Saturday, June 25, 2011

Jangan Jadi Sesumpah?

SAUDARA terdekat Menteri Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Azizul Sanarul menggesa Shafie agar tidak menjadikan dirinya sebagai ‘Sesumpah’ yang bertukar rupa mengikut keadaan demi untuk menyelamatkan diri.

Tegas Azizul, Shafie sewajarnya lebih prihatin terhadap rakyat Sabah, terutama di mendiami kawasan Kepulauan di Semporna dan rakyat di luar bandar Sabah ketika membuat keputusan untuk terus menggunakan
bateri asid plumbum yang berbahaya dalam projek solar hibrid dan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

“Cukuplah dengan segala kemusnahan yang dilakukan selama ini. Kami bukan lagi rakyat Sabah yang boleh diperbodohkan dengan alasan terpaksa menggunakan bateri berkenaan demi pembangunan kerana murah dan pelbagai alasan yang tidak masuk akal,”
kata Azizul yang kesal setelah mendapat tahu KKLW masih menggunakan bateri Asid Plumbum dalam projek Janakuasa Solar Hibrid Fasa 2 di Karakit, Pulau Banggi, Kudat dan beberapa projek solar di kepulauan di Semporna.

Menurut Azizul, beliau agak kesal kerana Shafie terpaksa menanggung malu kerana ditohmah rakyat Sabah sedangkan pada pandangan peribadi beliau, keputusan untuk terus mempergunakan bateri asid plumbum berkenaan dibuat oleh agensi Pelaksana iaitu Tenaga Nasional Berhad yang tidak peka terhadap aspirasi rakyat Sabah.

“Apapun alasannya, Shafie terpaksa bertanggung jawab dan membersihkan nama baiknya yang dianggap sebagai
penjenayah alam sekitar kerana bersekongkol dengan TNB dan juga SESB yang menetapkan spesifikasi kontrak yang ditawarkan dan hanya menggunakan peruntukan KKLW melalui beberapa projek NKRA,” tegas Azizul yang menggesa Kabinet Persekutuan membuat pendirian berhubung isu berkenaan.

Membiarkan Shafie seorang diri menanggung kecaman dan tohmahan rakyat Sabah kata Azizul adalah tidak wajar kerana keputusan berkenaan dibuat secara kolektif oleh TNB dengan persetujuan
Kabinet Persekutuan yang turut menandatangani Basel Convention; sekaligus menghindar daripada mengeksport, mengimport atau transit logam berat berbahaya seperti plumbum.

“Jadi saya minta agar Shafie tidak tunduk kepada tekanan TNB dan wajib mendesak spesifikasi kontrak mengutamakan bateri yang tidak berbahaya seperti Lithium Polymer yang bukan sahaja murah, malah mesra alam dan menjimatkan,” kata Azizul yang sempat melawat sebuah kilang bateri lithium di Kulim, Kedah dalam kunjungannya baru-baru ini.

Memandangkan pilihanraya semakin hampir, maka kata Azizul, Ketua Cawangan UMNO sepertinya akan dihujani dengan pelbagai soalan termasuk bateri asid plumbum yang digunakan untuk membekalkan elektrik ke sekolah di pulau dan pedalaman ketika turun berkempen kelak.

Tegas Azizul lagi, sewajarnya KKLW mengadakan Forum Perdana, Dialog atau Seminar Khusus untuk membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar setiap projek KKLW dan membincangkan isu yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar dan ekosistem agar tidak terus ditempelak rakyat.

Oleh : HAYATUM SALAHUDDIN (sabahkini)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular