilmu. Daripada budaya ilmu inilah akan lahirnya masyarakat yang sentiasa beringat-ingat tentang dosa dan pahala.
Sebab itu di antara perkara terawal yang dilakukan di Kelantan setelah PAS mengambil alih teraju pemerintahan pada tahun 1990 ialah menubuhkan Unit Halaqat.
Ini bukan satu kerja sambil lewa kerana hanya mahu mengharapkan peruntukan kerajaan.
Ia sebenarnya misi kerajaan negeri untuk mendidik rakyat melalui pembudayaan ilmu di masjid-masjid yang dikendalikan oleh Unit Halaqat.Manusia apabila berilmu akan menolak UMNO/Barisan Nasional yang jelas dan terang melawan aspirasi perjuangan Islam.
Bukan mereka menolak UMNO/Barisan Nasional dengan emosi dan taksub, tetapi mereka menolak dengan pertimbangan ilmu yang dipelajari.
Dengan ilmu, mereka membezakan intan dan kaca. Tanpa ilmu, jiwa akan kosong umpama tin kosong yang hanya dipenuhi oleh sampah sarap.
Lihat sahaja dakwah Rasulullah SAW di Mekah, ditolak habis-habisan oleh masyarakat Mekah yang rata-ratanya hidup dalam permusuhan panjang dan konflik sosial yang tinggi.
Namun di Madinah yang agak maju sedikit dengan perkembangan ilmu dengan kehadiran ahli Kitab, Islam mudah diterima oleh penduduk di sana.
Nyata sekali Kuala Besut adalah ‘kuala ujian’. Ujian untuk penduduknya yang ditawarkan pembangunan ratusan juta yang akhirnya ramai yang lemas di ‘kuala ujian’ ini.
Ia juga medan ujian kepada petugas-petugas parti PAS yang datang dari seluruh negara namun akhirnya terpaksa menerima keputusan tewas pada malam tadi.
Hakikatnya, ini bukan kali pertama PAS tewas di dalam pilihanraya. Saya mendoakan kesemua petugas parti PAS yang berpenat lelah di bulan Ramadhan ini demi kemenangan calon mereka diberikan ganjaran oleh Allah SWT.
Inilah bekal kita yang paling berharga iaitu kita mengharapkan pahala daripada Allah SWT.
Perhatikanlah ayat al-Quran yang bermaksud : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan.. (Surah al-Nisa’ ayat 104).
Kita bertanding di dalam pilihanraya untuk menang. Kita mungkin sedih jika tewas, tetapi jangan sesekali kita kecewa. Segera bangkit dan meneruskan perjuangan kerana perjuangan Islam sekiranya berpijak di lantai ikhlas pasti dihadiahkan dengan pahala!Salam hormat.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik MatAl-Mursyidul Am,Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 16 Ramadhan 1434H bersamaan 25 Julai 2013M
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment