Tuesday, July 12, 2011

APA GUNANYA BERJUANG DALAM BN?

KABINET Persekutuan belum membuat keputusan berhubung cadangan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat masalah imigresen atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.


Sehubungan itu, Presiden Upko Tan Sri Bernard Dompok berkata, parti itu akan terus membuat susulan bagi merealisasikan penubuhan suruhanjaya itu.

“Setakat ini Kabinet belum membuat sebarang keputusan, kita akan meneruskan agenda ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tri-Tahunan Upko Bahagian Penampang di Dewan Masyarakat Penampang, di sini, kelmarin

Dompok berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini seruannya kepada kerajaan persekutuan untuk menubuhkan suruhanjaya itu, awal tahun ini.

Ditanya mengenai pandangan beliau mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan suruhanjaya itu tidak perlu ditubuhkan kerana kerajaan mempunyai mekanisme khusus bagi menanganinya, Dompok berkata: “Beliau (Hishammuddin) bukan satu-satunya yang membuat keputusan mengenai hal ini.”

“Oleh itu kita serahkan kepada kabinet untuk membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin dipetik sebagai berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja itu tidak perlu ditubuhkan kerana kerajaan sudah mewujudkan Makmal Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak tahun lalu bagi menyelesaikan pelbagai perkara berbangkit termasuk masalah imigresen di Sabah.

Terdahulu itu, ketika berucap Dompok berkata penubuhan suruhanjaya itu penting bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan imigran di Sabah.

“Walaupun ada pihak-pihak tertentu yang merasakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraya ini tidak wajar atau tidak logik tetapi bagi kita ia mesti ditubuhkan bagi mengatasi masalah imigran di negeri ini termasuk daftar pemilih.

“Dalam hal ini adalah tidak adil untuk mempersalahkan sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerana isu ini bukannya kesilapan SPR tetapi kelemahan pihak lain contohnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana jabatan itu yang mengeluarkan kad pengenalan.

“Ini kerana kalau seseorang individu itu mempunyai kad pengenalan, SPR tidak dapat menolak mereka daripada menjadi pemilih.

“Terdapat beberapa kes tertentu yang berlaku sebelum ini, sebab itu kita minta supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dijalankan oleh kerajaan. Apa guna kita berjuang dalam parti dan kerajaan sekiranya kita tidak dapat perjuangkan kes seperti ini,” katanya. (ST)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular