Thursday, July 14, 2011

UMNO/BN Parti Rasuah dan Perkauman - Blogger UMNO


UMNO - kalau tidak berubah, ia akan tersadai.

Apa yang berlaku di dalam negara kita akhir-akhir ini memang satu keadaan yang saya dan ramai yang lain susah hendak percaya akan berlaku, tetapi ianya berlaku. Hampir 1700 orang di tahan pihak berkuasa kerana berjalan ke Stadium Negara untuk berhimpun secara aman.


Perarakan yang aman menuju ke Stadium itu. Belum pun peserta rally itu sempat menunjukan bukti yang mereka hanya akan berhimpun secara aman Polis telah menahan mereka termasuk pemimpin-pemimpin parti-parti politik dan penganjur rally itu.

Begitu banyak kenyataan tentang transformasi dalam semua bidang oleh PM Najib tetapi dalam hal ini PM Najib nampaknya hendak memberikan
‘exception’ kepada transformasi dalam sistem pemilihan di dalam pilihanraya umum. Najib sudah mula menjadi seorang emperor yang tidak boleh di usik. di alih dan di anjak.

Dulu tidak tahan dengan
warna hijau sekarang tidak boleh tengok warna kuning. Hampir 1700 orang ditahan dan tidak tentu pasal masuk lokap polis kerana memakai baju yang berwarna kuning ini. Selepas ini warna apa pula yang mereka takut untuk orang ramai memakainya? 



Kalau pemimpin-pemimpin berucap mereka berucap dengan penuh gegaran seolah-olah akan runtuh bukit bukau di sekelilingnya tetapi pada realitinya mereka gerun dengan baju-baju berwarna kuning.

Cara pentadbiran Najib menangani isu rally ini mendapat liputan meluas di seluruh dunia Hanya isu manusia hendak berkumpul di Stadium sahaja sudah
gelabah dan bersedia seperti persediaan menghadapi peperangan dunia ke tiga. Seluruh masyarakat antarabangsa telah mengutuk dan membidas terhadap cara pentadbiran kita menghadapi situasi ini.

Ramai akan mengatakan kita mempunyai acuan demokrasi sendiri dan kita tidak perlu pandangan dunia luar. Tetapi dalam nafas yang sama pemimpin kita menuduh yang Bersih telah membinasakan imej negara di luar negara. Dalam isu ini
penting pula masyarakat antarabangsa.

Kita mesti ingat sejarah telah banyak mengajar kita tetapi kita sahaja tidak mahu belajar dari sejarah itu. Kita telah belajar satu perkara penting; selalunya kita akan jatuh semasa kita merasakan yang kita kuat. Firaun gugur semasa dia sedang kuat. Firaun dengan tentera nya yang kuat dan raksaksa telah mengejar dan memburu Musa semasa dia dihapuskan oleh air Lautan Merah.

Kejatuhan empire Rome adalah semasa empire itu berkuasa penuh dan terkuat. Empire Islam sendiri telah jatuh semasa Islam menguasai hampir seluruh dunia dari Spain di barat dan China di timur. Banyak tamadun di zaman dahulu kala jatuh semasa mereka sedang berkuasa penuh dan digerunioleh semua pihak lawan.

Apakah UMNO akan mampu merempuh dugaan reaksi rakyat yang tidak meyakini parti itu lagi? Boleh kah kerajaan teraju BN hari ini mampu mengekalkan kuasa dengan menunjukan kekuasaan melalui tindakan kasar pihak Polis? Kalau sesebuah kampong itu dikuasai oleh samseng yang bertubuh besar begitu lama, selalunya samseng yang bertubuh besar itu akan dikalahkan oleh budak yang berbadan kecil sahaja.

UMNO ini ibarat gajah. Badan sahaja yang besar tetapi takut kepada semut yang halus kecil tubuhnya.

Jika kita kaji sebab yang membuatkan rakyat selalu mempersoalkan kewibawaan pimpinan kita, ianya boleh dikategorikan kepada tiga perkara besar;



Pertamanya kerajaan telah di persepsikan sebagai sebuah kerajaan yang terlalu ‘impregnated’ dengan rasuah. Rasuah berlaku dengan tidak terkawal disetiap peringkat pentadbiran kerajaan dan jarang-jarang yang tidak terlibat dengan rasuah. Kalau tidak besar kecil. Rasuah tetap wujud. Rakyat sedar yang tidak ada kerajaan akan kekal jika rasuah tidak dapat dikawal. 

Rasuah ini merupakan kegiatan yang tertua di dunia ini tetapi tidak ada negara dan sistem yang rasuah tidak jatuh akhirnya. Itulah sebabnya di antara yang membangkang kerajaan bukannya kerana semata-mata untuk membangkang dan menyokong parti pembangkang tetapi kerana menyedari kegiatan rasuah ini merupakan perlakuan yang sangat merbahaya jika tidak ditangani secara serius. Ianya akan membinasakan sistem kehidupan rakyat buat selama-lamanya.

Bagi pemimpin-pemimpin atau sesiapa yang berada di dalam kuasa mereka tidak akan berjaya membuat keputusan dengan betul kerana pengaruh wang dan rasuah itu. Apabila mereka tidak dapat membuat keputusan dengan baik, maka segala sistem dan dasar yang telah diwujudkan itu tidak mungkin terlaksana dengan baik. Itu sebabnya kita terlalu kerap mengubal dasar untuk maksud yang sama tetapi matlamat tidak juga tercapai sehingg ke hari ini.

Masyarakat negara yang rasuah selalunya akan akhirnya membentuk masyarakat yang kaya itu terlalu kaya dan yang miskin itu terlalu miskin dan jurang ini akan terus melebar selagi tidak ada pihak yang lain yang mempunyai kudrat untuk membinasakan kegiatan yang sangat hina ini. Itu sebabnya jika rasuah itu tidak terkawal akan ada manusia yang menjadi kaya tidak terhingga sehinggakan mampu membeli sebentuk cincin permata sehingga US24 juta walaupun mereka itu dahulunya bukanlah datang dari keluarga yang kaya dengan luar biasa. 

Rasuah ini tetap hina sehina-hina kegiatan kerana agama kita sendiri telah mengkategorikan perasuah itu sebagai manusia yang memakan daging saudaranya sendiri.Dosa rasuah tidak ada kurangnya dari dosa meliwat kerana perasuah itu seolah-olah meliwat seluruh rakyat yang ada dibawah tadbiran mereka. Apabila rasuah sudah menjadi kegiatan tegar bagi mereka yang sudah ketagih dengan kegiatan ini, ia memerlukan pihak lain untuk mengambil alih untuk memberhentikan kegiatan ini. 

Jika negara itu sebuah negara demokrasi maka jalan yang paling baik untuk membanterasnya ialah dengan mengenepikan mereka ini malalui pilihanraya. Jika yang mengambil alih itu juga bersifat demikian maka rakyat boleh kembali ke peti undi untuk memilih pihak yang lain sehinggalah kegiatan ini di anggap oleh rakyat ramai sebagai satu kegiatan yang tidak terkira haramnya. Inilah yang membuatkan UMNO sebagai parti yang rasuah kerana mereka sudah yakin yang UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing; saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Stigma UMNO sebagai parti rasuah sudah begitu tegar dan amat payah untuk menghilangkan persepsi itu.

Masalah yang kedua dalam UMNO yang menyebabkan rakyat sudah hilng keyakinan ialah masalah ‘cah keting’ sesama mereka dalam parti itu. Oleh kerana kepentingan wang ringgit dan pangkat tadi maka perasuah menggunakan wang yang begitu banyak untuk mengenepikan pimpinan yang baik dan boleh dipercayai melalui politik wang dan penyalahgunaan kuasa tadi.

Sejak kepimpinan di gadaikan dengan kepimpinan maka sedikit demi sedikit dan tanpa disedari perasuah-perasuah telah mengawal parti dan semua mereka yang mempunyai kredibiliti kepimpinan akan beransur-ansur lari dari bergiat dan menyokong parti yang begitu sinonim dengan rasuah itu tadi.

Ini jugalah sebabnya wujudnya puak-puak di dalam parti dari atas sehingga ke bawah. Selalunya mereka di dalam parti pemerintah itu akan jatuh bukannya oleh kerana parti-parti yang membangkang tetapi oleh kerana permainan kotor di antara mereka sesama mereka. 

Dalam isu Bersih bukan tidak ada mereka dari dalam UMNO yang memainkan politik kongkalikong kerana mahukan Najib tersungkur kerana mereka ada pemimpin yang sesuai dengan mereka yang sedang menunggu dengan tidak sabar bagi menggantikan Najib. Saya yakin dikalangan ahli-ahli MT UMNO dan Kabinet ada yang mahukan Najib berhenti dan memberikan laluan kepada orang lain dalam masa yang terdekat ini.

Kalau benar-benar ada kesatuan di kalangan pimpinan tertinggi di dalam parti tidak mungkin keadaan seperti yang kita lalui ini akan wujud.

Penyebab yang tidak kurang besarnya kenapa UMNO dan BN tidak lagi parti yang mendapat keyakinan besar dari rakyat ialah kerana rakyat sudah mual dengan isu rasis, Sudah jelas trend yang begitu jelas yang parti-parti yang berlandaskan kepada keahlian yang homogeneous seperti UMNO dengan Melayunya, MCA dengan Cinanya dan MIC dengan Indianya sudah tidak mendapat perhatian yang begitu baik lagi.

Baik Melayu, Cina atau pun India sudah mula mahu melihat parti dan badan siasah yang berbilang kaum menjadi landasan mereka untuk bergiat dan membina kepimpinan mereka. Itu jugalah sebabnya PAS menjadi ‘sanctuary’ yang selesa bagi orang Melayu dan sesiapa yang beragam Islam. DAP pula sedang bergiat untuk memberikan keyakinan kepada semua pihak bahawa parti itu adalah sebuah parti yang ‘multiracial’ yang sebenarnya.

Tetapi sejak berdekad-dekad yang lalu DAP telah dimomokan dengan berbagai-bagai isu untuk menakutkan orang Melayu menyertai dan menyokongnya. DAP sekarang harus menunjukan secara fisikal yang parti itu adalah parti untuk semua kaum dan bukannya hanya untuk kaum cina semata-mata. Jika gagal untuk menunjukan elemen penting ini wujud dalam DAP maka orang ramai akan menganggap ianya seperti MCA dalam mana pemimpin-pemimpin serta ahlinya adalah di kalangan chauvinis Cina semata-mata.

Penglibatan semua kaum merupakan penyebab kenapa NGO-NGO seperti Bersih dan lain-lainnya mendapat tempat dan sokongan ramai. Jika tidak di sekat oleh pihak berkuasa ramai berpendapat rally sabtu lepas sepatutnya dihadziri oleh tidak kurang dari 500,000 peserta.dan ini lah yang pihak pemerintah ingin melindungi dari perhatian rakyat.

Saya tidak menjangka segala transformasi politik khususnya transformasi di dalam UMNO itu sempat dilakukan sebelum pilihanraya ini. Najib terlalu terikat dengan ugutan dari mereka-mereka yang ingin menyambung kedudukan dalam parti dan kerajaan. Mereka seolah-olah memberitahu Najib yang mereka masih diperlukan di kawasan masing-masing dan jika mereka tidak di berikan sambungan untuk menjadi calun dan kedudukan dalam kerajaan rakyat tidak akan menyokong kerajaan lagi.

PM Najib begitu takut untuk membuat perubahan walaupun gegaran transformasi di dalam parti kononnya akan dilakukan. Pada hakikatnya tidak akan banyak berlaku dan transformasi yang di janjikan itu akan tetap tinggal janji. Berucap secara melaung dan bergegar itu sudah tidak laku lagi di zaman ini.

Pendeknya UMNO tidak mahu dan mampu untuk berubah walaupun perubahan itu sudah menjadi kemestian untuk dilakukan. Najib mesti memberhentikan mereka yang menjadi parasite kepada parti yang sedang menghadap penyakit tua ini. Jangan tunggu sehingga kita dihumbankan oleh rakyat ke dalam gaung. Perlu di ingat rakyat ada limitasi terhadap kesabaran yang mereka tanggung selama ini.

Rakyat di zaman serba modern ini amat mudah tersinggung dengan permainan psikologi politik murahan dan sesiapa yang tertangkap memainkan isu untuk menekan parti lawan secara tidak adil akan ditolak dan diketepikan oleh rakyat dalam pilihanraya.

Bagi parti pembangkang pula apa yang dilakukan oleh BN hari ini patut dijadikan pelajaran seandainya diberikan mandat oleh rakyat di dalam pilihanraya nanti. Cara belajar yang terbaik ialah belajar dari kesilapan orang lain. tetapi malangnya UMNO tetap memilih untuk belajar dari kesilapan dan kesalahan mereka sendiri.


Sebenarnya UMNO sudah terbiar oleh pimpinan sejak 30 tahun yang lalu. Ianya dipergunakan oleh pemimpin untuk kepentingan peribadi sampai ke ‘optimum’ tetapi parti itu tidak di baja dan di selengara dengan sebaiknya. Ia boleh di ibaratkan sebuah kereta yang hanya diperguna untuk memecut dengan laju untuk kepuasan pemandunya tetapi tidak di ‘service’ dengan baik. Lama kelamaan kereta itu tersadai dan tidak boleh dipandu lagi. 

Sebelum kereta itu tersadai enjinnya dari senyap akan menjadi bising, kadangkala boleh didengar dari jarak sejauh beratus meter. Mungkin itulah sebabnya pemimpin-pemipin UMNO begitu bising dengan isu rally sabtu lalu.Aspan Alias


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular