Saturday, July 16, 2011

Keluarga Baharudin hantar memorandum tuntut penjelasan KPN


KUALA LUMPUR: Peguam Pakatan Rakyat bersama keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad, peserta yang meninggal dunia semasa perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu menghantar memorandum bantahan kepada Ketua Polis Negara (KPN) hari ini dan mendesak beberapa tuntutan berhubung kematian mangsa.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, bantahan itu dibuat ekoran kenyataan KPN yang tidak bertanggungjawab dan masih berdegil tidak memohon maaf terhadap keluarga mangsa.


“Kita hadir di sini bagi menuntut pihak polis beri jawapan kepada beberapa persoalan ke atas keluarga mangsa dan seluruh rakyat Malaysia.


“Kita lihat selepas terjadinya perkara ini, polis mengatakan bahawa polis tidak bersalah dan mangsa meninggal kerana serangan jantung. Soalnya, tanpa siasatan, polis dengan segera keluar kenyataan?


“Apabila kenyataan sebegini tanpa sebarang siasatan, maknanya ada cubaan untuk menyembunyi ataupun korup berlaku, ini tidak bertanggungjawab.
“Kita lihat kepada jenazah di mana beberapa tulang rusuk arwah patah, luka di bibir dan giginya patah.


“Apakah penjelasan yang polis beri mengenai kecederaan yang dialami oleh Allahyarham? Itu bukan jawapan, tetapi persoalan besar yang mesti dijawab macam mana dia cedera, siapa yang pukul, kita ada lihat footage,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bukit Aman, dekat sini.


Kata beliau, dalam memorandum tersebut, pihak keluarga menggesa KPN memohon maaf dengan keluarga Allahyarham Baharudin dan seluruh rakyat Malaysia kerana menyalahguna kuasa dan menggunakan kekerasan berlebihan terhadap rakyat selain beberapa tuntutan lain.
“Kita tuntut supaya semua pegawai polis termasuk pegawai tertinggi yang memerintah operasi di kawasan tersebut digantung tugas sehingga selesai penyiasatan kes. Penyiasatan yang komprehensif tanpa sebarang percubaan untuk melindung mana-mana pihak wajar dijalankan segera.


“Laporan penuh penyiasatan ini dicetak dan disiarkan kepada orang awam. Pendakwaan akan mengheret semua pegawai polis walaupun seberapa tinggi pangkatnya, yang bertanggungjawab bagi kematian arwah,” kata beliau.


Memorandum itu diserahkan oleh abang sulung mangsa, Kassim Ahmad dan diterima oleh ASP Shafiei Mohamad dan kemudiannya dipanjangkan kepada pegawai atasan, ACP Ramly Mohamed Yusoof.


Kassim ketika ditemui pemberita menegaskan beliau akan terus menuntut polis bertanggungjawab atas kekejaman mereka sehingga melibatkan satu nyawa hilang.
“Rakyat cuma keluar menuntut pilihan raya yang bersih dan adil, tapi polis khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein jadikan Kuala Lumpur seperti Gaza, penuh huru-hara, jalan semua ditutup, menyusahkan orang ramai,” katanya.


Hadir sama semasa penyerahan memorandum itu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Ketua Penerangan KEADILAN, Lee Khai Loon serta Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya bersama kira-kira 20 aktivis Bersih 2.0.


Sementara itu, saksi kejadian, A Rajaratanam melahirkan rasa kesal dengan sikap polis yang 
enggan menghulurkan bantuan meskipun menyaksikan mangsa sedang tenat.


“Masa arwah sedang tenat, saya minta polis panggil ambulans tapi mereka enggan. Polis beruniform tidak layan pun permintaan saya. Jadi minta polis jelaskan perkara ini,” katanya. KD

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular