KUALA LUMPUR: Peserta himpunan Bersih pada 9 Julai lalu hadir berhimpun menuntut reformasi pilihan raya atas kesedaran diri dan tidak pernah diupah mana-mana pihak, kata Senator Dr Syed Husin Ali.
“(Peserta ) Yang datang bukan jenis (ahli) Umno. Mereka datang dengan semangat dan kesedaran sendiri.
“Kalau tak, takkan mereka berani datang sendiri,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen selepas persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau sekaligus menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya peserta Bersih sebelum ini diupah antara RM150 sehingga RM200.
Bercakap lebih lanjut, Syed Husin berkata kekasaran dan keganasan yang dilakukan oleh polis terhadap peserta perhimpunan itu amat memalukan negara.
Ini kerana mereka yang berhimpun di luar negara, mampu berbuat demikian dengan aman tanpa gangguan pihak berkuasa itu.
“Di negara lain, polis bukan sahaja memantau, mereka juga mengiringi mana-mana perhimpunan aman yang berlangsung,” kata Syed Husin.
Menurutnya lagi, Umno BN cuba untuk mengekang Bersih yang telah diberikan perkenan oleh Yang Di Pertuan Agong kerana mereka takut ia akan membongkar penipuan mereka dalam pilihan raya selama ini.
“Kalau ia berjaya (dengan lebih ramai peserta), ia akan mendedahkan segala keburukan dan salah laku pemerintah melalui Suruhanjaya Pilihan Raya selama ini,” kata Syed Husin.
Syed Husin seterusnya menyatakan Pakatan Rakyat menganggarkan peserta Bersih yang berhimpun pada 9 Julai lalu sekitar 50 ribu walau pun ada pihak menganggarkan jumlah yang lebih tinggi.
“BBC menganggarkan 120 ribu sementara Al Jazeera pula menyatakan 100 ribu orang.
“Tetapi Pakatan Rakyat menganggarkan sekitar 50 ribu orang,” kata Syed Husin.
Pagi tadi Syed Husin cuba untuk mengusulkan agar tindakan ganas polis terhadap orang awam pada himpunan Bersih lalu dibincangkan di Dewan Negara menerusi Notis Peraturan Mesyuarat 17(1) tetapi ditolak Yang di Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang. KD
No comments:
Post a Comment