Itu tegasan dan penerangan yang dibuat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila beliau terbaca laporan mengenai Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang membidas wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam kerana tidak bersuara ketika Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim memetik hadis untuk menguatkan hujahnya dalam satu pembentangan di DUN Selangor semalam.
Satim berhujah bahawa Ng tidak layak menggunakan hadis untuk hujahnya kerana beliau seorang bukan Islam dan tidak memahami hadis tersebut.
Menurut Tuan Ibrahim iaitu Ketua Penerangan PAS, isu orang bukan Islam memetik ayat al-Quran dan Hadis masih menjadi isu yang belum selesai hanya kerana sikap dan pemikiran segelintir pemimpin-pemimpin Umno yang masih terkongkong dengan persepsi bahawa ia adalah satu kesalahan untuk orang bukan Islam memetik ayat al-Quran atau hadis.
“Alasan mereka mudah dan cetek, kerana tidak faham ayat al-Quran atau hadis. Kalau orang Melayu yang petik ayat al-Quran atau hadis tidak jadi masalah, walaupun mereka juga tak faham,” tegur beliau.
Tuan Ibrahim juga menasihatkan orang Islam untuk memahami betapa ramainya orang bukan Islam di dunia ini yang memetik ayat al-Quran dan hadis dalam tulisan atau ucapan mereka di seluruh dunia.
Tapi mengapa para ulama atau Majlis Fatwa tidak mengeluarkan fatwa untuk mengharamkannya?
“Sebab isu utama ialah hukumnya haram atau dicegah hanya sekiranya mereka atau kita umat Islam memetik dengan tujuan menghina atau mempermain-mainkan al-Quran atau hadis.
"Kalau mereka memetik untuk menguatkan hujah mereka, maka ia tidak dilarang bahkan ianya telah ada nilai kepercaaan kepada kebenaran al-Quran atau hadis. Seandainya petikan tersebut tersasar dari maksud sebenar, maka mereka yang memahami nas wajiblah membetulkannya,” terang Tuan Ibrahim dalam kenyataannya hari ini.
Pada pandangan Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, menghalang orang bukan Islam daripada mendekati sumber utama Islam (al-Quran atau hadis) menyebabkan mereka semakin jauh daripada memahami asas agama Islam – dan ini akan membantutkan perkembangan agama Islam.
“Kerana itu, Umno tak perlu menunding jari kepada wakil rakyat PAS atau PKR kerana tindakan itu mengambarkan kejahilan mereka dalam memahami isu ini,” selar beliau.
Beliau turut menambah bahawa isu umat Islam berhadapan dengan golongan bukan Islam bukanlah isu yang baru kerana sudah ratusan tahun lamanya umat Islam telah berhadapan dengan golongan bukan Islam.
“Maka seandainya orang bukan Islam tidak dibenarkan memetik ayat Quran atau hadis, tak mungkin tiada sebarang fatwa melarangnya. Untuk itu kita sebagai umat Islam hendaklah memandu golongan bukan Islam memahami dan mengkaji kebenaran Islam, semoga dengan kajian tersebut mereka terbuka hati untuk menerima Islam. InsyaAllah,” nasihat beliau.
Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan untuk kesejahteraan sekalian manusia.
“Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam,” kata beliau. - KL
No comments:
Post a Comment