Saturday, June 25, 2011

Belanda haram sembelih ikut cara Islam


THE HAGUE 23 Jun – Ahli-ahli Parlimen Belanda sudah bersiap sedia untuk meluluskan rang undang-undang bagi mengharamkan penyembelihan haiwan cara Islam dan Yahudi.


Bagaimanapun dalam kompromi saat-saat akhir semalam, anggota dewan bersetuju membuat pindaan bagi mengecualikan pertubuhan-pertubuhan agama daripada pengharaman itu, jika mereka dapat membuktikan kaedah penyembelihan mereka tanpa menggunakan kejutan elektrik, tidak menyebabkan kesakitan tambahan.

Ahli-ahli Parlimen berhaluan tengah daripada beberapa parti mencapai kompromi itu sejurus sebelum perbahasan terakhir mengenai rang undang-undang tersebut, kerana khuatir sokongan mereka terhadap pengharaman itu boleh menyebabkan mereka kehilangan sokongan daripada pengundi Islam dan Yahudi.

Seperti di kebanyakan negara Barat, undang-undang Belanda menetapkan penyembelih haiwan mesti menggunakan kejutan elektrik, bagi memastikannya tidak sedar, sebelum binatang itu boleh disembelih, untuk mengurangkan kesakitan dan rasa takut.


Namun pengecualian diberikan selama ini untuk haiwan yang disembelih cara Islam dan Yahudi yang menghendaki haiwan itu berada dalam keadaan sedar.

Pemimpin Parti bagi Haiwan, Marianne Thieme yang mengemukakan rang undang-undang itu yakin pengharaman itu akan diluluskan.

Beliau tidak fikir penyembelih Yahudi dan Islam akan dapat membuktikan kaedah penyembelihan mereka menyebabkan kurang kesakitan berbanding jika haiwan dikenakan kejutan elektrik terlebih dahulu.

“Menjadi andaian semata-mata bahawa penyembelihan tanpa kejutan elektrik boleh dibuktikan lebih mesra haiwan berbanding penyembelihan dengan kejutan elektrik, tetapi pindaan ini memberi peluang kepada pertubuhan-pertubuhan agama untuk mencari dan mengemukakan bukti itu,” kata Thieme.

Bagaimanapun kompromi itu tidak meredakan kemarahan kumpulan-kumpulan Islam dan Yahudi yang menyifatkan pengharaman yang diusulkan sebagai serangan ke atas kebebasan beragama.

“Ini cara gila untuk menggubal undang-undang, bahawa kami perlu membuktikan apa yang sudah lama kami yakini,” kata Ronnie Eisenmann daripada Komuniti Yahudi Amsterdam.

Wakil-wakil pertubuhan Islam pula berkata, jika penyembelihan cara Islam diharamkan oleh kerajaan Belanda, penduduk Islam akan terpaksa membeli daging halal dari negara jiran seperti Belgium dan Jerman. – Agensi


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular