Keputusan pilihanraya kecil DUN Kuala Besut terus menjadi perbualan di mana-mana dan ia dijangka berlarutan menjadi basahan mulut rakyat dalam tempoh seminggu dua ini. Pelbagai analisis, hujah dan justifikasi dapat didengar, baik mengenai kemenangan BN mahupun mengenai kekalahan PAS.
Tetapi perkara yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai limpahan projek pembangunan di Kuala Besut yang dianggarkan mencecah RM500 juta melalui 15 projek yang dicurahkan oleh BN selama 12 hari kempen pilihanraya kecil itu berjalan. Dengan perbelanjaan sebesar itu, pilihanraya kecil Kuala Besut dianggap paling mahal dan mewah serta menjadikan nilai seorang pengundinya kira-kira RM27.000.
Walapun ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN seperti mainan hubungan PAS dengan DAP, ditakut-takutkan dengan Cina dan Lim Kit Siang akan menguasai negara dan pelbagai isu lain yang bersifat perkauman, hakikatnya faktor terbesar yang menyumbang kepada kemenangan itu ialah kuasa wang ringgit yang dimiliki oleh BN.
Dengan perbelanjaan sebesar RM500 juta, adalah mustahil untuk melihat BN mengalami kekalahan. Nikmat pembangunan yang diterima bakal mengubah landskap kehidupan mereka di situ yang rata-rata masih miskin dan berpendapatan rendah. Iman politik kebanyakan orang boleh berubah mendengar nilai wang sebesar itu walaupun belum tahu bila pembangunan yang dijanjikan itu akan dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, ada juga yang berhujah bahawa dengan dana sebenar RM500 juta itu, bukan saja mustahil BN akan kalah bahkan sesiapa juga pun, waima calon 'cap ayam' sekalipun boleh memperolehi kemenangan.
Persoalan lain ialah, bolehkah BN boleh menang jika semata-mata menjual idelogi perjuangan tanpa disertai dengan curahan projek dan wang ringgit?
Namun demikian, persoalan mengenai belanja pembangunan RM500 juta untuk Kuala Besut ini juga sebenarnya bakal menimbulkan masalah kepada BN Terengganu dalam menghadapi pilihanraya akan datang. Oleh kerana Kuala Besut begitu mewah dengan curahan projek, ianya akan menyebabkan pengundi di kawasan DUN yang lain juga bakal menuntut pelbagai projek pembangunan daripada kerajaan atas alasan untuk mempertahankan kedudukan BN dalam pilihanraya akan datang.
Sekiranya BN boleh mencurahkan peruntukan sebesar hampir RM500 juta dalam tempoh tidak sampai dua minggu untuk sebuah kawasan DUN, tiada sebab kerajaan tidak boleh memberi projek bernilai RM200 juta atau RM300 juta kepada sesebuah kawasan yang lain dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ini sekaligus akan memaksa BN Terengganu menumpukan perhatian yang sama rata kepada semua DUN di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang dari segi pengagihan projek-projek pembangunan. Projek kecil-kecilan mungkin tidak dipandang lagi. Kali ini mereka mahukan yang nilainya puluh atau ratus juta juga.
Kegagalan berbuat demikian akan mengundang lebih risiko untuk kehilangan sokongan rakyat kerana pasti ada yang merasakan kerajaan bersikap pilih bulu dan tidak adil kepada rakyat. Yang lebih sinis akan berkata, kalau Kuala Besut boleh, kenapa kami tak boleh?
Lebih-lebih lagi dengan kedudukan kerusi 17-15, kuasa tawar-menawar rakyat terhadap kerajaan sebenarnya tetap tinggi walaupun tidak sebaik jika 16-16. Mereka tidak perlu lagi menunggu ada pilihanraya kecil atau wakil rakyat meninggal dunia untuk menuntut dan meminta pelbagai projek pembangunan daripada kerajaan, bahkan permintaan boleh dibuat dengan segera sambil memberi contoh kemewahan yang diperolehi yang penduduk Kuala Besut berbanding mereka di kawasan-kawasan yang lain.
Sebenarnya dengan kemenangan BN di Kuala Besut, terdapat juga hikmah untuk seluruh rakyat dan pengundi di negeri Terengganu. Inilah masanya untuk mereka merebut peluang supaya kerajaan negeri turut bersikap pemurah dan prihatin untuk semua rakyatnya pula.
Meskipun hikmah dan faedahnya tidak sebesar jika kedudukan menjadi 16-16, tetapi pengundi di kawasan lain selain Kuala Besut tidak seharusnya melepaskan peluang ini. Mereka harus cerdik mulai sekarang tanpa menunggu ada pilihanraya kecil kerana kematian wakil rakyat bukannya boleh diminta-minta. (SH 26/07/2013)
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment