Thursday, June 23, 2011

Bazar Tok Guru: Peniaga Akui Pengorbanan Kerajaan Negeri

[HD] KOTA BHARU, 23 Jun: “Saya bagi pihak Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB memohon maaf kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mana silap laku saya itu saya mohon maaf,” demikian pengakuan mohon maaf secara terbuka Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad. 
Berucap pada sidang media sempena Majlis Pengundian Bazar Tok Guru oleh pada peniaga Majlis Perbandaranan Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dewan Jubli Perak MPKB di sini semalam, Salim mendakwa sekiranya beliau telah bertindak kasar dan agresif sebelum ini, maka itu adalah sebagai tuntutan daripada ahli persatuannya. 

Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli persatuan serta para peniaga umumnya agar berprasangka baik dengan pihak kerajaan negeri. 

Beliau berharap selepas ini, pihak persatuan dan para peniaga berbaik-baik dengan pihak kerajaan negeri dan para pegawainya. 

“Berbaik-baik dan jangan salah sangka kepada pimpinan kerajaan negeri dan para pegawainya yang telah banyak membantu kita khususnya dalam segi pemilihan lot-lot gerai di Bazar Tok Guru. 

Kini ada jalan penyelesaian, dan kita pun jemu dah dengan keadaan semasa, berarak sana, berarak sini. Saya sebagai pengerusi persatuan, maka setakat inilah perjuangan saya bersama ahli-ahli saya. 

“Saya terimalah mandat kerajaan negeri, dan kita tidak akan bincang (memanjangkan) lagi cerita kita ini,” katanya sambil menyifatkan keputusan pihak kerajaan negeri yang meluluskan dibuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta sebagai ‘kebajikan laluan’ di bazar itu adalah sebagai pengorbanan kepada para peniaga berkenaan. 

“Ini bermakna, tidak terkiralah pengorbanan kerajaan negeri kepada peniaga-peniaga kita, alhamdulillah,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Osman dalam satu kenyataan media berkata, seramai 230 peniaga telah diundang hari ini (22 Jun 2011) bagi menjalani proses pengundian petak perniagaan di tingkat bawah Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

Sementara proses menandatangani perjanjian jual beli akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Jun ini dan serahan milikan kosong akan dilaksanakan sebelum 1 Julai. 

“Seramai 326 peniaga dijangka dapat memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru pada 1 Julai 2011,” katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular