Di dalam sebuah negara demokrasi seperti kita memilih mana-mana parti yang terdaftar secara halal tidak menjadi kesalahan. Itu sebabnya negara memperuntukan di dalam perlembagaan untuk rakyat memilih mana-mana parti yang dipimpin oleh sesiapa pun.
Rakyat sebuah negara demokrasi sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga negara ini. Pemimpin yang dipilih atau parti yang diberikan mandate itu adalah tanggungjawab rakyat sebenarnya. Rakyat mesti memilih pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk menjaga mandat mereka. Apa pula yang di mandatkan oleh rakyat itu?
Sesungguhnya rakyat memandatkan pemimpin dan parti yang di pilihnya itu untuk menjaga negara dengan baik.
Apa pula ingredien kebaikan itu? Ringkasnya, parti yang terpilih itu mesti menjaga keselamatan negara dari ancaman luar serta sentiasa memertabatkan kedaulatan (sovereignty) negara dan rakyat yang berlindung di bawahnya.
Negara adalah kepunyaan rakyat dan rakyat berhak untuk sentiasa mencari dan memilih pihak mana yang lebih dipercayai oleh mereka. Jika rakyat mendapati pihak yang telah di pilih sebegitu lama untuk mentadbir negara kepunyaan rakyat itu telah menyimpang dari apa yang sepatutnya mereka lakukan, rakyat boleh menggantikannya dengan pihak atau kumpulan yang lain.
Itulah sebabnya adalah tidak wajar pihak yang memerintah menggunakan kuasa dan pengaruh dengan sewenang-wenangnya dengan menutupi apa sebenarnya yang berlaku dan dilakukan oleh pihak yang telah menyimpang dari tanggunjawab mereka untuk mentadbir rakyat dengan baik.
Rakyat wajar meneliti rekod mereka yang telah memerintah itu. Pemimpin negara itu adalah hamba kepada rakyat dan bukannya rakyat yang diperhambakan oleh pemimpin.yang mereka pilih.
Apa yang selalu terjadi ialah mereka yang terpilih itu memperhambakan rakyat dengan membohongi mereka secara terbuka. Rakyat pula akhirnya yang dikelirukan dengan memberikan kefahaman yang salah oleh pemimpin yang telah terpilih oleh rakyat tadi.
Rakyat pula sebaliknya disekat dari mengetahui apa kesalahan yang mereka lakukan dengan menggunakan alat-alat yang dibuat dan di gubal oleh wakil-wakil mereka di Dewan-dewan lagislatif seperti OSA (akta rahsia resmi) dan sebagainya.
OSA itu memanglah satu akta yang penting untuk menjaga keselamatan negara kerana banyak perkara-perkara yang rahsia bagi negara untuk tidak diketahui oleh negara-negara lain serta agensi-agensi yang boleh memudharatkan negara. Tidak ada siapa dari rakyat yang bertanggunjawab akan membantah kewujudan akta seperti ini kerana hendak menjaga keselamatan negara.
Tetapi pemimpin-pemimpin yang diberikan mandat ini menggunakan akta ini untuk merahsiakan kegiatan kotor mereka seperti rasuah dan menggunakan kuasa secara salah. Akta ini dipergunakan untuk menutupi segala perlakuan rasuah dan sumbang mereka dari pengetahuan rakyat.
Apa bahayanya untuk membuka dan mendiklasifikasikan perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat konsessi lebuhraya misalnya? Kenapa letakan perjanjian di antara IPP dengan kerajaan (TNB) dibawah akta rahsia resmi sehinggakan Menteri yang bertanggungjawab tentang tenaga ini menyatakan adalah salah untuk ‘declassify’ perjanjian ini bagi pengetahuan rakyat. Katanya itu adalah rahsia di antara kerajaan (TNB) dengan syarikat-syarikat IPP itu.
Tidak ada sebab isu perjanjian ini hendak dirahsiakan dari rakyat dengan menggunakan OSA ini jika tidak ada apa yang hendak disorokan dari rakyat. Rakyat ingin tahu kenapa harga pengeluaran kuasa yang hanya 0.12 sen itu dibeli oleh TNB dengan harga 0.23 sen misalnya. Rakyat bertanya, kenapa, kenapa dan kenapa?
Rakyat merasakan ‘keferasatan’nya kerana mereka (pemimpin) yang dipilih mereka itu tidak jujur dan ingin menutupi perkara-perkara yang berlaku di dalam pembelian ‘paksa’ terhadap TNB ini. Rakyat berfikir tentu ada pemimpin-pemimpin dan pihak yang ‘songlap’ harga tambahan yang begitu tinggi dari harga pasaran tenaga itu.
Isu ini bukannya isu ringan yang boleh di ambil dengan sambil lewa oleh pemimpin yang telah dipilih rakyat tadi. Kalau lah mereka yang diberikan mandat itu tadi masih berdegil di dalam negara demokrasi mereka (rakyat) boleh memberikan kuasa itu kepada pihak lain yang dirasakan lebih dipercayai.
Kalau rakyat membuat ‘bising’ pemimpin-pemimpin ini bertindak dengan marah-marah pula dan sebaliknya menuduh pihak pembangkang yang sengaja memanaskan isu ini untuk menjatuhkan mereka.
Kalau tidak mahu rakyat marah kenapa takut-takut dan bersilat-silat dengan mereka (rakyat) untuk mengelak dari mereka mengetahui perkara yang sebenarnya? Buktikanlah pembangkang itu yang bersalah dengan mengeluarkan segala butiran perjanjian itu kepada mereka (rakyat). Kenapa gunakan OSA untuk mengelak dari rakyat mengetahui perkara yang sebenarnya.
Begitu juga perjanjian di antara kerajaan dengan syrikat konsessi lebuhraya. Perjanjian ini juga diletakan dibawah OSA. Kenapa OSA? Apa bahayanya kepada negara jika di ‘declassify’ kan? Mungkin jika di ‘declassify’ kan ianya merbahaya bagi mereka yang telah mendapat kepentingan peribadi secara haram.
Itu secara otomatik menjadi persepsi rakyat.Rakyat hendak tahu bagaimana harga toll semakin hari semakin tinggi sedangkan trafik yang menggunakan lebuhraya itu semakin hari semakin berlipat kali ganda jumlahnya. Kenapa di dalam perjanjian itu pengguna dipaksa membayar toll yang semakin tinggi?
Kenapa tidak berkurangan dari masa kesemasa sedangkan ‘fixed cost’ pembinaan dulu sudah di ‘amortize’ sekian lama? Rakyat hendak tahu tentang itu. Jangan marah jika rakyat bertanya kerana bukan perasuah sahaja yang pandai membuat kira-kira untuk kepentingan mereka. Rakyat pun sudah belajar dan kesekolah sikit-sikit dan sudah pandai membuat kira-kira, tetapi untuk kepentingan pengguna (rakyat).
Kenapa tidak cari jalan yang lebih mudah dan murah untuk melaksanakan sistem MRT yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan itu. Kenapa kosnya melebihi RM50 billion termasuk mengambil alihan tanah? Boleh atau tidak jika rakyat mengambil ‘initiative’ untuk menghantar consultant bebas untuk meneliti kos terhadap projek ini. Salah kah jika rakyat merasa curiga terhadap ketelusan tentang harga projek ini?
Bukan kah telah terlalu banyak contoh kos pembinaan pembangunan negara dilipat kali gandakan oleh pihak kerajaan. Bukankah rakyat sudah nampak tentang kos procurement terhadap pembelian alat-alat dan komponan pertahanan negara ditambah dan ditambah berlipat kali ganda untuk kepentingan mereka yang berkuasa hasil dari mandat rakyat tadi?
Salah kah rakyat merasa curiga kerana mereka telah sedar yang selama ini wang mereka telah dipergunakan oleh pimpinan dan perlaksana dengan sesuka hati mereka? Apabila rakyat menuduh mereka meminta bukti perlakuan rasuah mereka pula. Bagimana rakyat hendak tunjukan bukti walaupun rasuah itu benar-benar berlaku kerana segala-galanya dilindungi oleh OSA?
Kenapa terlalu biasa memperbodohkan rakyat? Kalau rasa terdesak kenapa kita dengan senang menyalahkan pembangkang? Itu hak rakyat untuk memilih. Memanglah pembangkang itu akan mejadi pilihan mereka jika segala persoalan ini tidak boleh dijawab oleh mereka yang sedang memimpin sekarang?
Salahkah jika rakyat memilih pihak ‘alternative’ jika yang menyandang kuasa sekarang terus-terusan bersilat-silat dengan persoalan yang diajukan oleh rakyat? Sekarang ini nampaknya kesabaran rakyat sudah nampak menghilang dan telah bersedia untuk melakukan pemilihan yang baru.
Jawapannya ialah melalui pilihanraya. Itulah sebabnya Bersih hendak menunjukan manifestasi rakyat ramai dengan rally yang dirancang mereka. Itu pun mendapat kutukan dari media masa perdana setiap waktu dan masa. Salah lagi rakyat. Semua pihak salah kecuali mereka yang diragukan rakyat itu.
Nampaknya pemimpin yang telah diberikan mandat sebegitu lama hanya menumpukan masa untuk menutup lubang-lubang yang mereka korek sendiri. Sudah ditutup lubang ini terbuka pula lubang yang lain. Akhirnya pemimpin kita tidak ada kerja lain selain dari menutup dan membuka lubang-lubang sahaja. Sekarang semuanya sudah berlubang-lubang. Ada lubang besar dan ada lubang kecil. Macam-macam lubang ada.
Akhirnya UMNO aku akan masuk lubang dan tertimbus. Tetapi itu hakikat. Kita keluar dari lubang dan di akhir kalam nanti kita akan masuk lubang juga. Apabila sudah berada di dalam lubang nanti tahulah kita nasib masing-masing. - Aspan Alias
No comments:
Post a Comment