Friday, August 16, 2013

TunM tak sempat cari fasal dgn Paklah

'The awakening': Mahathir tak sempat bergaduh dengan Abdullah sebelum dia jadi PM 
Dr Mahathir menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun 1975 selepas beliau dipulihkan oleh Tun Razak keahlian dalam UMNO, kalau tidak silap saya pada tahun 1972 atau tahun 1973 selepas dipecat daripada UMNO pada tahun 1969.
Ada pihak-pihak dalam UMNO itu sendiri menyokong kemasukan Dr Mahathir kembali ke dalam UMNO tetapi apabila beliau mengemukakan borang untuk menyertai UMNO kembali, beliau memilih untuk menyertainya di Rawang kerana di Kedah tidak begitu ramai yang berminat untuk membawa beliau ke dalam UMNO.
Semasa itu di Rawang, Tunku Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen bagi kawasan itu, dan merupakan sahabat Dr Mahathir yang rapat. Maka mudah bagi beliau untuk mendapatkan sokongan untuk kembali ke dalam UMNO. Itu sebabnya Dr Mahathir kembali ke dalam UMNO melalui UMNO Rawang dan hanya kembali ke Kedah selepas beliau telah kembali pulih kedudukan beliau di dalam UMNO.

Dr Mahathir menjadi Naib Presiden bersama Tengku Razaleigh yang telah menduduki kerusi ketiga tertinggi di dalam parti itu dua tahun sebelumnya. Seorang lagi tentulah Ghaffar Baba yang telah menjadi Naib Presiden sejak awal tahun enam puluhan lagi. Dr Mahathir mendapat kedudukan yang ketiga di kalangan ketiga-tiga Naib Presiden itu.

Semasa itu Abdullah Badawi belum lagi berada di mana-mana di dalam UMNO kerana beliau masih menjadi Ketua Pengarah Belia dan selepas itu menjadi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Abdullah hanya keluar dari perkhidmatan kerajaan untuk menyertai Pilihanraya 1978 dahulu untuk menggantikan Nordin Sophie bagi kawasan Kepala Batas.

Musa Hitam hanya menjadi Naib Presiden pada tahun 1978. Anwar Ibrahim semasa itu masih tidak terfikir oleh sesiapa dalam UMNO, hanya beliau diingat sebagai bekas pemimpin pelajar dan seorang yang begitu rapat dengan PAS kerana kedudukan beliau sebagai Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) semasa itu.

Anwar hanya menyertai UMNO pada Februari 1982 sahaja dan belum pun kering tanda-tangan keahliannya dalam UMNO beliau telah menumbangkan Haji Suhaimi Kamarudin sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dengan sokongan Dr Mahathir Mohammed.

Seperti yang saya selalu sebutkan semasa Dr Mahathir mendekati kerusi Perdana Menteri, iaitu semasa beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai ‘grassroot’ yang kukuh. Seperti biasa orang yang paling dikhuatiri berada di sisinya ialah Tengku Razaleigh Hamzah (TRH).
Malahan Mahathir begitu tidak seronok melihat Tengku Razaleigh seolah-olah seorang defacto ‘Prime Minister’ kerana Perdana Menteri Tun Razak dan Hussein telah memberikan tanggungjawab yang besar kepada TRH.

Saat untuk menyekat kemaraan TRH tiba apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada tahun 1981 di perhimpunan yang sama berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden antara Musa dengan Tengku Razaleigh. Musa yang dalam diam-diam juga berminat untuk menaiki takhta kuasa, diambil kesempatan oleh Mahathir dan melaga-lagakan Musa dengan Tengku Razaleigh sehingga berlaku pertandingan sengit antara kedua-dua Naib Presiden UMNO itu untuk jawatan Timbalan Presiden.

Mahathir berada di belakang TRH semata-mata untuk menyekat TRH menaiki kuasa. Sesungguhnya Mahathir pada waktu yang sama, Musa Hitam juga mempunyai minat yang kuat untuk menjadi Perdana Menteri. Maka Mahathir menjadikan TRH dengan Musa mempunyai kekuatan seimbang bagi mengelakkan tentangan daripada salah saorang dari kepimpinan yang dibentuk untuk negara oleh Tunku dan Tun Razak.

Apabila Musa sedar apa yang ada di dalam benak Mahathir itu dan datang pula berbagai-bagai cabaran untuk menyekat kemaraan Musa, maka Musa meninggalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada awal tahun 1986. Peletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu telah menjadikan UMNO kelam-kabut selepas rombongan terdiri dari Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri serta Menteri Besar telah berduyun-duyun ke London untuk memujuk Musa menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan itu.

Tunku Abdul Rahman telah bersuara dalam persaraannya dan menyatakan persaraan Musa Hitam itu sepatutnya diiringi oleh satu Perwakilan Khas UMNO untuk berbincang dan membuat ketetapan. Di sini Mahathir tahu jika Perhimpunan Agung Khas itu dipanggil, maka Musa akan mendapat ‘endorsement’ yang kuat dan tidak terkejut jika Musa kembali dan membuatkan dirinya menjadi kuat selepas perhimpunan Agung Khas itu.

Mahathir tidak peduli dan terus memberi kenyataan yang peletakan jawatan Musa itu diterima dan menutup isu Perhimpunan Agung Khas itu sama sekali. Memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO akan membuatkan Musa kuat dan dengan senang sahaja Musa boleh mengambil alih kepimpinan negara daripada Mahathir.

Saya dan beberapa orang pemimpin UMNO di bawah-bawah ini berkesempatan bertanya Musa kenapa beliau meletakkan jawatan, Musa menjawab, ‘Mahathir has a freezer in him. Hatinya kering dan tidak boleh bersamanya lagi’.

Dalam pada itu UMNO sudah ada Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pemuda dan ini semua memudahkan Musa menjawab apa yang akan berlaku kepada beliau. Anwar seorang muda yang begitu ‘ambitious’ akan berperanan untuk mengubah senario politik negara dan akan bermula ‘politiking’ yang hebat dalam UMNO. Setiap pemimpin yang berwibawa yang pengimbangnya yang disediakan oleh Dr Mahathir dan beliau tahu dengan cara ini sahaja beliau mampu untuk berkuasa selama mana yang beliau idamkan.

Selepas Musa, Ghaffar Baba yang tiga bulan lebih tua daripada Mahathir, menggantikan Musa dan di zaman Ghaffar menjadi Timbalannya, Mahathir tidak segelabah dahulu kerana beliau tahu Ghaffar mempunyai banyak kekurangan untuk mengatasi beliau (Mahathir).
Entah di mana datangnya cerita pada suatu ketika selepas Ghaffar mengambil alih Musa Hitam itu, Ghaffar percaya yang Mahathir akan bersara dan memberikan jawatan Perdana Menteri buat pertama kalinya dari seorang guru biasa  sekolah.

Orang seperti saya amat susah mempercayai cerita itu dan selepas itu nyata Ghaffar juga menjadi mangsa permainan politik kotor UMNO dan kali ini Anwar pula yang menolak Ghaffar keluar dan tentunya dengan perkenan Dr Mahathir sendiri.

Ghaffar bersara dan mengambil keputusan untuk bercuti dan amat sedih melihat Ghaffar keluar negara dengan menjinjing beg plastik mengandungi buku-buku untuk dibaca dalam penerbangan jauh entah ke mana itu.

Maka terjunlah seorang lagi Timbalan kepada Dr Mahathir maka Mahathir memilih pula Timbalan yang baru. Namanya ialah orang yang paling ‘famous’ pada hari ini bernama Anwar Ibrahim. Anwar ini ‘famous’ sungguh. ‘Famous’ dalam segala-galanya.

Abdullah yang selepas Anwar tidak sempat diterjunkan kerana waktu untuk Dr Mahathir bersara sampai tatkala Abdullah dan Mahathir belum sempat bergaduh. Mereka bergaduh hanya setelah Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Abdullah lebih bernasib baik daripada tiga orang Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau.
Aspan Alias.
Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular