Wednesday, July 13, 2011

HISHAMUDDIN WAJAR HENTIKAN SANDIWARA

Oleh : MUTALIB M.D
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien digesa agar menghentikan sandiwara politik berhubung penangguhan Operasi 6P, sebaliknya menyerahkan operasi berkenaan kepada Tentera Di Raja Malaysia kerana Kementerian Dalam Negeri (Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen) sudah gagal secara total mengusir pendatang asing sejak 1970-an.


“Senario di Sabah sekarang sudah dalam keadaan darurat dan sewajarnya Parlimen menyerahkan tugas mengusir PATI ini kepada Tentera kerana PATI adalah musuh nombor satu Negara,” ujar Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi.

Memandangkan Kerajaan Persekutuan sudah gagal mengatasi isu kebanjiran PATI yang mencabul kedaulatan Malaysia, maka kata Eric, DYMM Yang Di Pertuan Agong selaku Ketua Angkatan Tentera DiRaja Malaysia, boleh mengarahkan Tentera mengambil alih tugas penting berkenaan.

“Tidak ada alasan yang boleh diberikan bagi isu PATI di Sabah kerana kehadiran PATI sudah hampir menyamai penduduk tempatan, malah dalam keadaan tertentu bilangan mereka bertambah ramai kerana masuk secara haram melalui pintu hadapan,” kata Eric yang mendakwa rasuah adalah kunci utama kenapa PATI boleh memasuki Sabah melalui Kaunter Imigresen atau melepasi kawalan ketat polis.

Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang, kata Eric, sudah hampir menjadi ‘Boneka’ sehingga memaksa rakyat Malaysia daripada seluruh dunia menyokong ‘Bersih’ sedangkan rakyat tahu ‘Bersih’ hanyalah ‘Organisasi Amanah Atas Angin’ yang tidak didaftarkan, semata-mata untuk menyampaikan keluhan rakyat kepada DYMM Yang Di Pertuang Agong.

Kata Eric, jika Parlimen dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia membuka ruang kepada rakyat untuk menyampaikan pandangan dan permintaan; sudah pasti ‘Bersih’ tidak perlu wujud dalam kancah politik Malaysia.

“Jika semua pintu perbincangan ditutup, termasuk usul saya dan rakan-rakan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat kehadiran jutaan PATI di Sabah, baik yang mendapat kad pengenalan dari pintu belakang atau tidak ada dokumen langsung, telah ditolak parlimen; apatah lagi keluhan rakyat biasa?” tanya Eric yang beranggapan Hishamuddin mula menyalahguna kuasa yang diberikan parlimen kepada beliau.

Menurut Eric, beliau tidak menuduh Kerajaan Malaysia bercadang merekrut mereka sebagai pengundi, tetapi kejadian kad pengenalan mendiang bapanya digunakan untuk mengundi oleh PATI, telah membuktikan bahawa memang benar wujud ‘Pengundi Hantu’ dan PATI yang beroleh kerakyatan secara tidak sah.

Penafian berterusan kerajaan berhubung isu ini umpama menafikan demokrasi wujud di Malaysia. Di sebuah negara demokrasi, rakyat negara itu berhak untuk menunaikan tanggung jawab mereka dalam pilihanraya yang bebas; sebaliknya di Sabah, rakyat Malaysia tidak dibenarkan mengundi kerana tugas berkenaan diberikan kepada rakyat asing yang langsung tidak berhak untuk tinggal di Negara ini, apatah lagi mengundi,” kata Eric lagi.

Ada wajarnya, kata Eric, Hishamuddin menumpukan tugas penting melakukan penambahbaikan integriti Jabatan Imigresen, Rela dan Polis yang semakin tercemar, daripada menyibuk hal PATI di Sabah kerana hakikatnya, Sabah mempunyai kedaulatan Imigresen sendiri tetapi dirampas Kerajaan Persekutuan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular