Friday, July 26, 2013

Najib bangga BN hilang 521 undi dalam tempoh dua bulan

KUALA BESUT: Kita semua tahu bahawa calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman menang dengan majoriti 2,592 undi dalam pilihanraya kecil Kuala Besut semalam mengalahkan calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long tetapi yang kita hairan kenapa undi BN tidak meningkat?


Pada 5 Mei lalu, calon BN, Dr Rahman Mokhtar mendapat 8,809 undi sedangkan pada 24 Julai pula, setelah dua bulan berlalu, Tengku Zaihan hanya mendapat 8,288 undi. Di sebalik jentera BN yang kuat menggempur semua peti undi, ke mana hilangnya 521 orang. Kenapa mereka tidak keluar mengundi? Kenapa BN tidak boleh meningkatkan undinya sedangkan jenteranya begitu kuat dan tersusun.

Apatah lagi BN menabur janji dengan pelbagai projek berjumlah RM470 juta tetapi mampu meningkatkan majoriti sebanyak 158 undi sahaja. Pada masa yang sama calon PAS pada 5 Mei lalu, Napsiah Ismail mendapat 6,375 undi tetapi calon semalam, Che Long hanya mendapat 5,696 undi kurang 679 undi. Ke mana pergi 679 orang ini? Kenapa mereka tidak keluar mengundi PAS? Adakah mereka suku sakat Napsiah yang tidak keluar mengundi?

Che Long diwar-warkan sebagai calon yang popular tetapi Napsiah yang lebih popular daripadanya. Adakah benar Napsiah sabotaj Che Long kerana kononnya jentera muslimat PAS Kawasan Besut enggan membantu Che Long? Jika Napsiah dan muslimat PAS kawasan bergerak, sudah tentu PAS dapat meningkatkan jumlah undinya.

Ini bermakna kedua-dua calon gagal menambah undi baru. BN kurang 521 undi manakala PAS kurang 679 undi. BN menang tetapi hanya tambah majoriti 158 undi sahaja.

Tidak sehebat mana

Pelbagai projek ditaburkan di Kuala Besut tetapi BN hanya dapat tambah majoriti sebanyak 158 undi sahaja. Ini bermakna kemenangan BN tidak sehebat mana. Sepatutnya dengan projek hampir separuh bilion itu BN dapat memenuhi sasaran majoriti 4,000 undi.

Seperti kata Che Long, dia reda dengan kekalahannya kerana bukan dia kalah lawan Tengku Zaihan tetapi dia kalah melawan kerajaan Malaysia dengan semua menteri dan timbalan menteri turun berkempen di Kuala Besut.

PAS perlu buat post mortem kenapa ia kalah di Kuala Besut.Pada masa yang sama ia kena munasabah kenapa PAS gagal mengurangkan majoriti BN? Adakah kerana penduduk Kuala Besut buta IT seperti kata Presidennya, Datuk Seri Haji Hadi Awang? Atau adakah keranamereka gelap mata dengan janji-janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin?

Pilihanraya kecil Kuala Besut dikatakan pilihnaraya kecil termahal dengan anggaran seorang pengundi mendapat RM27,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tersenyum lebar kerana beliau boleh tidur lena kerana BN masih mendahului 17-15 dalam Dewan Undangan Negeri. Cakap-cakap orang Besut nak balas dendam kepadanya tidak benar, Orang Besut sudah terima Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Timbalan Pengarah pilihanraya BN, Datuk Seri Idris Jusoh juga dapat elak besar kerana BN menang dengan majoriti besar, 2,592 undi. Kalau menang dengan majoriti kurang 500 undi, barulah muka Idris pucat.

Jadi peluangnya untuk menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO terbentang luas padapemilihan Disember ini. Sebagai Menteri Pelajaran II, beliau ada harapan untuk menang. Manakala dengan kemenangan Tengku Zaihan, beliau akan menggantikan ADUN Kota Putera, Mahadi Hassan sebagai Ketua Pemuda Umno Besut yang baru.

Dalam perhimpunan agung pemuda Umno nanti, kita mahu lihat Tengku Zaihan mewakili pemuda Umno Terengganu berucap. Walaupun beliau dikatakan sukar untuk senyum, tetapi beliau pandai berucap. Tidak seperti Che Long yang tidak pandai berucap. PAS silap pilih calon. Kita bukannya nak pilih ketua kampung, tetapi nak pilih wakil rakyat. Maka calon BN sebagai orang terpelajar merupakan pilihan yang tepat di Kuala Besut.

PAS bukan sahaja silap pilih calon, malah PAS silap melantik orang Kelantan, Datuk Husam Musa sebagai Pengarah pilihanraya. Adakah orang Terengganu tidak layak? Apa salahnya jawatan itu diberi kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut yang mempunyai pengalaman menghadapi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

Tahniah kepada Tengku Zaihan. Semoga beliau dapat berkhidmat dengan cemerlang kepada penduduk Kuala Besut. -freemalaysiatoday-

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular